Home » » Besut : Gaduh Dengan Ibu, Pelajar Ditemui Mati Sebelum Berbuka Puasa

Besut : Gaduh Dengan Ibu, Pelajar Ditemui Mati Sebelum Berbuka Puasa

Written By Unknown on 27/07/2014 | 3:31 pm

BESUT - Seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 di Hulu Besut ditemui mati di dalam bilik tidur selepas berlaku perselisihan faham antara mangsa dan ibunya pada kira-kira 7 petang semalam.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan memarahi anak saudaranya yang berumur 8 tahun kerana membuang sampah di depan pintu bilik beliau sebelum ditegur ibunya pada kira-kira 6.30 petang.

Ketika mengesahkan kejadian, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa bertindak mengurung diri dalam bilik sebagai memprotes tindakan ibunya yang dikatakan menyebelahi kanak-kanak terbabit.

Kira-Kira setengah jam sebelum berbuka puasa, ibu mangsa menyuruh cucunya memanggil pelajar itu untuk membantu beliau menghidangkan makanan.

"Setelah memasuki bilik ibu saudaranya itu, anak saudara mangsa berlari keluar dari bilik dan memberitahu neneknya yang ibu saudaranya dilihat tidur sambil berdiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noorzainy berkata, selepas mendengar kata-kata kanak-kanak itu, ibu mangsa bergegas ke bilik anaknya dan mendapati pelajar terbabit dalam keadaan tergantung sambil berlutut dengan seutas tali terjerut di leher.

Beliau berkata, ibu mangsa kemudian membuka tali yang menjerut leher anaknya sambil memaklumkan perkara itu kepada anggota keluarga lain yang menghubungi polis.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada unsur khianat berhubung kematian pelajar itu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat. - Bernama

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger