Home » » Anwar Bersuara : Pengguguran Azmin Daripada PKNS TIDAK SAH!

Anwar Bersuara : Pengguguran Azmin Daripada PKNS TIDAK SAH!

Written By Unknown on 16/01/2014 | 2:22 pm


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi menegaskan pengguguran timbalan presiden parti, Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah tidak sah.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata beliau akan membincangkan kedudukan Azmin dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Anwar berkata jika penjelasan Khalid digunapakai, maka Azmin digugurkan oleh PKNS yang tidak mempunyai kuasa sedemikian.
“Surat ditulis, kemudian MB kata dia tidak arah (untuk Azmin digugurkan).
“Dari segi prosedur Pengurus Besar PKNS tiada kuasa melainkan kerajaan negeri mengadakan mesyuarat (membuat keputusan),” katanya kepada pemberita tadi dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR.
Azmin yang hadir dalam sidang media sama dalam pada itu enggan mengulas lanjut bersabit isu itu sebaliknya menyokong pendirian yang dibuat parti.
“Saya enggan mengulas, kenyataan Anwar sudah cukup jelas,” katanya seperti yang dipetik dari Antarapos.com
Azmin dan Abdul Khalid sememangnya diketahui berbeza pandangan dalam banyak perkara.
Malah, pelantikan Abdul Khalid sebagai MB bagi penggal kedua sememangnya tidak disenangi oleh PKR Selangor yang dipimpin oleh Azmin.
Namun, PKR juga tidak boleh melakukan apa-apa kerana PAS dan DAP yang masing-masing mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahukan Abdul Khalid kekal dan tidak bersedia menerima Azmin.
Azmin sebelum ini juga merungut apabila pimpinan pusat PKR tidak melakukan perbincangan dengan parti di peringkat negeri dalam urusan pelantikan MB Selangor bagi penggal kedua.
Hasilnya, hubungan keruh di antara kerajaan negeri Selangor pimpinan Abdul Khalid dengan PKR negeri pimpinan Azmin semakin membarah.
Ahli Parlimen Gombak itu juga dilihat banyak mengkritik pendekatan pentadbiran Abdul Khalid, sebagai contoh dalam bajet kerajaan negeri apabila beliau membidas Abdul Khalid kerana hanya memfokuskan kepada perbelanjaan mengurus semata-mata dan tidak perbelanjaan pembangunan.
Selain itu, Azmin membidas Abdul Khalid dalam isu kenaikan gaji yang termasuk dalam belanja mengurus bagi menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu.
Azmin menggesa pelaksanaan kenaikan gaji itu ditangguhkan.
Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat sebagai menyebelahi Azmin, turut mengulas mengenai kenaikan berkenaan dengan menyifatkan ia terlalu tinggi dan mendadak.
PKNS, sebuah konglomerat milik kerajaan negeri, adalah pemaju hartanah dan pelabur utama dalam perniagaan di Selangor.-newshub
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger