Muslimat Pas Negeri Terengganu hari ini, menyelar dan mengecam sekeras-kerasnya tuduhan Mohd Radzi Othman, Setiausaha Ulama Muda Umno (Ilmu) berkenaan kenyataannya yang mengatakan bahawa Muslimah bertudung labuh yang keluar menyertai Himpunan Membantah GST pada 1 Mei lepas sebagai pelacur kelas atasan.
Ketuanya, Safinah Jusoh berkata , kenyataan tersebut jelas memperlihatkan bahawa ianya sebagai satu fitnah kepada kehormatan dan kesucian peribadi Muslimah.
“Bagaimana Muslimah yang berpakaian sopan menutup aurat serta menjaga adab pergaulannya dituduh sebegitu rupa ?
“Tidak berasas sama sekali mereka disamakan dengan pelacur yang menggadaikan agama dan maruah kewanitaannya.
“Kenyataan itu juga menggambarkan budaya golongan ulama Umno yang kerap menyalahgunakan amanah ilmu mereka dengan kenyataan menyalahi syariat demi kepentingan politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Tambah Safina, seorang Muslim tidak dibenarkan menuduh dan melabel sesama Muslim dengan panggilan yang buruk apatah lagi kata-kata fitnah yang menyamatarafkan Muslimah yang bertudung labuh sebagai pelacur kelas atasan kerana ianya sangat dilarang oleh ALLAH.
Oleh itu, Safina menuntut Mohd Radzi Othman, supaya menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh Muslimah.
Terdahulu Mohd Radzi mengeluarkan kenyataan tersebut di laman sosial Facebooknya pada 2 Mei yang lepas.
Suaratv
Post a Comment