Home » » Negara Moderat : 13,000 Ahli Majlis Peguam Di Belakang Najib

Negara Moderat : 13,000 Ahli Majlis Peguam Di Belakang Najib

Written By Unknown on 28/04/2014 | 9:22 pm


Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong memberitahu Malaysian Insider dalam satu pesanan teks bahawa Majlis Peguam bersetuju dengan Presiden Barrack Obama mengenai tugas berat yang dipikul oleh Dato’ Seri Najib untuk menyatupadukan rakyat serta menjadikan Malaysia sebuah negara moderat yang sebenar.

Perkara ini dilaporkan oleh Malaysian Insider berikutan pertemuan 9 wakil kumpulan hak asasi dengan Obama yang membincangkan secara terperinci perihal hak asasi dalam negara.

Antara perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan itu ialah isu Akta Pencegahan yang diperkenalkan semula dan Akta Hasutan yang dikatakan disalahgunakan ke atas orang awam dan juga pemimpin pembangkang bagi menghalang hak bersuara. Menurut Christopher, Obama mengambil maklum akan isu yang dibangkitkan serta memberi sokongan penuh terhadap perjuangan mereka.

Christopher juga kemudiannya berkata bahawa 13,000 ahli Majlis Peguam akan menyokong kepimpinan Najib ke arah perpaduan dan kesederhanaan. Walaubagaimanapun, menurut beliau, Dato’ Seri Najib menghadapi kesukaran merealisasikan impian itu akibat penentangan dari dalam UMNO.

Kita tidak tahu dari mana Christopher mendapat ‘idea’ yang kononnya UMNO menentang semangat perpaduan dan moderat. Nampaknya, Christopher mempunyai tafsiran yang amat berbeza mengenai perpaduan dan juga perkataan moderat itu sendiri.

UMNO telah lama menerapkan semangat perpaduan melalui kerjasama dengan MCA dan MIC. Berbagai-bagai usaha UMNO lakukan untuk memastikan rakyat negara ini bersatu-padu, antaranya dengan memperkenalkan Sekolah Wawasan. Idea ini adalah untuk memastikan perpaduan bermula dari sekolah, agar ianya lebih ikhlas dan berkesan dalam jangka panjang. Harapan kerajaan UMNO agar perpaduan yang dipupuk dari bangku sekolah mampu suatu hari nanti menghapuskan polarisasi kaum dan seterusnya universiti yang berasaskan kaum atau diskriminasi kaum dalam pekerjaan dan perniagaan.

Bagaimanapun, idea murni ini ditentang hebat oleh kaum Cina sehingga akhirnya ia gagal sama sekali! Malah UMNO ditempelak pula sebagai rasis kerana menentang sekolah vernakular. Namun, UMNO tidak pernah putus asa dalam usaha menyatupadukan rakyat Malaysia.

Sejak azali lagi, UMNO membawa pendekatan moderat dalam pentadbiran dan hasilnya, Malaysia sememangnya terkenal sebagai negara Islam moderat. Seluruh dunia tahu bahawa Malaysia menolak estremisme dalam beragama mahupun dalam perkauman.

Malaysia tidak pernah memaksa undang-undang syariah ke atas bukan Islam dan tidak menghalang bukan Islam mengamalkan budaya dan cara hidup mereka. Makanan tidak halal juga dibenarkan dijual dengan bersyarat dan terhad. Di masa yang sama, semua agama berhak menubuhkan pusat-pusat ibadat malah diberikan pula cuti umum bagi merayakan perayaan agama dan kaum masing-masing. Semua ini adalah bukti bahawa Malaysia adalah negara moderat.

Malangnya, akhir-akhir ini, ramai generasi baru produk sekolah vernakular gagal memahami makna ‘moderat’ dan sebaliknya keliru dengan perkataan ‘liberal’. Moderat bermaksud bebas dengan batas-batas tertentu, tetapi apa yang mereka inginkan ialah bebas tanpa batasan, yang mana bermaksud ‘liberal’. Mereka inginkan kebebasan mutlak dalam beragama dan cara hidup termasuk perlakuan seks songsang.

Tafsiran mereka ini tentulah tidak tepat kerana Malaysia selamanya berpegang kepada kebebasan yang berlandaskan agama serta bertunjangkan adat Melayu-Asia. Perkara ini telah ditegaskan oleh Perdana Menteri berkali-kali dan apa yang ditegaskan oleh Perdana Menteri ini adalah konsisten dengan perjuangan UMNO dulu, kini dan selamanya.

Justeru, cubaan Christopher untuk menggambarkan seolah-olah Perdana Menteri mempunyai pegangan berbeza dengan UMNO membuktikan yang beliau juga termasuk dalam kumpulan yang tidak faham akan makna moderat.

Untuk pengetahuan Christopher, UMNO dan Perdana Menteri berdiri teguh atas pendirian moderat yang pasti. Yang tidak pasti, keliru, celaru dan caca-marba dalam memperkatakan pendirian moderat ini adalah Christopher, Majlis Peguam dan mungkin juga kesemua 9 kumpulan Hak Asasi yang berjumpa Obama itu.

Atau mungkin juga, Christopher sebenarnya bukan tidak faham atau keliru, tetapi sekadar membawa agenda tertentu untuk mengubah landskap negara kepada liberal, dengan cara memanipulasi persepsi ramai terhadap pendirian moderat Perdana Menteri.

Walau apapun tujuan Christopher, beliau mungkin boleh memperdaya Obama, tetapi bukan rakyat Malaysia.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger