Home » » #MH370 : Raja Bomoh Julang Bendera Pakatan?

#MH370 : Raja Bomoh Julang Bendera Pakatan?

Written By Unknown on 13/03/2014 | 7:00 pm



Tindakan  individu yang mendakwa dirinya sebagai Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP, yang mendakwa ingin turut sama membantu dalam usaha mengesan misteri kehilangan pesawat MAS #MH370 dilihat sebagai satu tindakan untuk mencari publisiti murahan. Perbuatan yang jelas bertentangan dengan hukum agama kerana mengamalkan perbuatan khurafat itu turut disifatkan keterlaluan kerana mencemarkan imej negara.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan bomoh terbabit, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin, 80 yang mendakwa kononnya dia mendapat alamat bahawa kesemua penumpang pesawat terbabit dipercayai masih berada dalam keadaan selamat di satu lokasi tertentu terletak antara Laut China Selatan, Filipina dan sebuah negara asing yang tidak dapat dipastikan.

“Saya nampak pesawat itu masih tergantung di ruang udara, di tengah -tengah ketiga-tiga lokasi terbabit. Saya tak dapat jelaskan secara terperinci soal keselamatan mereka tetapi percaya pesawat itu mungkin berada dalam dua keadaan sama ada diculik oleh pihak tertentu atau disembunyikan di alam ghaib”, katanya di KLIA beberapa hari yang lepas.

Ketika melakukan ‘upacara’ mengesan pesawat yang hilang itu, bomoh tersebut telah menggunakan buluh yang dijadikan sebagai teropong dan bubu ikan sebagai simbolik yang akhirnya mendapatkan kecaman pelbagai lapisan masyarakat khususnya kaum keluarga dan waris para penumpang #MH370.

Belum pun isu tersebut reda, masyarakat sekali lagi dikejutkan dengan tindakan bomoh tersebut yang melakukan satu lagi ‘upacara’ ritual dengan mendayung sampan di hadapan puluhan petugas media tempatan dan asing.

Pengerusi Sekretariat Ulama Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya di dalam kenyataan semalam mengesa pihak berkuasa agama Islam di negara ini mengambil tindakan terhadap amalan yang mempunyai unsur syirik itu.

Menurutnya ‘upacara’ ritual itu bukan saja mencemar nama baik umat Islam di negara ini secara keseluruhannya tetapi turut menjejaskan juga imej negara kerana dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menjadi pintu keluar masuk negara.

"Kita bukan hendak menghukum semua bomoh. Jampi bukan tidak ada dalam Islam, ada. Tetapi ruqyah atau jampi dalam Islam hanya dengan membaca Al-Quran saja. Dalam Islam, kita berdoa memohon pertolongan kepada Allah," katanya.

Seterusnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam turut menyelar tindakan bomoh tersebut dengan menyatakan amalan bomoh tersebut telah diharamkan oleh Jakim sejak 2004 kerana bertentangan dengan agama Islam.

“Mana-mana pihak juga adalah dilarang mengelirukan masyarakat dengan penggunaan kalimah arab sebagai cara untuk menunjukkan ia adalah bertepatan dengan syarak sedangkan hakikatnya pengamalan, bacaan dan prosedur yang digunakan adalah jelas bertentangan dengan syarak.”

Paling menarik apabila para pencacai pembangkang dengan pantas cuba menggunakan isu tersebut untuk mengaitkan Umno. Mereka mendakwa kononnya tindakan tersebut adalah antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam operasi SAR. Tidak cukup dengan itu, bomoh tersebut turut dilabelkan sebagai ‘orang Umno’.

Apa yang menghairankan ialah, bomoh yang sama juga sebelum ini pernah melakukan ‘upacara’ ritual dan mendakwa kononnya pakatan pembangkang akan menang dalam pilihan raya umum ke-13.

Kenyataan itu akhirnya telah digunakan oleh para pencacai khususnya di mkedai-media sosial untuk meyakinkan rakyat agar memberikan sokongan dan undi mereka kepada pembangkang. Pada masa itu, langsung tidak timbul isu ‘dia orang siapa’.

Persoalannya ialah, mengapa apabila tindakan tersebut menyokong pembangkang ia akan ‘dihalalkan’ walaupun jelas bertentangan dengan hukum syarak. Namun apabila tindakan tersebut dilihat ‘memalukan’ mereka yang terlibat terus dilabelkan sebagai orang Umno dan sebagainya.

Kesimpulannya mudah, sepatutnya tidak timbul mereka itu ‘orang siapa’. Apa yang penting ialah, sekiranya tindakan yang dilakukan itu jelas bertentangan dengan hukum yang ditetapkan, pihak berkuasa seharusnya segera melakukan siasatan dan mendakwa mereka yang terlibat.


Ia bagi mengelakkan rakyat dan masyarakat terus menjadi mangsa dan terpedaya dengan amalan-amalan syirik dan khurafat. Para pencacai pembangkang seharusnya berhenti dengan pendekatan politik murahan seperti ini. Ada baiknya masa yang dihabiskan dengan menabur fitnah itu digunakan untuk mendoakan keselamatan para penumpang pesawat #MH370.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger