SEKIRANYA sebutir batu dicampak di khalayak ramai, ia pasti terkena kepala seorang Datuk, atau mungkin dua. Saya bukan mengesyorkan keganasan, tetapi saya memberi gambaran bahawa Datuk berada di mana-mana.
Bagi yang tidak tahu, gelaran tersebut seumpama anugerah British yang membawa gelaran “Sir”. Malangnya anugerah berprestij itu sudah hilang serinya. Rakan saya berkata gelaran tersebut seperti boleh didapati di kerusi belakang basikal, atau dibeli di pasar malam. Berapa ramai Datuk yang benar-benar layak diberi gelaran itu?
Baru-baru ini, polis menahan seorang pemuda berusia 26 tahun, dengan gelaran Datuk yang menculik serta memukul tiga lelaki, termasuk seorang warga asing di ibukota. Lelaki itu mendakwa beliau mempunyai kenalan polis berpangkat tinggi. Pada kadnya tertera gelaran “Datuk”.
Jelas, pemuda itu gemarkan kemewahan dan menggunakan gelaran tersebut di jalan yang salah. Lagipun, hari ini ramai Datuk palsu. Ada yang mendapatnya daripada pembesar Naning serta Sultan Sulu. Mereka membayar wang dengan harapan gelaran tersebut memberi mereka peluang mendapatkan kontrak. Selalunya rancangan mereka gagal.
Selain itu, berapa ramaikan Datuk yang layak digelar begitu? Saya kenal peniaga barangan lusuh yang dianugerahkan gelaran Datuk. Beliau mengaku membelinya daripada seorang Sultan di pantai timur.
Malah, bintang mega Bollywood Shahrukh Khan turut bergelar Datuk, hanya kerana beliau menyanyi dan berlari di sekeliling pokok di dalam filem-filem Hindustan. Kerajaan Melaka memberinya gelaran itu dengan tujuan agar Shahrukh Khan mempromosi pelancongan di Melaka.
Komuniti India turut keliru apabila baru-baru ini, seorang deejay radio wanita diberi gelaran Datuk. Beliau yang berusia di dalam lingkungan 20an menaiki kereta Bentley dengan seorang pemandu, dan kerap dilihat berdampingan dengan VVIP di negara ini. Beliau menubuhkan NGO yang fungsinya tiada siapa yang pasti.
Personaliti ini menghiasi majalah tempatan sebagai antara 10 wanita yang paling berpengaruh. Malah beliau mengatasi aktivis Datin Paduka Marina Mahathir. Popularitinya menjadi satu misteri kerana sebelum ini beliau tidak begitu menonjol. Kini laman Facebooknya memiliki 900,000 penggemar, hampir menyamai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdapat juga taukeh kegiatan haram yang bergelar Datuk kerana mereka memiliki wang yang banyak. Rakyat kini tidak memandang tinggi gelaran itu.
Tidak ramai yang menyumbang tenaga seperti wira Everest Datuk M Magendaran serta Datuk N Mohandas. Mereka bergelar Datuk hanya selepas 13 tahun mencapai puncak tertinggi di dunia.
Pendapat saya, kita tidak perlu obses mendapat sesuatu gelaran. Manusia paling berpengaruh seperti Barack Obama juga tidak bergelar “Datuk”. Yang mustahak ialah bagaimana kita dipanggil.
Saya boleh tunggu sehingga bercucu bagi dipanggil gelaran itu - theantdaily.com
Post a Comment