Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar masing-masing mengekalkan jawatan Ketua Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno susulan pemilihan sayap-sayap Umno yang berlangsung Sabtu.
Kemenangan mereka diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, pada 3.30 pagi Ahad.
Beliau turut mengisytiharkan Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Puteri Umno yang baharu.
Ketika pengumuman itu dibuat, Shahrizat telah memperoleh 100 undi, Khairy 97 undi dan Mas Ermieyati 96 undi, daripada 191 bahagian sayap masing-masing.
Shahrizat mengetepikan cabaran Datuk Maznah Mazlan dan Raihan Suleiman Palestin manakala Khairy mengungguli saingan lima penjuru.
Khairy dicabar Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali.
Mas Ermieyati pula menewaskan Jamilah Hanim Othman.
Bagaimanapun, jumlah undi yang diperoleh mereka yang kalah itu, setakat 3.30 pagi, tidak diumumkan.
Sementara itu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata keputusan rasmi selanjutnya akan diumum melalui siaran media pada Ahad.
“Ada kira-kira 50 bahagian yang belum selesai kiraan undi kerana beberapa sebab, antaranya permintaan supaya undi dikira semula dan masalah teknikal,” katanya.
Shahrizat ketika mengulas kemenangannya di PWTC, berkata: “saya bersyukur kerana semasa menghadapi krisis, pergerakan Wanita masih menyokong saya..dan pemimpin sentiasa dinilai bagaimana dia menangani krisis,”
Sambil menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh akar umbi, beliau berkata buat pertama kali Wanita akar umbi dapat bersuara lantang apabila 110,765 perwakilannya membuat keputusan pada pemilihan kali ini.
Khairy pula berkata kemenangannya itu membuktikan agenda progresif dan liberal yang dibawanya disokong peringkat akar umbi.
“Saya anggap pemilihan kali ini sebagai satu pertarungan antara pemikiran progresif dalam parti kita dan pencabar-pencabar saya (yang) malangnya bawa pemikiran regresif yang ke belakang,” katanya.
Justeru, jelasnya, agenda progresif seharusnya bermula dengan belia yang akan membawa parti terus maju ke depan.
Mas Ermieyati yang juga merupakan peguam dan Anggota Parlimen Masjid Tanah pula berkata tumpuan utamanya ialah merapatkan semula barisan sayap itu setelah selesai pemilihan.
“Apabila ada pemilihan, sudah pasti akan ada lawan. Kawan boleh menjadi lawan. Saya nak taut kembali hubungan dan kurangkan permusuhan,” katanya kepada pemberita di PWTC.
Beliau berkata kemenangan itu juga datang dengan cabaran berat iaitu menarik minat lebih ramai golongan muda kembali kepada Umno
Post a Comment