Anggota polis Marin, Konstabel Zakia Aliep, 26, yang diculik sekumpulan penceroboh di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, pada Sabtu malam dipercayai masih hidup dan ditawan di lokasi yang tidak diketahui.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Zakia ada menghubungi isteri, Sharifah Erna Berson malam tadi menyatakan dia selamat meskipun kini ditahan oleh penculik.
"Dia ada menghubungi isteri dia semalam yang hanya mengatakan dia ok kecuali berada dengan beberapa orang dan tidak menyatakan lokasi ditahan," katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.
Khalid berkata pihaknya masih menunggu panggilan selanjutnya daripada kumpulan penculik itu untuk mengenal pasti kedudukan sebenar Zakia.
Menurut Khalid, polis secara dasarnya mengetahui identiti beberapa individu yang terlibat dalam serangan hendap pada malam Sabtu lepas.
Setakat ini, katanya polis tidak menerima sebarang permintaan wang tebusan daripada kumpulan penculik berkenaan.
Dalam pada itu, Khalid berkata pihaknya telah meneliti sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pusat peranginan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Kita pasti ada penglibatan dalang-dalang di kawasan berhampiran yang berhubung dengan pihak musuh kerana mereka boleh bertindak sedemikian," katanya.
Beliau berharap masyarakat tidak membuat spekulasi berhubung insiden berkenaan.
"Kita lihat kebelakangan ini beberapa tindakan penjenayah melakukan pelbagai jenayah yang dipercayai mereka ingin melakukan satu lagi penculikan tapi kerana kehadiran pasukan keselamatan kawasan itu, mereka tidak dapat melakukannya," katanya.
Khalid juga tidak menolak kemungkinan penjenayah terbabit sanggup membunuh dan menembak pasukan keselamatan untuk membalas dendam apabila usaha penculikan gagal.
Kejadian serangan oleh sekumpulan lapan lelaki pada 11.10 malam Sabtu lepas itu, turut mengorbankan rakan sekerja Zakia, Koperal Abul Rajah Jamuan, 32 tahun.Bernama
MMI
Post a Comment