Home » » Rakyat Selangor Tolak Wan Azizah, Siapa Nak Dengar

Rakyat Selangor Tolak Wan Azizah, Siapa Nak Dengar

Written By Unknown on 21/08/2014 | 11:07 am

Cadangan pelantikan isteri kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu terus mendapat bantahan pelbagai pihak.

Terbaru, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) bergelar Angkatan Rakyat Sedar (ARAS) sebulat suara menolak cadangan pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.

Presiden gabungan itu, Abdul Rahim Abdul Wahad berkata, gabungan yang terdiri daripada 12 NGO itu, menolak pelantikan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dan mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meneruskan tugas beliau sebagai Menteri Besar Selangor sehingga akhir penggal.

“Abdul Khalid menjalankan tugas beliau dengan cemerlang dan gabungan ini melihat tiada sebab beliau patut diganti, kenapa nak tukar pemimpin yang baik.

“Malah beliau juga diganti dengan seorang yang bukan kelahiran Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Antara NGO yang menyertai gabungan itu ialah Gerak Arus Rakyat Bawahan Selangor, Persatuan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar, Persatuan Kongres Warisan Melayu Selangor dan Persatuan Bekas Tentera Tidak Berpencen.

Krisis Menteri Besar Selangor bermula apabila Abdul Khalid dipecat oleh PKR pada 9 Ogos lepas kerana tidak menurut arahan parti supaya meletakkan jawatan.

Abdul Khalid, yang mengekalkan jawatan Menteri Besar selepas mendapat perkenan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pula bertindak memecat anggota Exco kerajaan negeri daripada DAP dan PKR pada 12 Ogos lepas apabila mereka enggan menyokong kepimpinannya.

Dua hari lepas, PAS pula membuat keputusan menarik balik sokongannya terhadap Abdul Khalid dan menamakan Dr Wan Azizah dan timbalannya Mohamed Azmin Ali untuk jawatan Menteri Besar.

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dalam mesyuaratnya kemudian memutuskan bahawa hanya Dr Wan Azizah ialah calon tunggal bagi menggantikan Abdul Khalid.

Susulan perkembangan itu, Abdul Khalid telah dititah oleh Sultan Selangor untuk menunggu kepulangan baginda ke tanah air pada 27 Ogos ini untuk menghadap baginda bagi membincangkan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor.

Sementara itu di KLANG, satu memorandum menyokong Abdul Khalid mengekalkan jawatan beliau diserahkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.

Memorandum tersebut diserahkan Presiden Solidariti Abdul Khalid Ibrahim, Hazlan Shaffii Adil di Istana Alam Shah di sini kira-kira 3 petang dan diterima oleh wakil istana.

Menurut Hazlan, selain menyokong Abdul Khalid mengekalkan jawatan beliau, memorandum itu turut menyatakan kekesalan terhadap tindakan PKR yang membelakangkan titah Sultan yang memberi perkenan kepada Abdul Khalid.

“Tindakan (menukar menteri besar) juga merupakan pencetus kepada huru-hara yang berlaku di negeri ini,” katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan memorandum itu kepada wakil istana.– BERNAMA

Foto hiasan

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger