AHLI keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hari ini mula meninggalkan Hotel Lido di Beijing, China selepas MAS mengumumkan penutupan semua operasi bantuan ahli keluarga akan dibuat pada hari ini.
Selain ditutup, pihak MAS juga tidak lagi akan menyediakan kemudahan penginapan kepada mereka di hotel berkenaan.
Menurut laporan The Wall Street Journal yang dipetik The Malaysian Insider, ahli keluarga penumpang mula tinggal di sana sejak dua bulan lalu dengan penuh harapan dapat menerima berita mengenai para penumpang yang berada dalam pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.
Laporan itu menyebut, para ahli keluarga menyertai dan mendengar setiap hari taklimat dan sentiasa menawarkan sokongan moral di antara satu sama lain.
Bagaimanapun, biarpun mereka tidak lagi akan berada di hotel itu, kumpulan yang diwujudkan di media sosial dan aplikasi telefon pintar terus berfungsi dan hidup dalam cuba untuk mendapatkan jawapan sebenar.
Dalam sebuah kumpulan di dalam aplikasi WeChat terdapat kira-kira 500 ahli terdiri daripada ahli keluarga, wartawan, pegawai polis dan juga kakitangan kerajaan China pada Selasa membincangkan pelbagai topik.
Antara yang dibincangkan ialah bagaimana caranya untuk mendapat lokasi kediamansementara di Beijing bagi tujuan mereka menguruskan hal tuntutan dan undnag-undang.
WeChat merupakan sebuah aplikasi perbualan dalam telefon pintar yang dibangunkan oleh syarikat Tencent di China.
Anak kepada seorang penumpang, Jimmy Wang, 31 tahun yang berada dalam pesawat MH370 berkata kumpulan khas itu diwujudkan pada hari pertama pesawat MH370 hilang bagi tujuan untuk kesemua mereka terus berhubung.
Menurut beliau, pengendali kumpulan itu merancang untuk menghentikan fungsi kumpulan itu kerana terdapat ramai ahli yang bukan berkaitan dengan penumpang MH370, tetapi para ahli keluarga mula menyertainya.
Wang berkata pihak pengendali kumpulan bercadang mewujudkan kumpulan baru dengan hanya tiga wakil ahli keluarga dibenarkan telibat.
Beliau yang merupakan seorang graduan dari Sweden yang tinggal di Beijing sejak 8 Mac, diminta meninggalkan Hotel Lido bersama ahli keluarga lain selewat-lewatnya esok.
“Pihak MAS akan terus berhubung dengan keluarga melalui perkembangan yang akan dimaklumkan melalui panggilan telefon, sistem khidmat pesanan ringkas, internet dan sesi pertemuan,” kata kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkenaan penutupan itu. – MYNEWSHUB.MY
Post a Comment