Home » , » Bebas Dari 50 Tahun Di Rantai ; Foto Gajah Menangis

Bebas Dari 50 Tahun Di Rantai ; Foto Gajah Menangis

Written By Unknown on 09/07/2014 | 1:28 am

NEW DELHI – Rupa-rupanya bukan hanya manusia yang boleh menangis ketika merasa gembira, seekor gajah juga boleh menangis dikala berbahagia.


Seekor gajah bernama Raju dirantai selama 50 tahun, diseksa dan juga dipukul. Kakinya juga luka akibat terlalu lama dirantai.

Yang ajaibnya, Raju menangis ketika dibebaskan oleh satu pasukan penyelamat!

Raju bertahan hidup dari makanan yang diberikan para pelancong yang berkunjung ke tempat dia dirantai di Uttar Pradesh, India.

Namun, makanan itu tidak mencukupi bagi Raju sehingga dia perlu mengalas perutnya dengan memakan plastik dan kertas.

Namun, minggu lalu, sebuah pertubuhan hak asasi haiwan Britain, Wildlife SOS-UK, melakukan operasi menyelamat pada tengah malam. Para pembantu Raju berkata, mereka melihat haiwan besar itu menitiskan air mata ketika rantai yang mengekangnya selama setengah abad dilepaskan.



“Raju dirantai 24 jam setiap hari, benar-benar perbuatan yang kejam. Pasukan kami sangat terkejut melihat air mata mengalir di wajah Raju ketika penyelamatan dilakukan,” kata Pooja Binepal dari Wildlife SOS-UK.

“Keadaan sangat emosional. Di dalam hati, kami tahu, gajah itu sedar dia sedang dibebaskan,” tambah Pooja.

Menurut Pooja lagi, gajah adalah haiwan luar biasa dengan kecerdasan yang cukup tinggi.

“Sehingga gajah itu dibebaskan, Raju seperti tidak memahami apa rasanya kebebasan. Namun, hari ini dia akan mengetahuinya dan akan mempelajari nikmat sebuah kebebasan,” ujar Pooja.

Seramai 10 doktor haiwan dan pakar hidupan liar bergabung dalam operasi yang dijalankan pada waktu tengah malam itu. Selain itu, pasukan penyelamat juga dibantu 20 anggota Suruhanjaya Perhutanan dan dua polis.



Penyelamatan Raju dilakukan pada waktu tengah malam untuk menghindarkan haiwan itu dari sengatan panas di kawasan Uttar Pradesh. Operasi ini dilakukan setahun selepas Wildlife SOS-UK mendapat maklumat dari Jabatan Perhutanan Uttar Pradesh.

Sebelum operasi pembebasan ini, mahkamah sudah memutuskan bahawa negara mengambil alih pemilikan Raju.

“Tak banyak yang boleh diketahui berkaitan masa-masa awal kehidupan Raju. Kami yakin dia diambil dari ibunya ketika masih bayi,” kata Pooja.

Para pemburu berkemungkinan membunuh ibu Raju atau menggiring kawanan gajah itu ke dalam perangkap khusus untuk menangkap anak gajah.

“Anak gajah yang ditangkap biasanya dipukul hingga menurut perintah pemilik barunya. Semangat mereka dipatahkan,” papar Pooja.

Bagi Raju pula, kata Pooja, kisahnya jauh lebih tragis. Gajah ini sudah dijual 27 kali. Ketika Wildlife SOS-UK menemui Raju, haiwan itu dalam keadaan yang sangat menyedihkan.

“Dia tak mempunyai tempat berlindung pada waktu malam dan digunakan sebagai alat mengemis dari pagi hingga petang. Dia tidak diberi makanan yang mencukupi dan dalam keadaan kelaparan serta keletihan,” ujar Pooja.



Selepas mahkamah memutuskan untuk “merampas” Raju, sebuah pasukan yang dipimpin pengasas Wildlife SOS, Kartick Satyanarayan, melakukan pengintipan selama dua hari kerana bimbang pemilik Raju akan melarikan diri.

“Kami perlu bertindak cepat kerana keadaan yang menimpa Raju sangat buruk dan penyeksaannya sangat ekstrem,” kata Kartick.

“Pemiliknya mencabuti bulu ekornya untuk dijual sebagai tangkal. Ekspolitasi ini harus dihentikan,” tambah Kartick.

Ketika operasi menyelamat dilakukan, pemilik Raju masih berusaha untuk menghalang kerja pasukan.

“Dia mula meneriakkan perintah untuk menakutkan Raju dan cuba untuk memprovokasi dia. Keadaan itu mengundang bahaya kerana seekor gajah boleh membunuh manusia dengan begitu mudah apabila merasa terancam,” kata Kartick.

“Dia (pemilik Raju) kemudian memasang rantai di kaki Raju untuk mencegah kami memindahkannya. Rantainya sangat kuat sehingga membuat kaki Raju terluka,” tambah Kartick.



Namun, pasukan penyelamat bertegas tidak akan berundur. Ketika itulah ahli pasukan penyelamat melihat air mata mengalir di wajah Raju.

“Tidak perlu diragui lagi penderitaan yang dialami Raju. Namun pada masa yang sama, dia merasakan perubahan akan datang. Ini kali pertama dia merasakan sebuah harapan,” kata Kartick.

Pasukan akhirnya berjaya melepas Raju dan mengangkutnya ke dalam sebuah trak. Ia kemudian dibawa ke lokasi pemuliharaan dan pusat pemulihan gajah milik Wildlife SOS di Mathura, kira-kira 560 kilometer dari “rumah” lama Raju.



“Ini kali pertama Raju melangkah dengan bebas selepas tengah malam, 4 Julai lalu. Dua gajah lain di pusat ini bangun dan melihat kami datang bersama Raju. Detik-detik yang sangat luar biasa,” ujar Kartick.

Raju kemudian diberi makan pisang, daun pisang, mangga, roti dan biskut, serta air yang melimpah. Doktor mengambil masa selama 45 minit untuk melepaskan sisa rantai di kaki Raju.

“Empat pawang memujuk Raju dengan lembut untuk duduk dan akhirnya kami boleh melepaskan semua rantai dari kaki gajah itu,” kata Kartick lagi.

Raju menjalani masa pengasingan selama seminggu sebelum bergabung dengan dua gajah lain, Rajesh dan Bhola, yang juga pernah bernasib sama.


Wildlife SOS yang bergantung kepada derma untuk aktiviti pemuliharaan kini sedang mengumpul dana sebanyak $10,000 pound untuk membantu Raju memulakan kehidupan baru. –Kompas.com

sentiasapanas
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger