Home » » Tipu Pakej Umrah ; Lelaki Dan 2 Isterinya Di Buru

Tipu Pakej Umrah ; Lelaki Dan 2 Isterinya Di Buru

Written By Unknown on 18/04/2014 | 11:30 am


Polis memburu seorang lelaki dan dua isterinya kerana disyaki menipu lebih 100 individu melalui pakej umrah sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM250,000 sejak tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur ACP Izany Abdul Ghany berkata syarikat pakej umrah yang dikendalikan oleh suspek itu memperdayakan mangsa dengan menawarkan pakej umrah murah berharga RM3,999.

Katanya, mereka yang diburu ialah Zakariah Hassan, 56, alamat terakhir di No.5, Jalan AU 1C/3G, Taman Keramat Permai, di sini.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, lelaki itu mempunyai tiga isteri dan salah seorang isterinya telah ditahan reman sehingga esok untuk
membantu siasatan.

Dua lagi isterinya yang sedang diburu ialah Suziana Mohd Yamin, 47, alamat terakhir di No.51, Persiaran Bukit Setiawangsa, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur dan Syarifah Norfazihan Syed Mustaffa, 36, alamat terakhir di No.16, Taman Ibai Indah, Kuala Terengganu.

Izany berkata, syarikat yang dikenali sebagai IUMRAH Rakyat Sdn Bhd itu beroperasi di Wangsa Maju, di sini dan meminta pelanggan membuat bayaran penuh secepat mungkin jika mereka berminat menunaikan umrah dengan harga yang rendah.

Setelah menerima bayaran, syarikat itu kemudiannya akan memaklumkan kepada pelanggan kononnya penerbangan mereka ke tanah suci telah dibatalkan dan wang pelanggan akan dipulangkan dengan pemberian cek tarikh bertunda.

“Antara alasan yang diberikan oleh syarikat itu ialah kononnya penerbangan telah dibatalkan kerana mereka gagal mendapat kelulusan visa daripada kerajaan Arab Saudi.

Wang mangsa dikembalikan menggunakan cek tarikh bertunda dan apabila mangsa pergi tunaikan di bank didapati akaun bank tersebut telah ditutup,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa pakej umrah seumpama itu supaya tampil membuat laporan polis di balai polis berdekatan.

Izany juga menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu ke atas syarikat yang menawarkan dan mengendalikan pakej umrah dengan harga yang murah serta meragukan.–BERNAMA

GAMBAR: Antara mereka yang pernah menjadi mangsa penipuan yang dipetik dari : http://www.aduanrakyat.com.my
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger