SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan perasaan terharu berikutan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan mengakhiri penerbangannya di selatan Lautan Hindi.
Baginda bertitah walaupun pada masa ini usaha mencari pesawat itu masih dijalankan, baginda turut berasa sedih dan simpati terhadap keluarga penumpang serta kru pesawat itu.
“Beta mendoakan supaya pencarian ini akan mendapat jawapan yang pasti dan memuaskan hati semua pihak, terutama kepada mereka yang sedang tertunggu-tunggu.
“Beta percaya pihak kerajaan Malaysia akan terus menjalankan usaha untuk mencari jawapan yang tepat kepada tragedi yang berlaku ini dan beta berharap mereka akan bersabar serta reda menghadapi dugaan dan ketentuan yang telah terjadi ini,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor ke-13 hari ini.
Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Pada 24 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa laluan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, berdasarkan analisis Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan data satelit Inmarsat United Kingdom.
Dalam perkembangan lain, Sultan Selangor bertitah Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 26 Feb lepas antara kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Pusat berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor akan menguntungkan rakyat Selangor.
Ini kerana, titah baginda, mereka bukan sahaja akan terus mendapat air percuma 20 meter padu setiap bulan malah akan mendapat bekalan air berterusan dengan kadar tarif yang munasabah.
Baginda turut bertitah agar kerajaan negeri sekarang dapat memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat Selangor yang berjumlah lebih 5.5 juta orang.
“Beta mahu ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, penjawat awam, para penghulu dan ketua kampung, pimpinan masyarakat dan belia, juga sektor korporat dan am swasta supaya bekerja bersama Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk melaksanakan dasar serta program pembangunan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memacu pembangunan negeri Selangor,” titah baginda.
Sultan Selangor dalam pada itu mengingatkan semua anggota Dewan Undangan Negeri supaya memastikan perjalanan mesyuarat berjalan dengan teratur, mengikut peraturan semasa perbincangan dan berhemah serta mempunyai tata susila yang baik sebagai wakil rakyat.
Baginda meminta wakil rakyat supaya tidak bercanggah dan berbalah tentang perkara tidak berfaedah, sebaliknya hendaklah menjalankan tugas mereka untuk kebaikan serta kesejahteraan rakyat dan negeri Selangor.
Terdahulu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Kajang di hadapan Speaker Hannah Yeoh.
Keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac lepas memihak kepada Dr Wan Azizah yang meraih 16,741 undi menewaskan calon Barisan Nasional Datin Paduka Chew Mei Fun yang mendapat 11,362 undi, dengan majoriti 5,379 undi.
Kerusi DUN Kajang kosong berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas.
Ketika ditanya pemberita mengenai desas-desus bahawa beliau akan menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid, Wan Azizah menjawab: “Jawatan
tidak penting, yang penting ialah berkhidmat untuk rakyat.”- BERNAMA
Post a Comment