Beberapa kajian yang dibuat mengenai gelandangan menunjukkan bahawa majoriti mereka adalah warga Malaysia berbangsa Melayu. Pada tahun 2010 direkodkan sejumlah 80% dari mereka adalah Melayu. Baru-baru ini, Astro Awani pula membuat kajian dan mendapati bahawa 90% dari mereka adalah warga tempatan dengan majoritinya ialah Melayu.
Kajian ini berdasarkan sumber dari pihak sukarelawan yang memberi makan kepada gelandangan. Menurut mereka daripada 13,000 yang diberi makan, hanya lebih kurang 1% merupakan warga asing.
Apa yang menarik ialah angka ini seolah-olah tidak konsisten dengan apa yang dilihat seharian. Apa yang kita lihat ialah, rata-rata yang mengemis dan menadah tangan di Kuala Lumpur adalah orang asing. Pengemis-pengemis warga asing ini seringkali berkeliaran mencacatkan pandangan ibu kota serta meninggalkan kotoran di kaki-kaki lima dan ruang pejalan kaki.
Daripada kanak-kanak sehinggalah wanita yang memegang bayi semuanya orang asing. Jarang sekali kita melihat pengemis dari kalangan warga Malaysia. Pemandangan ini amatlah bertentangan dengan fakta yang diperoleh dari kajian-kajian tersebut yang menyatakan bahawa majoriti gelandangan adalah warga tempatan.
Ini mengesahkan bahawa warga asing yang mengemis itu ‘dimiliki’ oleh sindiket tertentu. Oleh itu, mereka tidak perlu beratur mengambil makanan bersama gelandangan. Mereka tentunya mempunyai jadual tertentu untuk pulang dan ‘keluar bekerja’ serta perlu menjauhkan diri dari pihak berkuasa. Mereka juga mungkin diberi makan dan tempat tidur oleh ‘majikan’ masing-masing di tempat-tempat tertentu.
Maka tidak hairanlah walaupun pengemis warga asing cukup ramai, bukan mereka yang memenuhi pusat gelandangan.
Buat masa ini, pelarian Rohingya yang dilihat paling ramai menjadi pengemis dan gelandangan di sekitar ibu kota. Mereka ini tidak dibenarkan bekerja tetapi kebanyakan mereka mempunyai tempat atau ruang untuk tinggal bersama-sama dengan kumpulan mereka. Mereka selalunya mengemis di siang hari dan pulang di waktu malam tanpa mengharapkan bantuan dari pusat gelandangan.
Justeru, hanya gelandangan warga Malaysia sahaja yang mengharapkan bantuan sukarelawan atau kerajaan dengan beratur untuk sesuap makanan dan menumpang tidur di pusat yang disediakan. Menurut sumber, 50% dari gelandangan warga Malaysia adalah bekerja tetapi tidak mampu memiliki tempat tinggal, manakala 50% lagi merupakan mereka yang tiada pekerjaan, bermasalah mental atau berpenyakit, ditinggalkan keluarga serta penagih dan bekas banduan.
Dalam kata lain, bukan semua pengemis itu adalah gelandangan dan bukan semua gelandangan itu adalah pengemis.
Berdasarkan fakta di atas, maka bolehlah dikatakan tidak tepat jika mengatakan bahawa majoriti gelandangan adalah warga Malaysia dan orang-orang Melayu. Fakta yang lebih tepat ialah majoriti yang menerima khidmat dari pusat gelandangan adalah warga Malaysia dan orang-orang Melayu.
Post a Comment