Georgetown: Meskipun PAS menyokong pencalonan calon DAP, Ramkarpal Singh Deo pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, namun beliau tetap berpegang kepada pendirian menentang hukum hudud.
Ramkarpal berkata, pendirian politik beliau adalah membawa agenda mendiang ayahnya, Karpal Singh yang keras menolak pelaksanaan hukum hudud dan konsep negara Islam.
Pendirian (hukum hudud) saya adalah jelas dan sama seperti apa yang sering diperjuangkan DAP dan saya sama sekali tidak akan berganjak dengan pendirian berkenaan.
Tiada apa yang akan berubah dan kita konsisten dengan pendirian terbabit, katanya pada sidang media di sini, semalam.
Hadir sama, abangnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo.
Pada 12 Mei lalu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyuarakan sokongan terhadap DAP untuk meletakkan calon pada PRK Parlimen Bukit Gelugor walaupun seorang lagi calon, ahli PAS, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar bertanding bagi memperjuangkan cita-cita hudud PAS.
Lebih 82,000 pengundi dijangka mengundi berikutan kematian Karpal dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Gua Tempurung, 17 April lalu.
Nafi sebar poster
Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata, beliau tidak ada kaitan dengan penyebaran poster di internet yang mendakwa beliau menyokong pelaksanaan hudud di Pulau Pinang menjelang 2020.
Saya tiada kaitan dengan poster itu dan macam saya katakan tadi bahawa pendirian saya adalah sama dengan DAP dan berharap penyebaran poster itu boleh dihentikan, katanya.
Katanya, beliau dimaklumkan abangnya, Jagdeep Singh Deo bahawa penggunaan logo kerajaan negeri pada poster itu juga tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri dan satu laporan akan dibuat supaya tindakan susulan dapat diambil.
Bh
Post a Comment