GEORGETOWN, 25 OGOS: Susulan satu serangan dipercayai dilakukan oleh Pasukan Peronda Sukarela (PPS) P.Pinang terhadap seorang aktivis sosial yang meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap pentadbiran Ketua Menteri P.Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini telah mendapat perhatian Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan.
Dalam satu sidang media hari ini, Huan dalam kenyataannya mempersoalkan mengapa PPS berani bertindak sedemikian walhal unit itu bukanlah satu unit yang mempunyai kuasa untuk bertindak dan juga menahan orang sepertiman yang dilakukan oleh pihak Polis memandangkan unit itu bukannya berdaftar dengan Jabatan Pertubuhan Pendaftaran Negeri P.Pinang.
"Saya telah melakukan pengesahan dengan ROS P.Pinang tentang PPS ini dan amat mendukacitakan sekali bahawa unit itu sebenarnya tidak pernah didaftarkan dan ianya dilihat sebagai pertubuhan haram dan sudah semestinya ianya salah dari segi undang-undang" ujar beliau kepada media hari ini.
Menurut Huan lagi, unit yang ditubuhkan oleh Guan Eng itu kini dilihat telah terpesong dari matlamat asal mereka yang kononnya untuk menjaga dan membantu anggota Polis di P.Pinang dalam aspek keselamatan tetapi sebaliknya kini dilihat lebih kepada menjadi unit keselamatan bagi parti DAP sahaja.
"Sekarang ini PPS dilihat telah mula menjadi skuad keselamatan DAP,kemana sahaja majlis DAP pasti akan dikawal oleh PPS. Cuba lihat pada PRK Bukit Gelugor yang lalu, anggota PPS dilihat lebih ramai dari anggota Polis dan tindakan mereka dilihat seolah-olah mereka berkuasa di negeri ini", ujar Huan lagi.
Huan turut mendedahkan bahawa PPS kini mula besar kepala apabila mereka dilihat seolah-olah kebal undang-undang apabila ketika melakukan rondaan, mereka berani membawa senjata merbahaya seperti kayu besbol,rotan dan juga alatan memukul yang lain sehingga menimbulkan persoalan adakah ianya mendapat kelulusan dari pihak Polis.
"Mereka membawa senjata merbahaya seolah-olah mereka berkuasa di sini. Perkara ini akan saya panjangkan kepada pihak berkuasa dan tindakan lanjut akan diambil memandangkan beberapa bukti kini sudah siap dikumpulkan dan selanjutnya akan diambil dalam masa terdekat ini." ujarnya lagi.
Dalam kenyataannya itu lagi, Huan memberitahu bahawa pihaknya akan bertemu dengan pemimpin dari Kemeterian Dalam Negeri dan juga pihak berwajib yang lain agar dapat memantau permasalahan membabitkan skuad ini memandang kini terdapat salah laku yang terjadi dan juga sistem perlantikan ahi PPS yang diragui apabila tidak menapis dan melihat latar belakang sebelum membuat lantikan secara rasmi.
Post a Comment