Home » » Adun Dap & Pkr Tidak Hadir Ketika Azmin Angkat Sumpah?

Adun Dap & Pkr Tidak Hadir Ketika Azmin Angkat Sumpah?

Written By Unknown on 23/09/2014 | 2:29 pm



KLANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali sebentar tadi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji berlangsung di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang pada jam 10. 41 pagi.

Mohamed Azmin, 50, turut melafazkan ikrar "Aku Janji" merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi dan patuhi dalam tempoh memegang jawatan menteri besar.

Antara Aku Janji itu ialah memelihara dan menjunjung prinsip Rukun Negara, memastikan agama Islam tidak diganggu gugat, mempertahankan institusi raja, memastikan hak orang Melayu terpelihara, menjaga hak sah kaum lain serta mendahulukan rakyat.

Turut hadir, ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi; ADUN Selat Klang, Dr Halimah Ali; Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh; ADUN Chempaka, Iskandar Abdul Samad dan ADUN Sabak, Sallehin Mukhyi.

Bagaimanapun, kebanyakan ADUN daripada DAP dan PKR tidak kelihatan dalam upacara istiadat berkenaan.

Kawalan keselamatan di Istana Alam Shah di sini juga lebih ketat berbanding sebelum ini dengan sesiapa yang tidak tersenarai sebagai jemputan atau petugas media yang tidak berdaftar dengan Istana Selangor tidak dibenarkan masuk ke kawasan istana berkenaan.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dilantik ke jawatan berkenaan selepas Sultan Selangor memberi perkenan memilih nama beliau daripada beberapa nama yang dihantar kepada Baginda, awal bulan lalu.

Krisis Menteri Besar Selangor berlarutan sejak awal tahun ini apabila PKR mengumumkan Langkah Kajang bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, berikutan keputusan mahkamah pada 7 Mac lalu yang mendapati Anwar bersalah dalam kes liwat 2, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan untuk mengisi jawatan itu.

Namun, selepas hampir dua bulan PKR cuba 'mendesak' Sultan menerima Timbalan Presiden PKR itu sebagai Menteri Besar, semalam, Istana Selangor mengutuskan surat kepada Mohamed Azmin mengesahkan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Selesai istiadat mengangkat sumpah di sini, Mohamed Azmin dijadual mengadakan kenduri kesyukuran di kediaman ibunya di Kampung Klang Gate Baru, Kuala Lumpur bermula jam 12.30 tengah hari ini.


sumber
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger