


1) Negara kita tidak pernah sunyi dengan drama politik yang berlaku hampir setiap minggu. Selain episod drama dalam pemilihan parti PKR yang sedang berlaku sekarang ini, UMNO pula telah digegarkan dengan kemelut politik Terengganu yang begitu mendebarkan.
2) Kita semua telah dikejutkan dengan tindakkan bekas Menteri Besar dan dua ADUN Terengganu meletak jawatan kerana tidak puas hati dengan peralihan kuasa apabila Menteri Besar baru dilantik menggantikan Ahmad Said.
3) Sungguhpun mereka bertiga telah kembali waras dan menarik hasrat lalu berpaut semula kepangkuan UMNO, impak terhadap politik UMNO amat mendalam sekali kerana ia melibatkan kredibiliti seorang pemimpin juga sekaligus memberi tamparan hebat kepada kewibawaan DS Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.
4) Kegawatan ini tidak sepatutnya berlaku jika Ahmad Said bersikap 'gentleman' and 'professional' bukan mengikut gelombang perasaan sehingga sanggup mencabar kredibiliti dan kewibawaan DS Najib dalam perjanjian yang beliau sendiri telah persetujui.
5) Peralihan kuasa dalam UMNO telah berlaku sejak dahulu lagi. Almarhum Tunku Abdul Rahman telah meletak jawatan dan digantikan dengan Allahyarham Tun Razak sejurus selepas tragedi 13 Mei1969. Tun Mahahir telah diberikan kepercayaan oleh Allahyarham Tun Husien Onn untuk meneruskan perjuangan membela bangsa dan tanah air. Semua ini berlaku dalam keadaan yang tenang dan sihat.
6) Begitu juga ketika Tun Mahathir menyerahkan kuasa kepada Pak Lah yang seterusnya pula dengan rela hati menyerahkan tampok kepimpinan UMNO dan negara kepada DS Najib dalam peralihan kuasa yang cukup sopan tanpa sebarang peristiwa pun ketika itu.
7) Ramai yang setuju dan menyatakan apa pun alasan Ahmad Said tidak boleh diterima kerana beliau sepatutnya patuh dan akur kepada perjanjian dan perakuan beliau sebelum ini kerana manusia hidup berpegang pada janji dan setiap janji patut ditepati.
8) Dalam kemelut ini, sudah semestinya ada pihak yang ingin menangguk di air yang keruh dan melemparkan kekhilafan kepada Setiausaha Agong UMNO yang dikatakan tidak dapat membaca sebarang kemungkinan yang akan terjadi di atas peralihan kuasa di negeri yang terkenal dengan pendaratan penyu itu.
9) Ketua Bahagian Cheras DSW Syed Ali dalam blognya menyatakan bahawa mungkin sedang berlaku gerakkan oleh puak puak tertentu di dalam atau di luar UMNO yang ingin mencabar DS Najib maka Setiausaha Agong UMNO telah dijadikan kambing hitam justeru mereka ini mengambil kesempatan dengan mengunakan kemelut politik yang berlaku di Terengganu.
10) Walaupun keadaan cemas itu boleh mengakibatkan Kerajaan BN tumbang tetapi atas kebijaksanaan pemimpin pemimpin UMNO jugalah tidak sampai 36 jam keadaan politik di Terengganu kembali stabil dan Ahmad Radzi dapat meneruskan tugas sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.
11) Beberapa perkara boleh dijadikan pengajaran, iaitu pertama pemimpin UMNO yang dipilih tidak boleh dibenarkan dicabar atau diugut oleh mana mana ahli parti terutama mereka yang telah dilantik oleh pemimpin UMNO itu sendiri.
12) Ahmad Said dan kuncu2nya telah melakukan satu kesilapan yang lazimnya tidak boleh dimaafkan dalam percaturan politik kerana budaya tidak sihat ini tidak boleh dibenarkan dalam UMNO yang sedang giat melaksanakan agenda transformasi politik.
13) Pengajaran kedua ialah, pemimpin UMNO harus bersifat tegas terhadap mana mana pihak dalam UMNO yang sanggup mengugat kestabilan parti semata mata atas kepentingan diri dan jawatan. DS Najib harus disokong kerana tegas dalam menangani peralihan kuasa di Terengganu.
14) Kita juga harus terus memberi sokongan yang padu sekiranya DS Najib bertindak tegas melakukan transformasi parti demi mengukuhkan struktur parti bagi memantapkan UMNO dalam persiapan kita menghadapi PRU 14.
15) Ketiga ialah transformasi UMNO itu harus diterapkan dengan lebih mendalam dan meluas lagi terhadap pemimpin pemimpin UMNO itu sendiri baik di peringkat bahagian mahu pun di peringkat atasan kerana kekalutan dalam UMNO itu banyak berpunca daripada mereka ini bukan di peringkat akar umbi.
16) Keempat, maklumat - maklumat terkini harus disampaikan dengan segera dan dijelaskan oleh mereka mereka yang berwibawa diperingkat kepimpinan parti. Konsep bapa dan ibu angkat UMNO terdiri daripada ahli ahli MKT harus dijelmakan semula bagi membantu bahagian dalam melaksanakan agenda transformasi politik UMNO hingga ke peringkat akar umbi.
17) Kelima, gerakkan untuk mendekatkan UMNO dan BN kepada rakyat jelata harus diperhebatkankan dengan lebih berkesan lagi merangkumi semua kaum dan bukan tertumpu kepada ahli ahli UMNO sahaja.
18) Jika kita mangambil pendekatan 'Prinsip Pareto' saya percaya apabila kelima lima isu yang disebutkan di atas dapat dihayati dan dilaksanakan nescaya cabaran cabaran lain dalam UMNO akan terawat dengan sendirinya.
19) Kemelut politik di Terengganu telah berakhir. UMNO harus meletakkan peristiwa tersebut di belakang dan maju kehadapan untuk bersiap sedia dalam menempuh segala cabaran yang mendatang sebagai satu pasukan yang mantap dan padu.
20) Kestabilan dan keharmonian dalam UMNO dan BN harus dipertahankan serta proses transformasi politik harus dipergiatkan supaya UMNO dan BN akan sentiasa relevan. Tradisi Membela Rakyat harus dijadikan landasan bagi menjamin masa depan yang terus aman, makmur dan sejahtera di negara Malaysia yang tercinta ini.
artikel sumbangan:
tengku rethwan tengku mansor
18/05/14

Post a Comment