Mayat Akshaya, 9, Suri, 6, dan Khushi, 4, yang rentung ditemui berhampiran sebuah kolej kejuruteraan tidak jauh dari bandar Nizamabad, Andhra Pradesh, tempat keluarga mangsa menghadiri majlis perkahwinan Rabu lalu. Polis turut menemui sebotol minyak tanah di tempat kejadian.
“Jelas sekali ini adalah satu kes pembunuhan,” kata Superintendan polis Nizamabad, Tarun Joshi ketika ditemui, semalam. Tiga kanak-kanak perempuan itu hilang pada tengah hari dan kira-kira jam 10.30 malam, ahli keluarga menerima panggilan telefon daripada bapa saudara mereka, Narendra Reddy, 37, yang memberitahu dia berada di bandar Basser dan ingin membunuh diri.
Ahli keluarga yang panik kemudian menghubungi polis. Reddy dilapor memperdaya anak saudaranya dengan coklat dan memberitahu keluarga yang dia sedih kerana belum berkahwin seperti dua adik lelakinya, lapor akhbar The Times of India. Polis hingga semalam masih belum mengetahui di mana Reddy berada tetapi jam tangan dan seliparnya ditemui berhampiran sebuah jambatan.
Ahli keluarga yang terkejut dengan kejadian berkenaan berkata, mereka tidak menyisihkannya tetapi berpendapat dia bertindak demikian kerana cemburu dengan adik lelakinya. Mangsa yang mati ialah cucu seorang pemimpin masyarakat peladang.
-sumber
Post a Comment