Home » » PKR Bukannya Milik Anwar - Azmin Ali

PKR Bukannya Milik Anwar - Azmin Ali

Written By Unknown on 12/04/2014 | 6:48 pm


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata, parti itu harus keluar daripada terus dibayangi Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang akan bertanding mempertahan jawatannya bulan hadapan menegaskan, perkara itu perlu dilakukan demi survival parti berkenaan dalam landskap politik semasa.

Menurutnya, PKR yang ditubuhkan lebih 15 tahun lalu perlu bergerak ke hadapan untuk menghadapi keadaan yang semakin mencabar.

“PKR bukan parti Anwar dan tidak boleh terus dibayangi oleh beliau. Oleh itu, ahli- ahli mesti bergerak melebihi beliau dan untuk mencapai hasrat berkenaan, kita perlu menonjolkan lebih ramai pemimpin muda dan profesional demi parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan ahli PKR negeri di sini hari ini.

Azmin berkata, bagi tujuan kesinambungan kepimpinan parti, lebih ramai tokoh muda dan profesional harus ditonjolkan untuk memastikan PKR terus dominan termasuk dalam aspek kerjasama bersama Pas dan DAP.

“Bagaimanapun, buat masa ini kita masih perlukan kepimpinan beliau (Anwar),” katanya.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak pada masa sama turut mengingatkan ahli supaya memikirkan masa depan parti sebelum mengundi.

“Saya ingin tegaskan, bukanlah sesuatu perkara mudah berada dalam PKR pada hari ini kerana cabarannya terlalu besar,” katanya.

Ditanya mengapa tidak membuat keputusan untuk bertanding merebut jawatan Presiden selepas 15 tahun membuktikan ‘kesetiaan’ bersama parti, Azmin memberitahu, perkara itu sukar untuk dijelaskan.

“Mengapa anda bertanya soalan sukar tetapi saya akui selesa bekerja bersama Anwar dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya adakah beliau tidak selesa bekerja bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Azmin meminta media supaya tidak memaksanya mengeluarkan kenyataan tentang perkara tersebut.

Dalam masa sama, beliau mengakui pernah mengkritik Abdul Khalid demi kepentingan rakyat terutama dalam isu kenaikan gaji dan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor.

Sementara itu, Azmin menjelaskan beliau tidak gentar dengan pakatan yang dibentuk oleh Nurul Izzah Anwar, Datuk Saifudin Nasution dan Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR kali ini.

“Saya serahkan kepada ahli untuk membuat pilihan tetapi saya tidak percaya terhadap konsep membentuk gabungan menjelang pemilihan parti,” katanya. – Utusan Malaysia
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger