Home » » Seremban : Foto Biarawati Di Serang Bukan Motif Dendam

Seremban : Foto Biarawati Di Serang Bukan Motif Dendam

Written By Unknown on 16/05/2014 | 5:39 pm

SEREMBAN –  Sister Julianna Lim, salah seorang biarawati warga emas yang diserang di sebuah gereja di sini pada Rabu mungkin mengalami kecederaan otak yang tidak dapat dipulihkan.

Biarawati berusia 69 tahun dari fahaman Holy Infant Jesus yang berpangkalan di Kampung Pasir mempunyai beberapa darah beku di kepalanya selepas dipukul berulang kali menggunakan topi keledar di Gereja Visitation di sini.

Ahli-ahli fahaman Roman Katolik yang sentiasa membantu golongan miskin dan mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal, dan dikenali di seluruh dunia kerana mendekati golongan terpinggir, akan memastikan mereka mendapat peluang untuk merasai kehidupan lebih baik untuk diri mereka sendiri.

Ahli gereja P. Mary Josephine , 65, berkata, doktor menyatakan demikian kepada wakil gereja bahawa keadaan Lim tidak bertambah baik sejak dia tidak sedarkan diri selepas insiden serangan berlaku.

“Tekanan darah beliau sangat tinggi ketika dibawa masuk ke hospital tetapi kini telah menurun. Doktor cuba yang terbaik untuk menstabilkan beliau tetapi tidak ada tanda-tanda akan dipulihkan buat masa ini,” katanya.

Beberapa ahli-ahli gereja berdoa di sisi Lim di hospital sejak beliau dibawa masuk untuk diberikan rawatan.

Josephine berkata, Lim mengalami kecederaan dalaman yang teruk dan pendarahaan pada bahagian kepala.

“Ia adalah masa yang sukar bagi keluarga, saudara-mara dan juga ahli-ahli gereja. Kami berdoa supaya beliau segera pulih,” katanya.

Sister Marie Rose/Theresa Teng yang juga diserang kembali sedar dan boleh bercakap dengan mereka yang melawatnya di hospital.

Polis merekodkan kenyataan biarawati yang berusia 79 tahun itu pada Khamis.

Josephine berkata, Marie Rose memberikan beberapa butiran mengenai serangan itu kepada pegawai gereja.

“Beliau berkata terdapat seorang penyerang yang menyerang beliau menggunakan topi keledar ketika mereka berjalan berhampiran pintu masuk ke gereja.

“Beliau merayu suspek untuk tidak dicederakan kerana beliau sudah berumur tetapi kemudian dia menyerang Lim,” katanya.

Josephine berkata, Marie Rose juga mengalami beberapa pendarahan dalaman tetapi doktor berjaya menanganinya.

“Beliau dalam keadaan baik kerana kejadian itu tidak memberi kesan dalaman pada otaknya,” katanya.

Seorang ahli gereja berkata, kedua-dua biarawati itu aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan. – mstar.com.my

Update :

Serangan terhadap dua biarawati warga emas di dalam kawasan Gereja Visitation dekat sini pada Rabu bukan jenayah benci, kata Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh.

Osman berkata, berdasarkan siasatan awal, polis turut menolak jenayah benci sebagai motif serangan itu.

Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kes berkenaan di bawah seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan semasa rompakan.

Kedua-dua biarawati itu diserang tanpa belas kasihan menggunakan topi keledar dan dirompak di perkarangan Gereja Visitation sebelum subuh pada Rabu, di mana mereka hanya mempunyai beberapa ringgit ketika kejadian.

Sister Julianna Lim, 69 yang kini bertarung nyawa berada dalam keadaan koma mempunyai kurang daripada RM10 manakala Sister Marie Rose/Theresa Teng, 79, mempunyai beberapa ringgit, dalam beg tangan kecil mereka ketika diserang oleh seorang suspek yang memakai topi keledar bertutup muka penuh.

Kedua-dua mereka juga membawa beberapa bahan keagamaan seperti tasbih, buku-buku doa dan naskah Bible ketika diserang.

Osman berkata selain itu, yang dibawa mereka adalah kunci rumah mereka di Kg Pasir, kunci kereta dan sebuah telefon bimbit.

“Kami dapat merakamkan kenyataan Marie Rose dan dia berkata bahawa seorang lelaki yang memakai topi keledar bertutup muka penuh telah menyerangnya dahulu menggunakan topi keledar.

“Ia membuatkan Lim untuk menjerit, menyebabkan penyerang memukulnya menggunakan topi keledar berulang kali,” katanya.

Seorang pengawal gereja mendapati kedua-dua Lim dan Marie Rose terbaring dengan berlumuran darah di pintu masuk ke gereja pada pagi itu.

Kedua-dua mereka tiba di gereja beberapa minit lebih awal, dengan menaiki kereta yang yang dipandu Lim bersama seorang lagi biarawati.

Sebelum kejadian berlaku, seorang lagi rahib berkenaan berjalan ke arah patung Virgin Mary untuk memulakan doa manakala mangsa berjalan ke hadapan untuk berdoa.

Osman berharap Lim akan pulih dengan segera dan mendapat petunjuk berhubung serangan itu berikutan dia yang melihat suspek memukul Marie Rose terlebih dahulu.

“Marie Rose tidak ingat banyak mengenai suspek yang memukulnya dari arah tepi.

“Apa yang dia boleh memberitahu kita adalah seorang penyerang memakai topi keledar bertutup muka penuh, berbadan kurus dengan ketinggian kira-kira 5 kaki 7 inci,” katanya.

Beliau berkata, mangsa juga berpakaian biasa dan tidak memakai pakaian seragam ketika diserang.

“Kita sedang meneliti rakaman CCTV yang diterima daripada gereja untuk mendapatkan petunjuk.

“Secara keseluruhan, terdapat 13 CCTV dan kita memerlukan masa dan bantuan daripada pakar-pakar untuk mengkajinya dengan teliti,” katanya.

Bagaimanapun, Osman berkata, CCTV di pintu masuk ke gereja di mana kedua-duanya diserang, tidak berfungsi.

“Agak tidak bernasib baik tetapi kita akan melihat CCTV lain dan berharap untuk mendapatkan beberapa petunjuk dari rakaman yang lain,” katanya sambil menambah bahawa satu pasukan forensik polis turut dihantar ke tempat kejadian untuk mencari petunjuk.

Beliau turut menggesa saksi kejadian untuk tampil ke hadapan dan membantu siasatan.

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger