Home » » #MH17 : Kami Terkejut Dengan Reaksi Pemberontak - Pasukan Penyiasat Malaysia

#MH17 : Kami Terkejut Dengan Reaksi Pemberontak - Pasukan Penyiasat Malaysia

Written By Azmy Klanajaya on 27/07/2014 | 1:51 am

Penerima kotak hitam MH17, Mejar Muhamad Mustafa Omar tidak menyangka kedatangan pasukan penyiasat khas Malaysia ke timur Ukraine diterima baik oleh anggota puak pemisah.

"Kami pun terkejut dengan kerjasama yang diberikan pihak pemisah, mereka menanti kedatangan kami untuk meneruskan proses rundingan," katanya yang ditemui di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini.

Mejar Muhamad Mustafa merupakan antara 65 anggota pasukan penyiasat khas Malaysia yang pulang ke tanah air pada kira-kira pukul 10.52 pagi ini setelah berada di Ukraine selama lapan hari untuk mengumpul bahan bukti, mencari kotak hitam dan membawa pulang mayat mangsa terlibat.

Gambar Mejar Muhamad Mustapa menerima kotak hitam itu daripada puak pemisah dirakamkan oleh media seluruh dunia.

Beliau berkata perjumpaan dengan ketua pihak pemisah Alexander Borodai juga berjalan lancar tanpa insiden yang tidak diingini.

"Walaupun Borodai adalah ketua kumpulan pemisah, tapi beliau layan kami dengan baik, "katanya yang enggan mengulas lanjut tentang butiran rundingan dengan Borodai.

Mejar Muhamad Mustafa berkata sepanjang melakukan proses penyiasatan, satu daripada cabaran yang dilalui beliau dan pasukannya adalah sekatan jalan yang banyak sama ada yang diadakan oleh pihak tentera Ukraine ataupun puak pemisah.

"Sebenarnya tugas saya adalah untuk mengiringi pasukan ini, kebetulan saya juga mempunyai latar belakang teknikal untuk pastikan kotak hitam yang kami terima adalah kotak hitam yang betul dan mempunyai nombor siri yang berpadanan dengan pesawat itu, dan tugas saya diberikan secara spontan di situ.

"Saya berbangga sebab dapat pikul tanggungjawab saya dan ia juga tugas saya dalam memastikan semuanya berjalan dengan lancar," katanya semasa menceritakan semula pengalamannya ketika kotak hitam diserahkan buat pertama kalinya kepadanya.

Sementara itu, bagi seorang daripada anggota Pasukan Penyelamat Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) daripada Tentera Udara Diraja Malaysia, Koperal Constatine Anji, 29, tugas memindahkan mayat-mayat mangsa MH17 daripada kereta api ke dalam pesawat di Karkhiv merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakannya seumur hidup.

"Tiada satu mayat pun yang saya lihat sempurna, kebanyakannya terpisah, dan hancur dengan bau kurang menyenangkan, dalam hati sebak, tetapi demi tugas untuk negara saya cekalkan hati memindahkan mayat berkenaan bersama anggota pasukan lain," katanya.

Beliau yang telah dua tahun menyertai SMART berkata ini adalah pengalaman pertama beliau mengendalikan bencana di luar negara dan melibatkan nahas kapal terbang.

Bagaimanapun, katanya, kawasan tempat memindahkan mayat itu merupakan kawasan selamat dan proses pemindahan yang mengambil masa tiga jam berlaku dalam keadaan lancar dengan kerjasama baik puak pemisah.

Bagi seorang daripada doktor Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut terlibat dengan pasukan itu Kapten Dr Mohd Zainizam Zainal, 31, beliau tidak akan lupa pengalaman mengiringi mayat-mayat mangsa dalam gerabak kereta api sambil dikawal ketat anggota puak pemisah.

"Kelibat anggota puak pemisah itu boleh dilihat di mana-mana sahaja tetapi mereka tidak mengapa-apakan kami. Mereka berjaga untuk keselamatan...maklumlah itu memang zon peperangan," katanya.

Zainizam, bapa kepada seorang anak berlepas ke Kiev, Ukraine pada 18 Julai dan sepanjang tempoh itu keluarganya termasuk isteri banyak berdoa bagi keselamatannya dan selamat pulang ke tanah air.

"Memang terdetik rasa takut tetapi diketepikan. Mujur juga isteri memahami dan sentiasa menasihati saya agar tabah menjalankan tugas dan kami sebenarnya baru menimang cahaya mata pada Jun," katanya yang telah berkhidmat selama lima tahun dengan ATM.

Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 298 penumpang dan anak kapal terhempas di Donetsk, Timur Ukraine pada Khamis lepas.

Pesawat itu dipercayai ditembak jatuh tetapi setakat ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab. - Bernama

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger