Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan akan mempertahan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti 19 Okt ini.
Perdana menteri berkata keputusan itu dibuat berdasarkan sokongan dan kepercayaan yang disuarakan anggota parti di peringkat akar umbi.
Katanya berdasarkan makluman timbal balas yang diterima, badan-badan perhubungan Umno negeri membuat ketetapan supaya beliau meneruskan kepimpinan sebagai presiden parti.
“Daripada suara yang diutarakan dalam persidangan cawangan Umno, sebahagian besar daripada ahli Umno mahukan supaya saya meneruskan kepimpinan sebagai presiden parti.
“Saya amat berterima kasih lagi terharu dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan dan disuarakan oleh ahli Umno di semua peringkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Middle Temple 2013 di sini hari ini.
Najib berkata dengan perasaan rendah diri, beliau menerima sokongan itu, dengan menawarkan diri bertanding mempertahan jawatan sebagai presiden parti.
Pemilihan anggota Majlis Tertinggi, pemimpin bahagian dan wakil peringkat bahagian ke Perhimpunan Agung Umno 2013 yang dijadual pada Disember akan diadakan serentak pada persidangan perwakilan bahagian 19 Okt ini.
Pendaftaran calon yang ingin bertanding bagi semua jawatan di peringkat Majlis Tertinggi, peringkat Bahagian dan ketiga-tiga sayap parti pula akan diadakan Sabtu ini di Ibu Pejabat Umno.
Mengenai pandangannya jika jawatan presiden parti dicabar mana-mana pihak,Najib berkata: “Tunggu hari Sabtu baru kita tahu kedudukan.”
Beliau juga memberi jawapan yang sama apabila ditanya mengenai kemungkinan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir merebut jawatan naib presiden.
Ditanya sama ada beliau dan Muhkriz telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara itu, perdana menteri secara berseloroh berkata: “Saya memang bertemu dengan banyak orang.”
Najib turut ditanya sama ada beliau mempunyai ‘pasukan’ sendiri untuk pemilihan kali ini dan beliau berkata: “Saya ialah kapten pasukan Umno, jadi semua orang adalah sebahagian daripada pasukan itu. (Bagaimanapun) kita lihat barisan calon dulu. Kita tengok Sabtu ini apa yang akan berlaku.”
Mengenai sama ada keputusan bagi beliau mempertahan jawatan presiden akan memberi kelebihan ke arah mengekalkan status quo dalam kepimpinan Umno, Najib berkata apa yang penting ialah kestabilan parti sambil membenarkan perubahan berlaku.
Menarik perhatian bahawa Umno telah terbukti sebagai sebuah parti yang dinamik, beliau berkata perubahan akan mengambil tempat dalam Umno di pelbagai peringkat termasuk pemimpin atasan dari semasa kesama.
Najib juga berkata Umno sedang cuba memperbaiki dan mengukuhkan parti, terutama selepas pilihan raya umum ke-13.
Beliau berkata apa yang penting ialah untuk memperkukuh nilai murni dalam parti seperti berjuang demi kepentingan parti, menolak politik wang dan menjaga kepentingan rakyat.
“Inilah nilai yang anggota Umno di semua peringkat harus tunjukkan kepada rakyat,” katanya sambil melahirkan harapan bahawa dengan cara ini keyakinan rakyat terhadap Umno akan meningkat.
Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini juga mengumumkan hasratnya untuk mempertahankan jawatan beliau sebagai Timbalan Presiden Umno dan menawar diri untuk dipilih semula ke jawatan itu pada pemilihan parti Oktober ini.
Ini kerana, kata timbalan perdana menteri, beliau berpendapat masih mampu melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.
Katanya sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan lepas, beliau diberi amanah besar, seperti menguruskan jawatankuasa pengurusan parti, memantau pilihan raya, di samping berusaha memantapkan parti Umno dan Barisan Nasional di semua peringkat, bagi mengukuhkan kerajaan dan meningkatkan perpaduan rakyat.
Beliau seterusnya menyatakan sokongan padu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus mempertahankan jawatan sebagai Presiden parti dan bertekad untuk terus membantu kepimpinanya.
“Saya sendiri akan menjadi pencadang kepada beliau dalam borang (pencalonan) yang akan diserahkan pada 21 Sept ini,” katanya dalam persidangan media di kediaman rasminya di Sri Satria di sini hari ini.
Dengan keputusan itu Muhyiddin meminta kerjasama, bantuan dan sokongan daripada rakan serta seluruh anggota parti, khususnya para perwakilan untuk membantunya, agar apabila dipilih nanti, beliau akan dapat meneruskan tugas dan tanggungjawabnya demi kepentingan orang Melayu, rakyat Malaysia, negara, bangsa, dan agama.
“Saya kira ramai yang nak tahu apa keputusan saya pada pemilihan ini, jadi saya buat keputusan hari ini untuk memudahkan ahli membuat penilaian. Memanglah saya rasa bukan saja ‘relief’ saja, tapi juga saya rasa ini detik penting untuk saya buat pengumuman ini,” katanya.
Muhyiddin seterusnya mengucapkan terima kasih terhadap kenyataan yang dibuat oleh badan-badan perhubungan Umno sebelum ini yang secara terbuka menyokong Najib dan beliau.
Menurutnya ia menjadi dorongan kepada beliau, kerana berpendapat ini membawa makna bahawa perkhidmatan beliau masih diperlukan parti.
Ditanya sekiranya beliau menjangka ada kejutan menjelang pencalonan Sabtu ini, katanya beliau berharap tidak ada apa-apa ‘suprise’ walaupun sistem baharu pencalonan yang diamalkan kini agak lebih terbuka berbanding sebelum ini.
Beliau berkata ia sememangnya keputusan parti sendiri, bagi membolehkan Umno dilihat sebagai sebuah parti yang demokratik, lebih terbuka, inklusif, dan memberi ruang sebanyaknya kepada sesiapa juga menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti, di jawatan-jawatan penting parti.
“Bagi saya itu adalah sesuatu yang kita telah putuskan, dan kita hormati keputusan itu,” katanya.
Post a Comment