Home » » Husam Musa Ketuai Gerakan Pas Kekal Dalam Pakatan Haram?

Husam Musa Ketuai Gerakan Pas Kekal Dalam Pakatan Haram?

Written By Unknown on 03/09/2014 | 9:59 am

Kumpulan dalam PAS kempen kekalkan parti Islam itu bersama Pakatan

Sekumpulan ahli PAS sudah memulakan kempen untuk memastikan parti Islam itu kekal dalam Pakatan Rakyat (PR), satu langkah yang boleh dilihat sebagai cabaran kepada kepimpinan konservatif Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) ditubuhkan selepas lebih 100 ahli PAS bertemu di Kota Baru, Kelantan pada Ahad, kata satu sumber dengan sasaran menghalang parti Islam itu meninggalkan PR dan bekerjasama dengan Umno.

"Dalam pertemuan pada hari Merdeka itu, kita berjaya kumpul 100 orang yang datang dari seluruh negara untuk tujuan yang sama iaitu meletakkan perjuangan PAS atas landasan yang betul," kata salah seorang penggerak utamanya

Beliau enggan dikenali kerana kumpulan konservatif dalam parti itu tidak boleh bertoleransi dengan perbezaan pendapat.

Inisiatif ini bermula selepas Hadi memberitahu Jawatankuasa PAS Pusat pada 25 Ogos beliau mahu bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan di Selangor.

Masih belum dipastikan bagaimana pimpinan PAS akan memberikan reaksi terhadap gerakan ini.

Minggu lepas Hadi mencadangkan PAS, Umno dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bekerjasama dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, Setiausaha Politik Presiden PAS itu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan laporan itu dan menegaskan tiada perbincangan dilakukan di antara Azmin dan Hadi. Portal The Malaysian Insider mempertahankan laporan awalnya itu.

Menurut sumber , PasMa akan mengadakan majlis penerangan di seluruh negara untuk menjelaskan mengapa PAS perlu kekal dalam PR dan menolak Umno.

Majlis penerangan pertama akan diadakan di sebuah hotel di Shah Alam pada 8 September dan akan menampilkan tiga ahli panel iaitu Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof dan bekas ahli Majlis Syura Ahmad Awang.

"Kita akan gabungkan semua pihak dalam majlis penerangan ini, khasnya profesional dan ulama," kata sumber itu.

Hubungan dalam PR menjadi kucar kacir kebelakangan ini disebabkan Langkah Kajang untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Presiden, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan diikuti dengan Majlis Syura Ulama PAS menentang langkah itu dan mempertahankan Khalid.

Tetapi selepas PKR memecat Khalid, PAS menerima keputusan untuk menggantikannya dengan calon lain.

Bagaimanapun PAS tidak berapa senang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Khalid walaupun mesyuarat Jawatankuasa PAS 17 Ogos lalu mencalonkan beliau dan Azmin untuk menggantikan Khalid.

Dalam usaha untuk memastikan Wan Azizah menjadi menteri besar Selangor, PKR berjaya mendapatkan sokongan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS untuk mencukupkan sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sesetengah pihak dalam PAS tidak berpuas hati dengan perkara ini dan bertindak memujuk Azmin untuk bersama mereka dalam gabungan 13 Adun PAS, 12 Adun Umno dan beberapa Adun PKR.

Baru-baru ini, khabar angin mula tersebar kononnya seorang pemimpin kanan PAS membawa tiga Adun PKR Selangor bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat itu bertujuan membuka jalan kerjasama antara tiga Adun PKR itu dengan PAS dan Umno bagi membentuk kerajaan baru di Selangor.

Semalam Husam dalam kenyataannya berkata, matlamat utama Umno dalam kerjasama ini adalah untuk mendapatkan kembali majoriti dua pertiga di Parlimen bagi membolehkan persempadanan pilihan raya baru dilakukan.

"Selangor adalah umpan terdekat mereka," kata Husam dalam artikelnya dan menambah beliau yakin usaha Umno akan menemui kegagalan.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger