Sidang media PKR Selangor hari ini kecoh apabila media menerima dua kenyataan akhbar berbeza mengenai nama calon menteri besar yang dipersetujui mereka.
Kenyataan pertama menyatakan sokongan penuh terhadap presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Bagaimanapun, semasa sidang media berlangsung, seorang individu yang tidak dikenali menarik balik kenyataan itu dan menggantikannya dengan kenyataan baru yang mencadangkan dua nama iaitu Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.
Pada sidang media itu, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mengumumkan senarai nama cabang parti, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen yang menyatakan persetujuan menyokong Dr Wan Azizah.
"Kita menyeru semua ahli parti menyokong presiden kita sebagai menteri besar Selangor.
"Menjadi harapan kita dengan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar, krisis yang berlaku sekarang dapat diselesaikan dan agenda perubahan dan semangat transformasi dapat diteruskan," katanya di ibu pejabat PKR.
Apabila kenyataan kedua tersebar, keadaan mula menjadi kecoh apabila pemimpin PKR Selangor yang hadir enggan menjelaskan kepada media situasi sebenar yang berlaku. – 6 Ogos, 2014. The Malaysian Insider
Post a Comment