Pegawai Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Norshal mungkin tidak dapat bertemu dengan anak-anak sehingga usia mereka 18 tahun sekiranya pasangan itu didapati bersalah di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak Sweden.
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, ibu bapa yang disabitkan kesalahan di bawah akta tersebut mungkin terpisah dengan anak-anak sehingga mereka dewasa.
Menurut beliau, akta yang dikuatkuasakan sejak 1979 itu memperuntukkan hukuman sehingga sembilan bulan penjara.
"Namun, tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah lain selepas tempoh hukuman berakhir untuk dinilai sama ada layak menjaga anak-anak atau sebaliknya.
"Walaupun tertuduh dibebaskan, anak-anaknya mungkin diserahkan kepada keluarga angkat sehingga usia mereka 18 tahun jika mahkamah mendapati dia tidak sesuai menjaga mereka," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Khairul Anwar mengulas tentang situasi yang dihadapi Azizul Raheem dan Shalwati yang ditahan reman oleh pihak berkuasa Sweden sejak 18 Disember lalu kerana dituduh mendera anak mereka atas alasan tidak bersolat.
Anak-anak pasangan terbabit iaitu Aishah, 14; Ammar, 12; Adam, 11, dan Arif, 7, telah dibawa pulang dan tiba di Malaysia hari ini.
Tambah Khairul Anwar, hasil kajian SukaGuam, Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, pakar perundangan, pejuang hak asasi manusia dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini serta Sweden mendapati beberapa keluarga warga asing di negara berkenaan pernah mengalami nasib malang itu.
Malah, beliau memberitahu, seorang peguam di Sweden, Jenny Beltran menyatakan pihak berkuasa di negara itu terlalu cepat membuat pertuduhan tanpa mengambil kira faktor perbezaan agama dan budaya dalam mendidik anak-anak termasuk membabitkan warga asing.
"Seorang rakyat Sweden, Tommy Wennerstiena juga tidak bersetuju dengan undang-undang perlindungan kanak-kanak yang disifatkan terlalu ketat," ujarnya.
Menurut Khairul Anwar, beberapa peguam dan pejuang hak asasi yang ditemuinya di Sweden mengkritik tahanan reman tanpa had tempoh di bawah akta tersebut.
"Akibatnya, ibu bapa dipisahkan dengan anak-anak untuk jangka masa yang panjang walaupun akhirnya mahkamah mendapati mereka tidak bersalah," katanya.
Beliau berkata, situasi yang dialami oleh Azizul Raheem dan Shalwati pernah dihadapi oleh dua keluarga warga India, masing-masing di Norway pada 1985 dan Amerika Syarikat (1992).
"Dalam dua kes tersebut, mahkamah membebaskan tertuduh atas alasan menghormati perbezaan budaya dan agama yang diamalkan oleh rakyat asing," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous memberitahu, besar kemungkinan Azizul Raheem dan Shalwati tidak dapat bertemu semula anak-anak mereka dalam masa terdekat sekiranya didapati bersalah.
"Peguam pasangan berkenaan sedang berusaha mencari jalan penyelesaian yang komprehensif untuk membebaskan mereka daripada tuduhan dihadapi," katanya.
Beliau berkata, usaha telah dimulakan oleh peguam untuk membebaskan Azizul Raheem dan Shalwati daripada tahanan reman.
Desakan untuk membebaskan pasangan itu turut disuarakan menerusi blog #swedenlethhemgo (http://swedenletthemgo.blogspot.com).
Aakj ; Mohon sangat Kerajaan Malaysia campurtangan..macam dah melalut sangat dah ni !!
Post a Comment