Home » , » Video Akhlak Hadi Buruk - Pkr

Video Akhlak Hadi Buruk - Pkr

Written By Unknown on 22/09/2014 | 3:39 pm



Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin menyifatkan ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa sesi penggulungan Tahunan parti itu ke-60 sebagai melampau dan dan tidak mencerminkan akhlak seorang ulama.

“Apa yang dilakukan oleh dua ADUN PAS ialah semata-mata melaksanakan keputusan mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat bertarikh 17 Ogos 2014 iaitu mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan mencalonkan dua nama, Wan Azizah dan ADUN Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali sebagai calon MB Selangor.

“Justeru, melabelkan kedua-dua mereka sebagai ‘barua’ PAS tentunya mengiyakan pepatah Melayu – “Ibarat menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri,” katanya kepada Astro AWANI semalam.

Pada Sabtu, Abdul Hadi mendakwa ada pihak yang menjadi ‘broker’ dan ‘barua’ yang mencuri dua ADUN partinya, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnol Baharuddin (Morib) di Selangor untuk menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar baharu di negeri itu.

“Mereka curi wakil rakyat kita. Inikah etika kita bertahaluf?

“Kita tidak pandang ringan 2 wakil rakyat kita (tandatangan SD), ada jadi broker, yang jadi barua semua ada,” katanya.

Abdul Hadi menegaskan, 2 ADUN itu seharusnya berfikir panjang sebelum melakukan tindakan sedemikian kerana mereka berikrar ketika sebelum pilihan raya umum lalu untuk taat setia kepada parti.

“Tidakkah wakil rakyat kita berbaiah semasa nak pilihan raya?

“Mana lebih besar baiah atau SD?” soal Abdul Hadi.

The Malaysian Insider mengulas ucapan Abdul Hadi itu sebagai berita buruk terhadap Pakatan Rakyat :

Kemarahan itu, seperti juga isi kandungan ucapannya, bukan petanda baik untuk PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Tiga hari lepas, ucapan dasar Hadi penuh dengan keterbukaan dan belas ehsan terhadap semua, baik penyokong mahu pun pengkritik.

Sebaliknya, kenyataannya pada hari terakhir muktamar yang penuh dengan rungutan dan kemarahan itu ialah tentang bagaimana beliau akan memastikan PAS ikut rentaknya sendiri apabila berhadapan isu dasar dan tadbir urus, walaupun ia sebahagian daripada sebuah gabungan.

Beliau tidak cuba membentuk kesepakatan antara dua puak bersaing dalam PAS, iaitu golongan konservatif dan golongan progresif. Sebaliknya, Hadi mempertahankan puritanisme yang mempengaruhi cara puak konservatif dalam partinya beroperasi.

“Jangan jadikan PAS ni hotel, tempat bersinggah. Jangan jadikan PAS ni jambatan pendek melintas sungai kemudian masuk hutan. Kita bertahaluf dengan PKR, DAP melalui titik persamaan.

“Ahli PAS mesti faham ada perbezaan. PKR berdasarkan sekular pragmatik, DAP sekular sosialis. Kita bukan satu parti,” katanya dalam ucapan penggulungannya.

Walaupun beliau tidak menyatakannya secara khusus, Abdul Hadi sudah cukup membayangkan yang PAS akan menerima jawatan menteri besar Selangor sekiranya dipilih Sultan.

“PAS tidak merebut, pelahap jawatan menteri besar. Walaupun tiada persefahaman siapa menteri besar, walaupun tiada perjanjian bertulis, tetapi ingat, di sana ada hukum syarak, jangan hukum akal sahaja.

“Bila ada raja yang jaga agama. PAS tidak boleh berdiam diri.”

Abdul Hadi merujuk keputusan yang dibuatnya menghantar tiga nama ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor ke istana, salah seorangnya Adun PAS.

Keputusan itu disokong Majlis Syura Ulama yang besar kuasanya, tetapi tidak dipersetujui Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

AJK PAS Pusat memihak kepada rakan dalam Pakatan, iaitu PKR, dan mahu nama presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dihantar kepada Sultan bersama dengan timbalannya Mohamed Azmin Ali.

Abdul Hadi pernah menyebut sebelum ini yang PAS akan akur dengan apa saja keputusan Sultan Selangor.

“Ucapannya agak beremosi. Seolah-olah selama ini beliau memendam rasa di dalam dan akhirnya ia pecah keluar tiba-tiba,” kata seorang AJK PAS Pusat selepas muktamar berakhir.

Menurut pemimpin PAS yang tidak mahu dinamakan itu, tidak seperti ucapan dasar Abdul Hadi, ucapan penggulungannya seperti melepaskan kemarahan kepada pengkritiknya dalam AJK Pusat.

“Beliau tidak langsung mengiktiraf sesiapa pun di antara kami, kecuali mungkin seorang,” katanya.

Ucapan presiden semalam dikatakan tidak cuba mendekatkan ahli PAS dari golongan konservatif dan golongan progresif. Abdul Hadi secara jelas menyatakan beliau berhak membuat keputusan sebelah pihak yang difikirkannya sendiri walaupun bertentangan dengan kemahuan AJK Pusat.

Beliau juga menekankan parti itu mesti dipandu ajaran Al-Quran dan Sunnah mengikut tafsiran Majlis Syura.

Ini bertentangan dengan pendirian AJK Pusat yang mengatakan hujah agama mesti diseimbangkan dengan fikiran yang logik dan rasional.

Bagaimanapun, sesetengah pemimpin PAS seperti Nasrudin Hassan dari golongan “ulama” mengalu-alukan ucapan Abdul Hadi.

“Tujuannya ialah untuk memperkuatkan kita dari dalam, supaya kita ada pendirian sendiri apabila berurusan dengan Pakatan.

“Ini akan bantu kita mempertahankan diri dari tuduhan yang PAS hanya menjadi pak turut kepada rakan parti dalam Pakatan.”



mymassa
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger