Home » » Demonstrasi Bantah Kunjungan Obama: Satu Konspirasi Barat?

Demonstrasi Bantah Kunjungan Obama: Satu Konspirasi Barat?

Written By Unknown on 25/04/2014 | 12:48 pm


Pada 18 April lalu, sebuah pergerakan Islam, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat bagi membantah kunjungan Presiden Barrack Obama pada penghujung bulan ini. HTM telah mengadakan demonstrasi atas tujuan yang sama pada 4 Oktober tahun lepas di mana lawatan Presiden Amerika itu telah digantikan dengan lawatan oleh Setiausaha Negara, John Kerry.


Hizbut Tahrir merupakan sebuah gerakan politik antarabangsa dengan matlamat ingin menegakkan kembali Khilafah Islamiyah atau pemerintahan Khalifah. Hizbut Tahrir diasaskan pada tahun 1953 di Al Quds (Baitul Maqdis), Palestin oleh Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani, seorang ulama alumni Al Azhar Mesir yang juga pernah menjadi hakim di Mahkamah Syariah.


Gerakan ini telah berkembang ke seluruh negara Arab di Timur Tengah, termasuk di Afrika seperti Mesir, Libya, Sudan dan Algeria. Juga ke Turki, United Kingdom, Perancis, Jerman, Austria, Belanda, dan negara-negara Eropah lainnya hingga ke Amerika Syarikat, ke Rusia, Uzbekistan, Tajikistan, Kirgistan, Pakistan, Indonesia, Australia dan Malaysia.


Mungkin ramai yang tidak pernah mendengar mengenai Hizbut Tahrir di Malaysia walaupun HTM telah sebenarnya bertapak di sini sejak penghujung tahun 1990-an lagi. Dalam demonstrasi membantah kunjungan Obama yang lalu, HTM melaungkan slogan ‘Tolak Obama’, ‘Tolak Amerika’, ‘Terap Syariah’, ‘Tegak Khilafah’ dan berbagai-bagai lagi.


Demonstrasi oleh HTM mendapat liputan yang meluas di luar negara. Rata-rata HTM dilihat sebagai kumpulan radikal Islam yang tidak rasional terhadap hubungan Malaysia-Amerika Syarikat, hatta tidak relevan dalam negara demokrasi.


Kita tidak tahu sejauh mana pengaruh dan kekuatan Hizbut Tahrir di dunia, atau HTM di Malaysia. Walaubagaimanapun, kita tahu bahawa gerakan atau pertubuhan seperti ini mampu membawa risiko kepada keamanan negara. Apatah lagi dengan prinsipnya yang menolak demokrasi.


Pertubuhan-pertubuhan Islam di negara-negara Arab, termasuk Ikhwanul Muslimun, malah pemimpin-pemimpin negara atau pergerakan Islam di sana juga, contohnya, Osama ben Laden dan Saddam Hussein, semuanya pada satu ketika pernah dipergunakan barat secara sedar mahupun tidak sedar untuk melemahkan umat Islam. Justeru, tidak mustahil, Hizbut Tahrir juga bakal, atau sedang mengikut jejak langkah yang sama.


Setelah begitu lama mengkaji sikap umat Islam, musuh Islam cukup faham bahawa umat Islam mudah teruja dengan gerakan Islam yang membawa pemikiran kuno taktik Ismailiyah yang berbentuk provokator terhadap arus perdana dan kemajuan. Umat Islam juga gemar menerima secara sembrono serta taksub dengan apa saja yang membawa label atau slogan Islam. Musuh kemudiannya mengeksploitasi sikap ini untuk menghancurkan negara-negara Islam.


Matlamat utama Hizbut Tahrir ialah untuk kembali kepada kehidupan Islam serta mengembang dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia iaitu dengan mendirikan Daulah Khilafah. Untuk itu, Hizbut Tahrir telah memilih dan menetapkan idea-idea, pendapat-pendapat dan hukum-hakam yang telah dihimpun dalam pelbagai buku, risalah, dan nasyrah-nasyrah yang diterbitkan dan disebarluaskan kepada umat. Antara lain yang disenaraikan di laman web HTM ialah:



1. Nizhamul Islam (Peraturan Hidup dalam Islam)

2. Nizhamul Hukmi fil Islam (Sistem Pemerintahan dalam Islam)

3. Nizhamul Iqtishadi fil Islam (Sistem Ekonomi dalam Islam)

4. Nizhamul Ijtimo'iy fil islam (Sistem Pergaulan dalam Islam)

5. At-Takattul al-Hizbiy (Pembentukan Parti Politik)

6. Mafahim Hizbut Tahrir (Pokok-pokok Pikiran Hizbut Tahrir)

7. Daulatul Islamiyah (Negara Islam)

8. Al-Khilafah (Sistem Khilafah)

9. Syakhshiyah Islamiyah - 3 jilid (Membentuk Keperibadian Islam)

10. Mafahim Siyasiyah li Hizbit Tahrir (Pokokpokok Pikiran Politik Hizbut Tahrir)

11. Nadharat Siyasiyah li Hizbit Tahrir (beberapa Pandangan Politik Hizbut Tahrir)

12. Kai fa Hudimatil Khilafah (Persekongkolan Meruntuhkan Khilafah)

13. Siyasatu al-Igtishadiyah al-Mutsla (Politik Ekonomi yang Agung)

14. A1-Amwal fi Daulatil Khilafah (Sistem Kewangan Negara Khilafah)

15. Nizhamul 'Uqubat fil Islam (Sistem Sanksi Peradilan dalam Islam)

16. Ahkamul Bayyinat (Hukum-Hukum Pembuktian)

17. Mugaddimatu ad-Dustur (Pengantar Undang-undang Dasar Negara Islam)


Jelas, seperti juga kebanyakan gerakan radikal Islam yang lain, Hizbut Tahrir hanya menekankan mengenai ‘undang-undang’, ‘hukum-hakam’ serta ‘cara pentadbiran’ dalam memperkatakan tentang idea mereka untuk membentuk sebuah negara Islam yang sempurna.


Namun kita tidak dapat melihat seberang penekanan diberi terhadap ‘pendidikan’ dan ‘ilmu pengetahuan’. Sedangkan ‘pendidikan’ atau ‘ilmu pengetahuan’ adalah yang paling utama dan seharusnya diletakkan di tempat tertinggi dalam memperkatakan tentang Islam, umat Islam atau Negara Islam.


Tanpa penekanan terhadap ilmu dan pendidikan, maka tidak hairanlah umat Islam terlalu lemah, mudah diperdaya dan dipergunakan untuk memusnahkan diri sendiri kerana terbawa-bawa dengan emosi serta gagal menggunakan akal.


Kesilapan yang sama ini diulang-ulang oleh umat Islam sejak berdekad-dekad lalu. Yang berbeza hanyalah ‘nama’ gerakan atau pertubuhan sahaja.


Negara-negara Arab telah memperlihatkan bagaimana mereka hancur dek kerana perbalahan yang dicetuskan oleh gerakan provokator yang membawa semangat ingin menegakkan ‘Islam yang benar’. Selebihnya, negara Islam lain kekal mundur, miskin dan lemah kerana wujudnya pemikiran yang sama.


Gerakan-gerakan yang dijana oleh ‘emosi’ tanpa ‘ilmu’ ini mudah disusupi dan dipengaruhi oleh musuh-musuh Islam yang menguasai ilmu, maklumat dan ekonomi. Akhirnya, musuh-musuh Islam hanya perlu menyalurkan dana secara tidak langsung kepada gerakan-gerakan ini bagi memastikan umat Islam terus berbalah, memberontak sehingga memaksa campurtangan asing lalu akhirnya menghancurkan negara sendiri ATAS NAMA ISLAM!


Hari ini HTM telah mendapat liputan seluruh dunia kerana membantah kunjungan Obama. Maka, secara automatik mengikut penilaian barat, Malaysia kini adalah negara yang mempunyai kumpulan radikal yang ‘berpotensi menjadi pengganas’. Ini bermakna, Malaysia kini terdedah kepada tekanan kuasa besar pada bila-bila masa.


Apa yang perlu hanyalah satu ‘insiden’ sahaja untuk dijadikan alasan kuasa besar mencampuri urusan negara.


Kita tidak menghukum HTM sebagai satu gerakan yang salah atau alat kepada barat. Tetapi kita ingin mengingatkan agar semua pihak lebih berhati-hati dalam memakai nama ‘Islam’. Sebagai pihak yang lemah, umat Islam amat terdedah kepada salahtafsir dan aniaya kuasa besar yang memusuhi kita.


Walaupun demonstrasi aman sememangnya tidak mengancam keselamatan, namun, mesej di sebaliknya, serta pemikiran yang disebarkan oleh gerakan yang terlibat, mampu membawa kesan yang berantai dan membahayakan.

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger