Home » » Kelantan Akan Laksanakan Hudud PAS atau Hudud Islam?

Kelantan Akan Laksanakan Hudud PAS atau Hudud Islam?

Written By Unknown on 04/04/2014 | 7:00 am


Mungkin tidak tahan dengan tekanan dan sindiran mengenai perlaksanaan hudud di Kelantan, maka Menteri Besar negeri itu, Datuk Ahmad Yakob akhirnya mengumumkan akan membentangkan di dalam sidang parlimen, ‘perlaksanaan Undang-undang Jenayah Syariah yang telah diluluskan oleh Dewan Negeri pada 1993 tetapi tidak pernah dilaksanakan’. Pengumuman ini dibuat sejurus seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa pusat bersedia membantu Kelantan melaksanakan undang-undang itu.

Menurut Ahmad Yakob, pihaknya akan mengenalpasti sessi yang sesuai untuk pembentangan tersebut dan sekiranya ia diluluskan oleh parlimen, maka Kelantan akan melaksanakan Hudud seawal tahun hadapan.

Permohonan perlaksanaan Enakmen 1993 tersebut telah sebelum ini ditolak oleh kerajaan pusat dalam surat yang bertarikh 8 Jun 1994, setelah mendapati ‘kecacatan yang ketara’ dalam proses keadilan. Kerajaan pusat pada ketika itu mengambil pendirian enggan bersubahat sekiranya berlaku ketidakadilan atau kezaliman akibat dari undang-undang yang banyak kelemahan.

Malangnya, penyokong PAS telah memilih untuk menghentam kerajaan pusat sebagai ‘menolak hukum Islam’, tanpa berusaha memperhalusi apakah ‘kecacatan’ yang dimaksudkan.

Begitu juga pihak kerajaan PAS Kelantan telah memilih untuk tidak menghiraukan alasan-alasan penolakan yang diberikan oleh kerajaan pusat, jauh sekali menanganinya. Sebaliknya, isu ini dijadikan modal politik secara berterusan sehingga ke hari ini.

Setakat ini, tidak semua negara Islam di dunia menggunapakai undang-undang syariah secara total, kecuali Arab Saudi. Antara yang mengamalkan undang-undang Syariah itu pula, tidak semuanya menggunakan sistem keadilan dan hukuman yang sama. Jelas, bahawa di kalangan negara-negara Islam sendiri mempunyai pendapat berbeza mengenai undang-undang ini.

Ini tidak menghairankan kerana setiap negara bergantung kepada penterjemahan dan pentafsiran masing-masing terhadap ayat-ayat Allah SWT mengenai hukuman terhadap penjenayah. Terjemahan dan tafsiran manusia pula tentunya ada kelemahannya.

Justeru, kebanyakan negara Islam memilih untuk tidak melaksanakan undang-undang ini sepenuhnya kerana khuatir pentafsiran yang kurang tepat mungkin membawa kepada ketidakadilan. Ini kerana, AlQuran bukanlah teks undang-undang, tetapi merupakan panduan lengkap bagi manusia untuk menjalani kehidupan, termasuklah dalam merangka undang-undang yang adil berdasarkan keadaan dan kesesuaian. Pokoknya di dalam Islam ialah keadilan, dan bukannya cara pengadilan dijalankan.

Malangnya, dalam dunia hari ini di mana umat Islam gemar berlumba-lumba menunjuk alim, ramai yang lebih berminat untuk bercakap mengenai ‘undang-undang’ berbanding ‘keadilan’. Akibatnya, ‘hudud’ menjadi alat politik, alat publisiti serta alat untuk membangga diri sebagai muslim sejati.

Atas alasan yang sama, maka Enakmen Hudud 1993 yang telah ditolak sebelum ini, bakal dibawa ke parlimen tanpa menyatakan sebarang kajian semula atau penambahbaikan bagi mengatasi kecacatannya. Antara kecacatan yang menjadi kekhuatiran kerajaan pusat sebelum ini ialah:

(i) Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku. Memang benar di zaman Nabi Muhammad SAW., orang Yahudi biasa dihukum di bawah undang-undang yang berada di dalam kitab Taurat mereka tetapi kitab Taurat mempunyai hukuman yang tidak berbedza dengan hukum-hukum dalam al Quran. Mereka yang berzina umpamanya, akan dihukum rejam sama seperti hukuman terhadap jenayah yang sama bagi orang Islam. Justru itu tidak ada perbedzaan sama ada penjenayah dihukum di bawah undang-undang Islam atau Undang-undang Yahudi di zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi terdapat perbedzaan yang amat ketara di antara hukuman di bawah undang-undang yang ada sekarang dengan hukuman di bawah undang-undang jenayah yang dicadangkan oleh kerajaan PAS di Kelantan.


Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman, sedangkan undang-undang PAS akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman berlaku, maka undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai undang-undang Islam atau secucuk dengan undang-undang Islam ataupun selaras dengan ajaran Islam. Ia sebenarnya tertentangan dengan agama Islam.

(ii) Masaalah kesalahan merogol wanita, berdasarkan Hudud PAS, sekiranya seseorang wanita yang belum kahwin melahirkan anak maka ini adalah bukti ia telah berzina dan akan dihukum, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah wanita itu adalah mangsa rogol. Mengikut hudud PAS jika ia menuduh perogolnya, tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar) yang menyatakan bahawa telah melihat dengan terang dan jelas bahawa yang dituduh telah merogol wanita berkenaan.

Contoh yang diberikan oleh kerajaan pusat adalah seperti berikut:

Seperti kita ketahui, melainkan dalam keadaan perang seperti di Bosnia diwaktu mana orang Serb merogol beramai-ramai wanita Bosnia, tidak mungkin jenayah merogol dilakukan di hadapan saksi-saksi yang terdiri daripada orang-orang yang baik. Jika saksi ini melihat dan mereka tidak menolong wanita berkenaan, mereka boleh dianggap sebagai bersubahat seperti penjenayah-penjenayah Serb bersubahat dengan perogol daripada kaum mereka. Jika ada pun saksi, dan mereka tidak membuat apa-apa untuk menolong mereka tidak boleh dianggap sebagai terdiri daripada orang yang baik, tetapi disebaliknya dianggap sudah bersubahat. Dengan itu tuduhan mangsa rogol akan ditolak dan perogol akan terlepas.


Keadaan di mana mangsa rogol dihukum salah kerana melahirkan anak di luar nikah dan perogol dilepaskan sebagai tidak bersalah kerana tidak ada saksi adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh sesiapa pun sebagai sesuatu yang adil, bahkan ia adalah satu kezaliman yang dahsyat.

Syarat saksi yang tidak punya dosa besar dalam mengadili kes rogol dengan sendirinya menunjukkan yang ianya mengatasi kemampuan manusia kerana tiada manusia yang mampu mengetahui, atau berhak menilai dosa pahala orang lain.

Jelas, bahawa hudud bukanlah sesuatu yang remeh yang mampu dilaksanakan secara bersahaja oleh mana-mana manusia biasa. Malah, di zaman Rasulullah SAW juga, diceritakan bahawa Mais, iaitu seorang pesalah zina yang dihukum rejam tetapi tidak tahan sakit lalu melarikan diri ketika hukuman dijalankan lalu ditangkap dan direjam sehingga mati. Apabila berita itu disampaikan kepada Rasulullah SAW, Baginda bertanya kenapa pesalah tidak dibiarkan lari sahaja?

Berdasarkan kisah tesebut, apakah pengamal hudud di Kelantan nanti berhak mengambil sikap yang sama? Apakah adil jika seorang pesalah dibiarkan lepas lari kerana tidak tahan sakit ketika melalui hukuman? Jika pesalah dibiarkan lari, apakah jaminan yang semua pesalah lain tidak akan berbuat yang sama?

Bagaimana pula dengan bukti-bukti forensik? Apakah ia boleh digunakan dalam hudud?

Jika kita mengambil masa untuk berfikir, maka kita akan faham bahawa pengajaran dari kisah Rasulullah SAW tersebut ialah, siapalah kita sebagai manusia biasa untuk menghukum seseorang dengan begitu mudah terutama jika diambilkira realiti sikap manusia dan keadaan dunia hari ini.

Realitinya, manusia pada hari ini begitu licik dan tidak semudah itu untuk mengaku salah serta mendesak hukuman ke atas diri sendiri. Realitinya juga, manusia mempunyai pendapat, perasaan dan mungkin juga kepentingan yang mampu mengaburi penilaian mereka terhadap pihak yang didakwa bersalah.

Justeru, proses perbicaraan yang merangkumi bukti dan saksi serta peguam dan pendakwa merupakan satu-satunya proses yang mampu membantu manusia biasa membuat pengadilan terbaik pada hari ini.

Kesimpulannya, perlaksanaan hukum hudud memerlukan lebih dari sekadar pembentangan kertaskerja dan dana. Apa yang penting dalam perlaksanaan hukum hudud ialah pembentukan peribadi mukmin sejati terlebih dahulu di kalangan masyarakat, kepimpinan terutama pengamal undang-undang.

Mampukah PAS Kelantan menyediakan semua ini sekali gus seawal tahun hadapan?

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger