Anggota polis yang dipercayai terbabit dalam kejadian menampar orang awam di Bayan Baru kini ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata langkah itu diambil sementara menunggu siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Anggota polis berkenaan sudah ditukarkan serta-merta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Rahim turut menegaskan PDRM tidak berkompromi dengan pegawai dan anggotanya yang melakukan kesalahan sehingga mencemarkan nama dan imej PDRM.
“Arahan telah dikeluarkan kepada semua ketua jabatan, ketua polis daerah dan ketua formasi untuk memastikan semua pegawai dan anggota di bawah seliaan mereka melaksanakan tugas mengikut undang-undang.
“Jangan sesekali bertindak di luar batasan serta melakukan perkara yang mencemarkan imej pasukan,” tegasnya.
Kenyataan Abdul Rahim itu adalah susulan penyebaran rakaman video menerusi laman sosial sejak Jumaat lepas yang memaparkan perbuatan seorang anggota polis menampar seorang individu dipercayai warga asing, kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.
Kejadian dipercayai berlaku di hadapan sebuah klinik swasta di Bayan Baru. – BERNAMA
Post a Comment