Home » » Matlamat Penubuhan GLC; Makin Menghisap Darah Rakyat?

Matlamat Penubuhan GLC; Makin Menghisap Darah Rakyat?

Written By Unknown on 20/12/2013 | 10:00 am

hypocrite


Terlalu banyak GLC jikalau kita hendak menyenaraikan satu persatu. Namun rata-rata rakyat Malaysia tahu, GLC diwujudkan untuk mengekang kenaikan harga yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Dan rata-rata rakyat Malaysia – tak kiralah sama ada mereka menyokong pembangkang, mahupun penyokong kerajaan – juga tahu yang GLC banyak mendapat kontrak kerajaan untuk mempercepatkan kemajuan negara ini di samping mengekalkan kestabilan pasaran dan kewangan negara.

Secara tidak langsung, Malaysia bukanlah pengamal pasaran bebas secara langsung kerana dasar kerajaan masih lagi berpihak kepada golongan miskin menerusi kewujudan pelbagai jenis GLC. Namun kebelakangan ini, fungsi sebenar GLC hanya tertera di atas kertas.

Semakin banyak pendedahan menunjukkan mereka yang dilantik mengetuai atau memimpin GLC terdiri daripada pemuka-pemuka yang bercakap tentang kepentingan Melayu-Bumiputera sebelum menjawat jawatan penting dalam GLC tetapi apabila jawatan sudah dalam tangan, Melayu-Bumiputera bagi mereka tidak lebih sekadar satu retorik semata-mata. Dan mereka pula berbangga kerana kononnya mereka sangat terbuka, liberal dan naik ke jawatan berkenaan kerana kemampuan diri bukan kerana mereka Melayu-Bumiputera!

Beberapa tahun ini, fungsi-fungsi GLC mulai dipertikaikan. Kebanyakan GLC dilihat lebih mengutamakan keuntungan di atas kertas untuk membuktikan kepimpinan mereka sangat pandai dalam mencari keuntungan. Pada masa yang sama, kebajikan rakyat mulai diabaikan walaupun pada masa yang sama, kesemua GLC tersebut memperolehi keuntungan hasil pemerasan ke atas rakyat.

TNB sebagai contoh, merupakan sebuah GLC yang memonopoli pasaran tenaga di Semenanjung Malaysia, khususnya. Ketiadaan pesaing, membuatkan TNB yang turut diapungkan di pasaran saham, menjadi keperluan dan kewajipan kepada rakyat Malaysia tanpa sebarang pilihan.

Saban tahun, para pemegang saham TNB terus mendesak syarikat berkenaan untuk menuntut kenaikan tarif elektrik untuk keuntungan mereka sendiri. Sebagai syarikat yang pegangan sahamnya dibuka kepada awam, ’peraturan unik kapitalis’ perlu dipatuhi.

Pucuk pimpinan TNB tidak ada pilihan lain dan meskipun kerajaan mempunyai GOLDEN SHARES dalam TNB, Kerajaan juga nampaknya tidak boleh berbuat apa-apa, melainkan terpaksa tunduk dan akur dengan tuntutan tersebut. Akhirnya keputusan yang dibuat ialah menaikkan tarif dengan pelbagai alasan dan penjelasan walaupun sekalian alasan dan penjelasan tersebut diterima oleh orang ramai dengan sengihan dan gelengan.

PETRONAS merupakan satu lagi GLC yang banyak diperkatakan apabila pengurusan PETRONAS mengamalkan dasar yang sama sekali berbeza berbanding matlamat asal penubuhannya. Kepimpinan entiti tersebut semakin meminggirkan Melayu-Bumiputera hanya semata-mata untuk dilihat terbuka dan terlalu takut dengan gelaran RASIS kerana membantu peniaga-peniaga kecil Melayu-Bumiputera yang menggunakan premis PETRONAS untuk berniaga.

Biarpun seorang Eksekutif PETRONAS menyatakan, entiti tersebut akan sentiasa menyokong peniaga-peniaga kecil Melayu-Bumiputera, namun perkembangan terbaru menyaksikan pembekal makanan di kiosk dan premis minyak milik PETRONAS, bukan lagi Melayu-Bumiputera. Begitu juga dengan produk-produk makanan ringan yang terjual, terlalu susah untuk melihat produk-produk Bumiputera.

Itu hanyalah sebahagian daripada contoh. Namun perkara pokok yang seringkali diperkatakan ialah sikap haloba GLC yang tidak sahaja terlupa bahawa peranan mereka selain daripada membantu kerajaan mendapatkan dana, tanggungjawab sosial mereka yang lain adalah membantu Melayu-Bumiputera dalam pengukuhan ekonomi.

Sudah ada suara-suara yang mendesak agar kepimpinan melakukan sesuatu atau mewujudkan mekanisme yang mengawal GLC-GLC yang hanya memikirkan tembolok mereka sahaja tanpa memandang kepada keperluan yang membolehkan mereka wujud. Kerajaan perlu mengawal dan mengawalselia GLC-GLC ini termasuklah menyingkirkan mana-mana eksekutif mahupun kakitangan yang enggan menjalankan tanggungjawab sosial mereka.

Bukannya seperti sekarang yang memberikan kebebasan sepenuhnya kepada GLC-GLC berkenaan sehinggakan sebahagian besar GLC telah menjadi sarang puak-puak penentang Kerajaan sendiri. Lebih-lebih lagi apabila eksekutif-eksekutif yang diambil bekerja pula, didatangkan dari negara luar, walaupun hakikatnya kerja-kerja tersebut boleh dilakukan oleh anak tempatan dari bangsa Melayu-Bumiputera!


Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger