Arahan Pindah : AirAsia Yakin, Kerajaan Tidak Akan Ambil Tindakan
Bekas ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mahu kerajaan bersikap tegas berhubung arahan permindahan yang dikeluarkan terhadap syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia sebelum ini.
Choo Keong melalui akaun twitternya berkata, alasan tidak bersedia kerana tempoh masa yang diberikan terlalu pendek, tidak boleh diterima kerana syarikat terbabit pernah merungut mengenai kelewatan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sejak setahun yang lalu.
“AirAsia pernah membuat aduan mengenai kelewatan pembinaan KLIA2 sejak setahun yang lalu dan sekarang mengatakan belum bersedia (pindah). Main masak-masak?” sindir beliau petang tadi.
Beliau turut menyifatkan tindakan AirAsia yang bermain ‘tarik tali’ itu, kerana merasakan kerajaan akan tunduk dan tidak berani untuk mengambil sebarang tindakan terhadap mereka.
“Tunggu sehingga 9 Mac, untuk melihat sama ada kerajaan takut dengan AirAsia dan jangan memberikan tanggapan awal mengenai” ujar beliau lagi.
Malah pemilik AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes turut dilihat memberikan beberapa komen di twitternya yang memberi gambaran beliau tidak begitu gembira dengan arahan perpindahan pada 9 Mei 2014 ini dan mahu kerajaan memberikan masa yang lebih panjang.
“Kami MAHB perlu memastikan LCCT terus berfungsi sepenuhnya sehingga 9 Mei. MAHB memberi kami sehingga 9 Mei, kami mahu lewatkan lagi.”
Dalam salah satu entri lain, Tony seolah-olah mengejek MAHB bahawa mereka bernasib baik mempunyai Air Asia, jika tidak mungkin tiada penumpang di KLIA 2.
Awal bulan lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) akan ditutup pada 9 Mei depan bagi menjamin kelancaran pembukaan KLIA2.
Beliau berkata operasi KLIA2 akan bermula seperti dijadualkan iaitu pada 2 Mei depan yang mana membabitkan empat penerbangan pertama iaitu Cebu Pacific, Malindo Air, Tiger Airways dan TigerAir Mandala.
Bagaimanapun, AirAsia mengeluarkan satu kenyataan bahawa pihaknya enggan berpindah ke KLIA2 dari LCCT berikutan kebimbangan terhadap tahap keselamatan dan operasi penerbangan di KLIA2.
Suara.Tv
Post a Comment