AirAsia dan AirAsia X yang akan memulakan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 9 Mei ini mengeluarkan tiga nasihat perjalanan kepada para penumpang mereka.
Tiga nasihat itu adalah tiba di KLIA2 tiga jam sebelum waktu perlepasan, daftar masuk sendiri melalui lama web atau peranti mudah alih dan penguatkuasaan hanya satu bagasi kabin bagi setiap penumpang.
“Penumpang dinasihatkan tiba tiga jam awal sebelum waktu perlepasan dan menguruskan segala keperluan perjalanan seawal mungkin kerana KLIA2 meliputi kawasan yang luas dan lebih masa diperlukan untuk sampai dari satu tempat ke tempat yang lain di lapangan terbang tersebut.
“Mereka juga digalakkan untuk melakukan daftar masuk sendiri melalui laman web atau peranti mudah alih sebelum tiba ke lapangan terbang. Daftar masuk sendiri boleh dilakukan dari 14 hari dan sehingga satu jam sebelum perlepasan bagi penerbangan AirAsia dan sehingga empat jam sebelum perlepasan bagi penerbangan AirAsia X,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, kaunter daftar masuk bagasi dibuka tiga jam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan dan ditutup satu jam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan bagi semua penerbangan antarabangsa dan domestik.
Jelas kenyataan itu, polisi ‘satu bagasi kabin’ akan terus dikuatkuasakan bagi memastikan kelancaran proses menaiki dan turun pesawat di KLIA2.
“Kakitangan AirAsia dan AirAsia X bersedia membantu para penumpang bagi memastikan perjalanan operasi yang lancar di lapangan terbang baharu tersebut,” kata kenyataan itu.
AirAsia turut meminta penumpang yang mahu mendapatkan sebarang maklumat lanjut mengenai operasi di KLIA2 supaya melayari laman web www.airasia.com/ask.
“Bagi sebarang pertanyaan berkenaan perkhidmatan lain di KLIA2 yang tidak berkaitan dengan syarikat penerbangan, lawati laman web www.malaysiaairports.com.my,” tambah kenyataan itu.
Post a Comment