Home » » Wan Azizah Terguris Hati...

Wan Azizah Terguris Hati...

Written By Unknown on 09/09/2014 | 1:30 am



Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail mengakui terguris dengan serangan peribadi Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempersoalkan kebolehan dan kemampuannya.

Bagaimanapun,  Wan Azizah menghormati pandangan presiden PAS itu dan berjanji untuk memperbaikinya.

"Saya sedikit terguris dengan serangan peribadi yang dibuat terhadap saya walaupun saya menghormati pendapat Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai kebolehan dan kemampuan saya.

"Bagaimanapun, tidak timbul kemarahan dan saya menerimanya sebagai teguran agar boleh memperbaiki diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Wan Azizah enggan membidas kenyataan Hadi dan sebaliknya menggesa supaya menumpukan kepada perjuangan asal iaitu melawan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Saya menasihati semua supaya tiada lagi sebarang kenyataan balas dibuat berhubung kenyataan Abdul Hadi.

"Fokus kita sewajarnya bersatu membela rakyat daripada pelbagai tindakan Umno/BN yang menekan rakyat," katanya.

Menurut Wan Azizah lagi, beliau tidak pernah melupakan jasa dan bantuan yang diberikan PAS kepada keluarganya sejak suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa pada 1999.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Abdul Hadi dan keluarga atas jasa beliau dan bantuan kepada saya sejak tahun 1999 lagi. Saya juga tidak akan lupa budi baik pimpinan dan anggota PAS yang lain yang banyak membantu saya dan keluarga.

"Saya mendoakan beliau dipanjangkan umur dan seluruh perjuangan kita dibantu Allah SWT dan diberikan kemenangan," katanya.

Hadi baru-baru ini dilaporkan dilaporkan berkata PAS tidak menamakan Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor yang baharu kerana Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang itu tidak berkebolehan.

Dalam sesi soal jawab dalam dialog dan penerangan isu semasa di Rusila, Marang, Terengganu, Hadi turut menegaskan Wan Azizah ditolak sebagai calon menteri besar Selangor bukan disebabkan beliau seorang wanita tetapi syarat melantik pemimpin mestilah seorang yang mempunyai kebolehan dan kelayakannya untuk menjadi pemimpin.

Susulan kenyataan tersebut, sayap Pemuda PKR mendesak supaya Hadi menarik balik kenyataan tersebut.

Wanita DAP hari ini juga membidas Hadi kerana enggan menyokong presiden PKR itu sebagai menteri besar Selangor.

Ketua Wanita DAP Chong Eng menyelar tindakan Hadi yang dilihat selalu mengubah keputusan dalam isu menteri besar Selangor dan secara tidak langsung menjejaskan hubungan baik antara parti Pas itu dan Pakatan Rakyat.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger