Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli memohon maaf kepada rakyat Malaysia terutamanya pengundi di Kajang yang terpaksa melalui satu pilihan raya kecil yang tentunya akan memakan masa dan wang rakyat ketika mana rakyat sedang mengharungi kesukaran ekonomi.
“Tidak ada alasan untuk membazirkan wang rakyat dan untuk itu saya memohon maaf dan parti bersedia untuk dihukum oleh pengundi di Kajang,” katanya yang mengaku bertanggungjawab menyusun langkah politik itu.
ADUN Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 melalui sepucuk surat kepada Speaker DUN Selangor pada Isnin atas alasan “demi kepentingan politik”.
Tindakannya itu mengejutkan beberapa pemimpin dalam Pakatan Rakyat dan mendapat kecaman banyak pihak termasuk badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Rafizi mengakui tidak ada penjelasan yang dapat meredakan kemarahan rakyat terhadap langkah politik itu tetapi meminta masa dan ruang untuk mewajarkannya.
Beliau juga memohon maaf atas perbezaan pendapat dalam PKR yang dilihat sebagai berpuak-puak dan mengecewakan rakyat dan menjelaskan ia sedang ditangani bagi mengelak pengalaman sama seperti dalam Pakatan Rakyat di Kedah sebelum ini.
Jelas Rafizi, langkah Parti Keadilan Rakyat mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang dan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon bagi pilihan raya kecil kawasan itu adalah satu strategi radikal untuk menawan Putrajaya.
Beliau mengaku langkah itu tidak popular tetapi ia sesuatu yang diperlukan oleh Pakatan Rakyat untuk menjadikan Selangor sebagai kubu kuatnya.
“Selangor harus lebih baik daripada hari ini sekiranya ia mahu jadi wadah Pakatan dalam usahanya menawan Putrajaya,” katanya.
Rafizi menyamakan strategi Pakatan Rakyat itu dengan strategi politik Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semasa menjadi Datuk Bandar Istanbul dan bekas Datuk Bandar Solo, Joko Widodo yang disebut-sebut bakal calon Presiden Indonesia yang berpindah untuk jadi Gabenor Jakarta.
Beliau mengakui pentadbiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah menunjukkan prestasi yang baik sejak enam tahun lalu namun ia berdepan cabaran baru daripada UMNO.
Jelas beliau, keputusan meletakkan Anwar bertanding di DUN Kajang adalah untuk menyediakan pilihan kepimpinan sekiranya ada keperluan nanti.
“Adakah ini bermakna akan ada perubahan kepimpinan dalam kerajaan Selangor? Mungkin ya, mungkin tidak. Tetapi kita ada pilihan untuk mengoptimumkan potensi kepimpinan sekiranya UMNO membuat onar,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff berpendapat bahawa rakyat Malaysia harus mengeluarkan mesej yang jelas bahawa hak untuk pembangunan rakyat bukan lagi monopoli parti politik.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam Analisis AWANI.
Yusmadi berkata pencalonan Anwar oleh PKR menampakkan bahawa Malaysia berada di dalam tahap politik yang tidak memberi satu harapan langkah jauh.
“Harapan rakyat yang diangkat amat tinggi, tetapi apabila kita keputusan-keputusan begini dibuat, ini bukan politik baru tetapi permainan politik baru. Sebuah parti (PKR) yang mempunyai pengalaman memerintah, saya mohon, bukan ini caranya.
“Hak memilik calon adalah hak parti politik, hak memilih adalah hak rakyat.” tambahnya. – Astroawani.com
Post a Comment