Home »
BeritaUtama
» Kalimah Allah : Paderi Lawrence Kecewa Dengan Keputusan
Kalimah Allah : Paderi Lawrence Kecewa Dengan Keputusan
Pengarang penerbitan The Herald, Paderi Lawrence Andrew melahirkan rasa kecewanya dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang pada Isnin menolak rayuan Gereja Katolik untuk merayu larangan penggunaan kalimah Allah’ dalam penerbitannya.
“Keputusan oleh empat hakim itu menyentuh perkara yang tiada kena mengena (dengan rayuan), manakala tiga yang lain jelas menyuarakan tentang hak orang ramai dan hak golongan minoriti,” kata Lawrence di luar mahkamah.
Lawrence turut memuji tiga hakim yang lain dengan menyifatkan mereka sebagai “berani” untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
“Mereka (tiga hakim) mengenal pasti kesilapan dan kelemahan dalam keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
“Mahkamah seharusnya melihat prosedur ketika Mahkamah Rayuan membuat keputusan tetapi telah mengelakkannya dan kenyataan (hari ini) memberi kesan kepada penganut Kristian,” katanya.
Lawrence juga berpendapat keputusan mahkamah hari ini bukannya persoalan “siapa menang atau kalah” tetapi satu realiti kepada kehidupan penganut agama itu.
Reaksi PERKASA
“Akhirnya selesai, kita teruskan dengan hidup kita.” Itu respon presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkaitan penolakan rayuan Gereja Katolik untuk menggunakan kalimah Allah.
“Alhamdulillah dan syukur… kes ini akhirnya selesai,” kata Ibrahim ketika ditanya pihak wartawan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Ibrahim berharap dengan keputusan itu, tiada lagi isu dan masalah berbangkit dalam penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
“Di Semenanjung, perkara ini tidak berlaku. Saya berharap yang perkara ini tidak akan berulang. Kita hanya perlu teruskan hidup mengikut norma budaya masing-masing,” kata Ibrahim.
Katanya, kelantangan pihak PERKASA dalam menangani isu ini hanyalah untuk mengekalkan isu keselamatan negara.
“Saya berharap keputusan ini akan difahami, mereka bebas untuk menggunakan apa-apa bahasa pun. Cuma jangan gunakan kalimah Allah. Saya menggesa untuk kita lupakan isu ini dan teruskan hidup kita,” kata Ibrahim.
Tambahnya, isu ini telah menggugat sensitiviti umat Islam dan PERKASA.
Apabila ditanya samada PERKASA akan bertindak jika kaum bukan Islam akan terus mempersoalkan penggunaan kalimah ‘Allah’, Ibrahim berkata ... "itu bukan cara kami."
astroawan
Post a Comment