Home » » Obama Datang Malaysia Bukan Untuk Perjanjian TPPA - Muhyiddin Yassin

Obama Datang Malaysia Bukan Untuk Perjanjian TPPA - Muhyiddin Yassin

Written By Unknown on 20/09/2013 | 10:00 am



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan kedatangan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia Oktober ini untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

“Terdapat pihak yang mendakwa kedatangan Obama ke Kuala Lumpur bulan hadapan adalah untuk memeterai perjanjian TPPA, dan perkara ini tidak akan berlaku,” katanya pada sesi dialog sempena Majlis Ramah Mesra bersama warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Beliau berkata kerajaan memerlukan masa memandangkan masih banyak pihak yang ingin mengemukakan pandangan mereka mengenai TPPA, dan tidak boleh diketepikan.

Muhyiddin berkata tidak ada satu tempoh jangka masa tertentu bagi kerajaan untuk membuat keputusan membabitkan perjanjian tersebut.

“Proses rundingan masih berjalan, dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sentiasa melakukan pertemuan dengan pelbagai pihak,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini termasuk pertemuan dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang menyatakan TTPA tidak menguntungkan Malaysia.

“Kita ambil pandangan tersebut sebagai sesuatu yang penting, dan kerajaan juga mementingkan apa sahaja yang akan memberi keuntungan kepada Malaysia,” katanya.

“Ini yang kita minta pelbagai pihak untuk membuat penilaian dari segi analisis manfaat kos, dengan setiap sektor yang terlibat dalam TPPA, dinilai dari segi faedah kepada negara,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan juga akan menolak perjanjian tersebut sekiranya ia boleh mengancam kedaulatan negara kerana seharusnya hak untuk menentukan masa depan negara tidak boleh dipengaruhi pihak luar.

“Jadi, sekiranya melalui rundingan tersebut terdapat perkara-perkara yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita, maka seharusnya kerajaan membuat keputusan yang tepat tentang perkara itu,” tegas Muhyiddin.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger