Home » » Keputusan UMNO Pusat ; Kelanajaya Mengalami Zaman Teramat Sukar !!

Keputusan UMNO Pusat ; Kelanajaya Mengalami Zaman Teramat Sukar !!

Written By Unknown on 17/02/2014 | 9:43 am


Pertama sekali Aakj mohon jutaan maaf kerana terlambat siar mengenai Jawapan Balas dari UMNO Pusat berhubung kes 'penipuan' yang berlaku sewaktu pemilihan UMNO baru-baru ini..apa yang penting..aakj perati UMNO Bahagian Kelanajaya dalam keadaan yang amat sukar bila keputusan UMNO Pusat d lihat terlalu berat sebelah..maaf..walau pahit aakj kena juga cakap bab 'berat sebelah' ini.

Bukan niat nak mengajar namun Ahli UMNO seluruh Malaysia bukan boneka angguk-angguk yang kita letak kat dashboard kereta..semuanya dah matang..60 tahun lebih..ramai profesional bersama UMNO..waima yang so called Peguam..Engineer dll..yang jadi Peguam Parti tu hanya luck dia je kat situ..maaf pahit pun aakj kena tulis sebab sayangkan parti..ramai lagi Peguam yang layak..

Yang terpaksa terima impaknua adalah Ahli UMNO tempatan..UMNO Bahagian..apa yang susah sangat d adakan semula pemilihan kiranya ada keraguan..biar semua puashati !! Risiko begini umpama meletakkan UMNO d tahap telor kat ujung pedang !

Kepada Ahli UMNO Bahagian Kelanajaya yang ingin tahu apa sebenarnya terjadi..sila baca apa yang d terangkan oleh Ir Hj Yusuf Sani ;

Orang Melayu hari ini ramai yang mempunyai pendidikan dan ini termasuklah ahli-ahli UMNO. Pendidikan mengajar kita untuk berfikir secara rasional, kritis, inovatif dan kreatif. 

Perubahan ini menjadikan ahli-ahli UMNO bertambah matang dan kritikal dalam menilai sesuatu isu dan masalah. Pemikiran mereka sudah banyak berubah dan tidak boleh lagi dipaksa untuk menelan perkara-perkara yang dirasai tidak betul dan tidak benar. Jika ahli UMNO sudah progresif tahap pemikirannya maka, pemimpin-pemimpin di atas juga perlu berhati-hati dalam tindak tanduk mereka supaya dilihat bijaksana dalam memutuskan sesuatu perkara.

Oleh itu, dalam kes bantahan yang dikemukakan oleh Pengadu-pengadu berhubung penipuan terancang dalam pemilihan UMNO Bahagian Kelana Jaya 2013 maka, keputusan yang diberikan oleh UMNO Malaysia perlu berasas, telus dan rasional yang dapat meredakan dan menutup ruang-ruang kemarahan dan kekecewaan berdasarkan asas-asas bantahan yang dikemukakan.

Berikut dibentangkan JAWAPAN yang diterima daripada UMNO Malaysia dan JAWAPAN BALAS PENGADU untuk dinilai umum.

Surat daripada UMNO Malaysia ke YBhg. Dato’ Dr. Tengku Rethwan bertarikh 13 Disember 2013 adalah dirujuk.

“Dengan segala hormatnya mohon merujuk perkara di atas.

Adalah dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Khas Bantahan UMNO yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Azmi Khalid memutuskan antara perkara-perkara yang dititikberatkan dalam setiap bantahan adalah seperti berikut:-


1.   JAWAPAN UMNO MALAYSIA


Bantahan yang dikemukakan oleh pihak YBhg Dato’ dan diterima

oleh Ibu Pejabat telah melebihi tempoh yang ditetapkan iaitu

tiga (3) hari selepas pemilihan, atau


JAWAPAN BALAS PENGADU

Dakwaan bahawa bantahan yang dikemukakan telah diterima

melebihi tempoh yang ditetapkan iaitu tiga (3) hari selepas

selepas pemilihan adalah satu PEMBOHONGAN DAN

PENDUSTAAN berdasarkan perkara berikut.



1) Pengadu-pengadu telah bertemu dengan UMNO Malaysia

pada 20 Oktober 2013 (Ahad) dan menghantar Dokumen

Bantahan pada 21 Oktober 2013 (Isnin). Sekiranya, tempoh 3 hari diberikan, sepatutnya tarikh tutup adalah pada 22 Oktober 2013. Pengadu-pengadu mempunyai salinan Dokumen Bantahan yang bertanda cop penerimaan UMNO Malaysia. Di manakah kelewatan berlaku?


2) Siapa yang menetapkan hanya 3 hari diberikan selepas pemilihan untuk menghantar bantahan? Peraturan ini tidak terdapat dalam Perlembagaan UMNO, Peraturan Persidangan, dll, dan tidak pernah dimaklumkan kepada ahli UMNO. UMNO telah mengadakan pemilihan bahagian berkali-kali sejak ditubuhkan, mengapa perkara ini tidak terdapat dalam Peraturan Persidangan atau lain-lain supaya jelas kepada ahli UMNO?


3) Semasa sesi pendengaran kes, Pengadu-pengadu ada bertanya tentang tempoh bantahan boleh dikemukakan dan jawapan yang diberikan dengan terang dan nyata ialah dalam tempoh ENAM (6) BULAN. Adakah ini kesilapan UMNO Malaysia?


4) Pengadu-pengadu akui ada membuat pindaan kepada FORMAT Dokumen Bantahan bagi memudahkan UMNO Malaysia meniliti bantahan dengan mengasingkan bantahan kepada dua (2) bahagian TANPA MENGUBAH ATAU MENAMBAH ASAS BANTAHAN seperti berikut.


a. Aduan Salahlaku kepada Jawatankuasa Pemilihan berkenaan salahlaku yang melanggari Peraturan Persidangan dan Perlembagaan UMNO; dan


b. Aduan Salahlaku kepada Lembaga Disiplin UMNO berkenaan salahlaku yang melanggari Tata Etika Ahli UMNO.


Dokumen ini telah dihantar pada 30 Oktober 2013. Adakah ini yang dimaksudkan telah lewat diterima selepas tempoh tiga (3) hari?


5) Semasa sesi pendengaran, Pengadu-pengadu lihat UMNO Malaysia menggunakan dan merujuk Dokumen Bantahan asal yang dihantar pada 21 Oktober 2013.


6) Sekiranya, Dokumen Bantahan ini ditolak kerana terlewat diterima, mengapa UMNO Malaysia memanggil Pengadu-pengadu untuk sesi pendengaran? Ini seolah-olah mempermainkan Pengadu-pengadu dan rakan yang lain kerana mensia-siakan masa, tenaga dan wang Pengadu-pengadu dan rakan-rakan yang hadir pada 18 November 2013. Adakah boleh Pengadu-pengadu dan rakan-rakan kemukakan tuntutan duit TOL, minyak, parker dan makan kerana telah DITIPU oleh UMNO Malaysia?



KESIMPULAN:

Jawapan daripada UMNO Malaysia tidak boleh diterima kerana samar, diragui dan ‘indecisive’.



JAWAPAN UMNO MALAYSIA


Bantahan yang dikemukakan tidak disokong oleh bukti dan keterangan yang kukuh bagi membolehkan Jawatankuasa Khas Bantahan menimbangkan bantahan, atau


JAWAPAN BALAS PENGADU

Untuk makluman, bantahan ini mengandungi TUJUH (7) PERKARA POKOK seperti yang disenaraikan di bawah. Setiap bantahan telah disertakan dengan rujukan pelanggaran kepada Perlembagaan, Peraturan Persidangan atau Tata Etika Ahli, gambar, video, maklumat sokongan dan juga bukti-bukti lain yang boleh mengukuhkan kes seperti berikut.


1) BANTAHAN PERTAMA - JUMLAH PERWAKILAN YANG SAH


Pada permulaan Mesyuarat berlansung, Pengerusi Tetap telah mengumumkan bahawa jumlah perwakilan ialah seramai 602 orang dan yang tidak hadir 62 orang. Ini bermakna hanya 540 orang yang hadir layak mengundi.


Untuk makluman, dalam satu sesi penerangan sebelum Mesyuarat Perwakilan, SU Bahagian dalam ucapannya telah mengumumkan bahawa jumlah perwakilan kali ini ialah seramai 585 orang. Beliau juga telah mengatakan bahawa pendaftaran akan ditutup pada jam 9:00 pagi dan selepas itu perwakilan yang lewat tidak akan dibenarkan masuk.


Percanggahan jumlah perwakilan di atas mencurigakan Pengadu-pengadu dan selepas Mesyuarat tamat, Pengadu-pengadu telah menyemak dengan menggunakan maklumat jumlah ahli di setiap cawangan dalam UMNO Bahagian Kelana Jaya berakhir 31 Disember 2012 dan sayap-sayap di cawangan tersebut yang bersidang dan mendapati jumlah perwakilan cawangan adalah seramai 500 orang sahaja. 


 Apabila dicampur dengan perwakilan 3 sayap (10 orang setiap sayap) dan AJK Bahagian yang ada (32 orang) maka, jumlah keseluruhan perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan sepatutnya berjumlah 562 orang sahaja berbanding dengan 602 atau 585 orang.


PENENTUAN STATISTIK INI ADALAH PERKARA POKOK YANG PERLU DIMUKTAMADKAN (ESTABLISH) TERLEBIH DAHULU DALAM MENILAI BANTAHAN PERTAMA DALAM KES INI. Dari jumlah ini, jika ditolak 62 orang yang tidak hadir bermakna hanya 500 orang yang layak mengundi. TETAPI jumlah undi yang dikira bagi semua ‘single post’ berjumlah 540 kertas undi. Dari mana datangnya lebihan 40 kertas undi itu?


OLEH ITU, adalah menjadi tanggungjawab UMNO Malaysia untuk MEMUKTAMADKAN statistik ini. Sekiranya SU Bahagian menyatakan telah membuat satu kesilapan atau ‘typing error’ maka kesalahan yang dapat dibuktikan oleh Pengadu-pengadu sudah bertukar statusnya daripada KESILAPAN KEPADA SATU PEMBOHONGAN DAN PENIPUAN yang dilakukan oleh SU Bahagian.



KESIMPULAN:

i) UMNO Malaysia bertanggungjawab untuk memutuskan jumlah sebenar perwakilan.


ii) Jika ada kesalahan dan kesilapan yang berlaku ianya kini berstatus cubaan menipu dan sewajarnya tindakan tatetertib mesti diambil walau apa pun keputusan pemilihan.



1) BANTAHAN KEDUA - SENARAI PERWAKILAN YANG DIGUNAPAKAI

Semasa pendaftaran, Ketua Wanita Bahagian telah bertanya Pemantau senarai manakah yang digunapakai untuk pendaftaran, dan jawapan yang diberikan ialah senarai perwakilan yang disediakan oleh UMNO Bahagian. Apabila ditanya lagi, rupanya UMNO Bahagian hanya ada Surat Tauliah untuk perwakilan daripada DUN Seri Setia sahaja yang berjumlah 325 orang.


Semakan Pengadu-pengadu juga mendapati dalam Surat Tauliah DUN Seri Setia ini terdapat 6 cawangan telah tertinggal mewakili 22 orang perwakilan, dan terdapat 4 orang muflis tetapi 2 kes telah dapat diselesaikan, 2 orang daripada cawangan yang tidak bersidang dan nama 2 orang AJK Bahagian. Selepas pembersihan, jumlah perwakilan daripada Surat Tauliah ini yang layak hadir ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian ialah seramai 319 orang (325 – 2 – 2 – 2 = 319).


Untuk makluman, Surat Tauliah bagi DUN Subang Jaya tidak dikeluarkan oleh UMNO Malaysia kerana UMNO Bahagian telah gagal menghantar senarai perwakilan cawangan ke UMNO Malaysia sebelum tarikh tutup. Mengikut semakan Pengadu-pengadu, jumlah perwakilan cawangan daripada cawangan yang bersidang ialah seramai 154 orang dan senarai ini belum disaring oleh UMNO Malaysia. Kemungkinan, selepas disaring jumlah perwakilan daripada DUN Subang Jaya akan berubah (kurang daripada yang asal).



Sekiranya perkara ini diambilkira dan jumlah perwakilan DUN Subang Jaya tidak berubah (154 orang) bermakna jumlah perwakilan yang sah untuk menghadiri Mesyuarat Perwakilan Bahagian Kelana Jaya adalah 535 (319 + 154 + 30 + 32 = 535).


Surat Tauliah (Perkara 12 Peraturan Persidangan) dari UMNO Malaysia adalah penting kerana nama perwakilan yang disenaraikan telah disaring untuk mengenalpasti mereka yang mempunyai masalah teknikal. Jika Persidangan Tahunan Cawangan menggunakan senarai nama ahli yang dikeluarkan oleh UMNO Malaysia mengapa Mesyuarat Perwakilan Bahagian yang merupakan peringkat tertinggi dalam Bahagian tidak menggunakan Surat Tauliah daripada UMNO Malaysia? Mesyuarat Perwakilan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian pun menggunakan senarai perwakilan yang dikeluarkan oleh UMNO Malaysia.



KESIMPULAN:


i) UMNO Malaysia mesti mengesahkan yang mana lebih sahih di antara Surat Tauliah UMNO Malaysia berbanding senarai perwakilan yang disediakan UMNO Bahagian?


ii) Jika Surat Tauliah UMNO Malaysia mengatasi senarai yang lain maka,


a. Semua perwakilan daripada DUN Subang Jaya tidak sah dan tidak layak mengundi (154 orang).


b. Semua undi daripada UMNO Bahagian Kelana Jaya dalam pemilihan melibatkan kepimpinan UMNO Malaysia adalah tidak sah dan terbatal.


c. Tidak ada alasan kukuh untuk tidak menggunakan Surat Tauliah UMNO Malaysia kerana ketiga-tiga sayap UMNO Bahagian menggunakan senarai yang dikeluarkan oleh UMNO Malaysia


d. Pemilihan semula mesti diadakan.


Keputusan ini sudah cukup untuk mengatakan pemilihan UMNO Bahagian Kelana Jaya adalah tidak sah dan terbatal dan pemilihan semula perlu diadakan.



2) BANTAHAN KETIGA - EDARAN KERTAS ‘CAI’ SECARA TERBUKA


Pemilihan secara rakit menggunakan kertas ‘cai’ walaupun dilarang tetapi berlaku secara tersembunyi. Jika tidak, bagaimana perwakilan cawangan yang tidak berapa aktif mengikuti program Bahagian boleh kenal calon yang bertanding. Oleh itu, amalannya secara sembunyi bukanlah rahsia lagi dan berlaku di semua peringkat di mana saja. Tetapi apabila perkara ini dilakukan secara terangan dengan meletakkannya ke dalam beg perwakilan, ianya bukan secara sembunyi lagi dan sudah berbentuk perancangan orang dalaman kerana beg perwakilan disediakan oleh pihak Bahagian dan diberikan hanya pada hari pendaftaran.



Pengadu-pengadu pada malam sebelum Mesyuarat diadakan telah hadir ke Dewan Mesyuarat dan melihat SU Bahagian dan beberapa orang sedang memasukkan kertas-kertas persidangan ke dalam beg perwakilan.


Perkara 8.2 Tata Etika Ahli UMNO (Tingkahlaku Sewaktu Menjalankan Mesyuarat Parti) dengan jelas melarang perbuatan ini seperti berikut.



8.2.1 Ahli-ahli parti yang diberikan kuasa menjalankan mesyuarat di perhimpunan tahunan cawangan, Bahagian atau Majlis Tertinggi adalah dilarang daripada menyalahgunakan apa jua kuasa atau apa-apa yang bersamaan dengannya yang ada pada mereka dengan tujuan bagi manfaat pihak sendiri atau bagi pihak lain dan hendaklah sentiasa menjalankan dasar-dasar parti dan mengikut perintah-perintah parti.



Persoalannya, siapa yang meletakkan kertas ‘cai’ itu ke dalam beg perwakilan kalau bukan atas arahan SU Bahagian yang cuba berselindung atas tajuk ‘Contoh’. Ini menunjukkan satu penipuan terancang telah dilakukan dan tindakan tatatertib perlu diambil oleh UMNO Malaysia.



KESIMPULAN:


i) Perbuatan ini jelas melanggari Perkara 8.1 dan 8.2 Tata Etika Ahli UMNO


ii) Bahan bukti telah dikemukakan untuk dinilai UMNO Malaysia


iii) Perkara 11 (Hukuman) Tata Etika Ahli UMNO perlu dikuatkuasakan mengikut Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.




PERKARA


3) BANTAHAN KE-EMPAT - MOTIF ‘CAI’ CONTOH’


Untuk maklum semua, kertas ‘cai’ yang dimasukkan ke dalam setiap beg perwakilan bertajuk ‘CONTOH – SENARAI AJK BAHAGIAN UMNO KELANA JAYA 2013 -2016’ dan telah bertulis dengan nombor calon pada setiap jawatan yang dipertandingkan. Apakah tujuan atau motif perbuatan ini?


Pengadu telah menjadi wakil cawangan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian sekian lama dan Pengerusi Tetap akan menjelaskan cara menanda pilihan ke atas kertas undi. Kali ini merupakan kali pertama ianya dibuat secara ‘penipuan kreatif’.


Sekiranya pihak Bahagian berniat baik dan bijak, sepatutnya nombor calon yang ditulis adalah nombor yang tiada kaitan dengan nombor calon yang bertanding bagi memastikan keadilan dan salah tafsir.


KESIMPULAN:

i) Cara yang digunakan tidak munasabah dan jelas bermotif tersembunyi dan jahat.


ii) Ini membuktikan wujud satu penipuan terancang.


4) BANTAHAN KE-LIMA - PENJELASAN KEPADA KEPUTUSAN YANG MIRIP 100% ‘CAI’ CONTOH

Trend keputusan pemilihan UMNO Bahagian menunjukkan mirip yang sepadan 100% dengan ‘cai’ contoh. Adakah ini satu kebetulan atau perwakilan telah terpengaruh? Untuk membuktikan perkara ini, Pengadu telah menjalankan semakan dan mendapati barisan AJK Bahagian kumpulan yang diketuai oleh Datuk Hj Yusoff M Haniff hanya mempunyai 17 orang calon. Bagi mencukupkan barisan, 3 orang calon dari kumpulan lawan telah dimasukkan nombor calon mereka kedalam ‘cai’ contoh dan kesemua 3 calon inI telah menang bersama 17 calon kumpulan Datuk Hj Yusoff.


Pengadu-pengadu bukan hendak memandang rendah kepada ketokohan dan kemampuan barisan calon-calon AJK Bahagian kumpulan Datuk Hj Yusoff M Haniff tetapi realitinya jika dibanding dari segi latar belakang pendidikan, kematangan dan ketokohannya memang ada jurang. Persoalannya, bagaimana perwakilan membuat pilihan? Adakah menilai ciri-ciri calon? Ini tidak mungkin kerana masa adalah terbatas.



Daripada keputusan pemilihan, ianya menunjukkan besar kemungkinan, perwakilan telah terpengaruh dengan susunan mengikut kertas ‘cai’ contoh kerana kesuntukan masa dan kertas undi tidak ada nama calon dan perwakilan dikehendaki menulis nombor calon.



KESIMPULAN:


i) Kertas ‘cai’ contoh yang dibekalkan ke dalam beg setiap perwakilan telah digunapakai perwakilan untuk membuat pemilihan atas had masa dan ikut saja arahan Ketua Cawangan kerana tidak kenal calon.


ii) Kesan daripada perbuatan jahat ini telah memberi kelebihan kepada satu pihak dan merupakan salahlaku yang menyalahgunakan jawatan dan kedudukan.


iii) Perbuatan ini melanggari Perkara 8.1 Tata Etika Ahli dan tindakan tatatertib mesti dikuatkuasakan.



PERKARA


5) BANTAHAN KE-ENAM - PELANGGARAN PANDUAN MENGUNDI


UMNO Malaysia telah mengeluarkan satu PANDUAN MENGUNDI (PERKARA YANG DILARANG DAN CONTOH UNDI ROSAK / DITOLAK).bagi rujukan dalam pemilihan UMNO 2013. Pelanggaran kepada larangan seperti di bawah telah dikenalpasti berlaku dan bukti dalam bentuk video ada disediakan dan salinan diberikan kepada UMNO Malaysia.


i) Membuat bising (Berlaku keadaan rioh rendah)


ii) Menimbulkan kacau bilau (Berlaku keadaan rioh rendah)


iii) Berkempen dengan apacara sekalipun (Calon berkempen di saat akhir dengan gambar dan nombor calon)


Untuk makluman, Pengadu-pengadu telah mencadangkan dalam Mesyuarat AJK Bahgian yang terakhir supaya SU Bahagian membuat taklimat tentang Panduan Mengundi dan telah dipersetujui tetapi dibatalkan. Hasilnya maklumat larangan tidak sampai ke pengetahuan perwakilan.


KESIMPULAN:


i) Adakah bukti dalam bentuk video dan gambar yang menunjukkan pelanggaran panduan UMNO Malaysia tidak cukup dan memadai untuk UMNO Malaysia membuat keputusan?


ii) Sebenarnya punca penyebab berlakunya keadaan bising adalah kerana laluan dari tempat duduk perwakilan dalam dewan ke tempat mengundi tidak terasing dari laluan orang ramai yang memudahkan gangguan pelobi dan calon untuk berkempen di saat akhir.


iii) Pemantau lepas tangan kerana bersekongkol dengan pihak pengurusan UMNO Bahagian.


iv) Mengesahkan wujud penipuan terancang yang diketuai oleh pengurusan Bahagian.




6) BANTAHAN KE-TUJUH - STATUS PERWAKILAN CAWANGAN SUBANG JAYA BARAT


UMNO Cawangan Subang Jaya Barat merupakan cawangan UMNO yang tertua di DUN Subang Jaya. Pada Persidangan Tahunan Cawangan 2013, cawangan ini masih mempunyai jumlah ahli sebanyak 850 orang walaupun arahan pemutihan ahli cawangan telah dikeluarkan oleh UMNO Malaysia lebih 5 tahun yang lalu. Pada tahun pemilihan 2008, cawangan ini masih mempunyai keahlian yang sama dan menghadapi masalah cukup bilang untuk bersidang.



Ketua Cawangan ketika itu, Hj. Moenuddin Mohamed telah meletakkan jawatan sejurus BN kalah di Selangor pada PRU-12 (2008) dan telah dipangku oleh Hj Abd. Majid. Mengikut Hj Abd. Majid, cawangan ini tidak mengadakan Persidangan Tahunan Cawangan 2008 tetapi sayap Pemuda telah bersidang menurut mantan Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Hj Yahaya Bujang.



Pengadu-pengadu telah merujuk kepada Perkara 7 (Persidangan Semula) Peraturan Persidangan yang menyatakan seperti berikut:



7.2 Bahagian-bahagian atau Cawangan-cawangan yang gagal mengadakan mesyuarat Perwakilan Persidangan Tahunan pada tahun pemilihan, Jawatankuasanya adalah bubar. Maka Majlis Tertinggi atau Jawantankuasa Bahagian berkuasa mengadakan mesyuarat perwakilan khas atau persidangan khas cawangan bagi memilih jawatankuasa baru yang akan memegang sehingga pemilihan bahagian atau cawangan akan datang dan berhak menghantar wakil-wakilnya ke perhimpunan agung atau mesyuarat Perwakilan Bahagian.



Untuk makluman, masalah cawangan Subang Jaya Barat memang diketahui semua AJK Bahagian. Mantan Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Hj. Yahaya Bujang telah berusaha dan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pemuda Cawangan Sdra Khairol untuk memulihkan cawangan pada tahun 2008 tetapi tidak berjaya.



Tiba-tiba, pada tahun 2013, Sdra Khairol telah mengadakan Persidangan Tahunan Cawangan 2013 bagi menghadapi pemilihan Bahagian 2013. Datuk Hj Yusoff M Haniff telah menjadi wakil Bahagian ke Persidangan Tahunan Cawangan tersebut.



Dalam Mesyuarat AJK Bahagian, Pengadu telah bertanya berapa ramai ahli cawangan dan dijawab kekal pada 850 orang. Pengadu seterusnya menyatakan untuk cukup bilang ianya memerlukan kehadiran seramai 213 orang ahli. Wakil bahagian menyatakan beliau telah mengambil pertimbangan politik untuk membenarkan cawangan ini bersidang.


Dari maklumat di atas, timbul beberapa kemuskilan..


i) Berdasarkan peraturan di atas, apabila tidak ada Mesyuarat Khas diadakan oleh pihak bahagian maka, cawangan itu seolah baru diwujudkan semula dan apakah taraf perwakilannya?.


ii) Apakah motif wakil bahagian membenarkan cawangan bersidang tanpa cukup bilang walhal, Sdra Khairol yang selama ini tidak ambil kisah mempunyai banyak masa (dari 2008 hingga 2013) untuk membetulkan keadaan cawangan.


KESIMPULAN:

i) Kedudukan dan status cawangan Subang Jaya Barat adalah sangat mengcurigakan dan sekiranya ada dokumen menyokong dakwaan ini ianya boleh diadakan atas perancangan dan niat tertentu.


ii) Keahlian cawangan ini yang begitu ramai telah tidak diambil peduli oleh Sdra Khairol selama 5 tahun dan secara tiba-tiba pada 2013 timbul untuk membolehkan cawangan bersidang amat mencurigakan.


iii) Adakah boleh dipercayai semua yang hadir ke persidangan cawangan Subang Jaya Barat adalah ahli cawangan atau pun ahli hantu?


iv) Kesahihan persidangan cawangan amat meragukan kerana ketelusan wakil Bahagian juga boleh dipertikaikan atas pertimbangan politik dalam musim pemilihan.


v) Jumlah perwakilan cawangan ini seramai 8 orang (5 ahli + 3 Ketua = 8) adalah kritikal dalam menentukan jumlah keseluruhan perwakilan daripada DUN Subang Jaya.



JAWAPAN UMNO MALAYSIA


Walaupun ada asas pada bantahan tersebut, sekiranya diterima dan diadakan pemilihan semula, ianya tidak akan mengubah keputusan pada pemilihan sebelum ini, atau



JAWAPAN BALAS PENGADU


JIKA ADA ASAS KEPADA BANTAHAN YANG DIKEMUKAKAN BERMAKNA ADA KESALAHAN YANG BERLAKU. Kesabitan SALAHLAKU ini memberi tiga (3) JENIS TINDAKAN YANG BOLEH DIAMBIL OLEH UMNO MALAYSIA SEPERTI BERIKUT:



1) Mengambil TINDAKAN TATATERTIB kepada individu yang melakukan kesalahan; atau


2) Mengarahkan PEMILIHAN SEMULA diadakan; atau


3) KEDUA-DUA SEKALI


Dlm kes ini, objektifnya ialah untuk mencari SAMADA BERLAKU PELANGGARAN PERATURAN ATAU SEBAGAINYA YANG DITETAPKAN OLEH PARTI. SAMADA KEPUTUSAN UMNO MALAYSIA UNTUK MENGADAKAN PEMILIHAN SEMULA ATAU TIDAK ITU PERKARA KEDUA. YANG PALING UTAMA, PESALAH MESTI DIAMBIL TINDAKAN KERANA UMNO ADALAH PARTI YANG MEMPUNYAI PERATURAN DAN PERLEMBAGAAN. Tidak guna ada semua ini sekiranya perlaksanaannya tiada.



Pengadu-pengadu ingin menolak dengan sekeras-kerasnya pendapat UMNO Malaysia yang menyatakan sekiranya diadakan pemilihan semula, ianya tidak akan mengubah keputusan pada pemilihan sebelum ini dengan memberikan alasan yang munasabah seperti berikut:


i) Semua perwakilan dan bahkan semua ahli UMNO dalam Bahagian akan tahu perkara yang sebenar dan ini akan memberi kemenangan moral kepada pihak yang membuat bantahan.


ii) Jumlah perwakilan yang baru akan menentukan jumlah penyokong yang baru


iii) Senarai Perwakilan yang baru akan juga menentukan jumlah penyokong yang baru


iv) Penyokong calon yang dibatalkan kelayakan untuk bertanding kerana tindakan tatatertib, penyokongnya akan lari dan mungkin berpecah dua.


v) Bagi jawatan satu lawan satu, kemungkinan besar hanya tinggal satu calon sahaja dan akan menang tanpa bertanding.


KESIMPULAN:

i) Pengadu-pengadu percaya dengan sangkalan, penjelasan dan hujah yang dikemukakan kepada tujuh-tujuh (7) perkara pokok bantahan ini, sudah cukup merit untuk UMNO Malaysia memutuskan supaya pemilihan semula adalah wajar kerana terbukti wujud perancangan penipuan oleh pihak UMNO Bahagian yang mengendalikan Mesyuarat Pemilihan Kelana Jaya 2013.


ii) Salahlaku wujud dan tindakan tetatertib mesti diambil ke atas pesalah.




JAWAPAN UMNO MALAYSIA

Tidak mematuhi peraturan dan prosedur pemilihan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2013


JAWAPAN BALAS PENGADU

Semua jawapan balas Pengadu-pengadu kepada empat (4) perkara-perkara yang dititikberatkan oleh Jawatan kuasa Khas Bantahan UMNO Malaysia telah diperhalusi sebelum memberikan jawapan balas. Hujah-hujah itu bukan direka tetapi adalah fakta kebenaran yang membongkar dan menengahkan bukti pelanggaran peraturan dan prosedur pemilihan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2013.


PENUTUP

Dalam kes bantahan ini, apa yang diminta oleh pihak Pengadu-pengadu ialah KEADILAN. Keadilan bermakna tidak berat sebelah atau meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ianya merupakan suatu hasil pengambilan keputusan yang mengandungi kebenaran, tidak memihak, dapat dipertanggunjawabkan dan memperlakukan setiap orang pada kedudukan yang sama di depan hukum.


Pengadu-pengadu kesal dengan sikap UMNO Malaysia yang CUBA MELINDUNGI PIHAK DEFENDEN apabila sesi pendengaran dibuat secara berasingan. Dalam hal ini, bagaimana UMNO Malaysia boleh menilai keterangan yang mana benar apabila pihak plaintiff (Pengadu-pengadu) tidak boleh membantah keterangan yang diberikan oleh pihak defenden?



Pengadu-pengadu bukan kumpulan degil tetapi mahu membersihkan kebatilan dan menegakkan Amar makruf dan nahi mungkar yang berasal daripada peristilahan ayat al-Quran yang bermaksud "mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran".


Firman Allah:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah: 71)


Dalam Al-Qur'an dijumpai lafaz "amar ma'ruf nahi munkar" beberapa kali seperti dalam Surah Ali Imran ayat 104: “Dan hendaklah ada di antara kamu, sebahagian yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”


UMNO Malaysia yang mendengar kes bantahan ini sepatutnya berperanan seperti hakim di mahkamah yang menilai hujah yang dikemukakan kedua pihak dalam satu sesi yang sama bukan berasingan. Siapa yang lebih tahu situasi sebenar kalau bukan Pengadu-pengadu. Oleh itu, cara pendengaran kes bantahan ini dikendalikan tempoh hari sudah menggambarkan ada perkara yang tidak telus dan tidak kena. Ianya memberi persepsi seolah-olah telah dirancang atau ada unsur campur tangan pihak tertentu sebagai satu gimik untuk mengelirukan keadaan.


Pengadu-pengadu dan rakan-rakan boleh terima kekalahan kerana itu adalah adat pertandingan. Tetapi yang Pengadu-pengadu tidak boleh terima ialah cara kekalahan itu diperolehi kerana setiap orang mempunyai maruah dan apabila unsur penipuan digunapakai untuk menidakkan kebenaran maka, ianya tidak boleh dibiarkan dan harus dibanteras habis-habisan. UMNO dilahirkan atas sifat-sifat yang terpuji maka sifat terpuji mesti disuburkan dan dipertahankan dalam budaya UMNO untuk memastikan kelestarianya.


Kesimpulannya, apa itu 3B? BODOH, BANGGANG DAN BAHLUL, jika tidak pilihlah antara 3 tindakan berikut.


1) Mengambil tindakan tatatertib ke atas pesalah; atau


2) Mengadakan pemilihan semula; atau


3) Kedua-dua sekali



Oleh : Haji IR Yusuf Sani
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger