Dalam Konvensyen DAP yang berlangsung Ahad lalu, Lim Guan Eng
membuat ucapan yang membuatkan kita tersengih-sengih mendengarnya. Kata Guan Eng, beliau berjanji
sekiranya PR dapat memenangi Putrajaya maka masalah banjir di Pahang akan
diselesaikan dalam masa satu penggal sahaja.
Mungkin reaksi paling tepat terhadap ucapan Guan Eng ialah dengan
memberikan beliau gambar-gambar banjir di Pulau Pinang bersama dengan
cermin.
Masalah banjir di Pahang mungkin merupakan sesuatu yang biasa kita
dengar walaupun tidak seburuk tahun ini. Tetapi, masalah banjir terburuk di
Pulau Pinang yang berlaku pada 2011 dan berulang lagi pada 2013 bukanlah
perkara biasa. Sedar atau tidak, negeri itu hanya mengalami banjir yang
buruk sejak diperintah oleh DAP.
Kita tidak perlu menjadi pakar dalam bidang geologi untuk memahami
kenapa bencana ini terjadi di Pulau Pinang. Cukup dengan melihat dengan mata kasar
kerakusan kerajaan DAP membuat pembangunan tanpa menghiraukan kesannya kepada
alam sekitar.
Apa yang menarik ialah Guan Eng hampir langsung tidak membuat
kenyataan mengenai banjir di Pulau Pinang ketika masalah itu berlaku di
sana. Malah, akhbar milik
DAP, Roketkini juga bagai segan-segan untuk menyentuh mengenai masalah
itu. Tidak salah dikatakan
bahawa kerajaan Pulau Pinang lebih ‘selesa’ membiarkan pihak lain untuk
membantu mangsa-mangsa banjir.
Justeru, tentulah jelek sekali apabila dengan tidak semena-mena,
Guan Eng menyatakan ‘minat’ untuk menyelesaikan masalah banjir di negeri lain
di kala beliau mengabaikan masalah di negeri sendiri. Sedangkan, di Pulau Pinang Guan
Eng tidak perlu menunggu untuk mendapat kuasa untuk berbuat sesuatu kerana
beliau telah pun berkuasa. Inikan
pula untuk menunggu mendapat kuasa dahulu di Putrajaya untuk menangani masalah
Pahang.
Jelas, janji-janji DAP mengenai menyelesaikan masalah banjir hanyalah satu lagi produk dalam
siri ‘Impian’ parti itu. Sebelum ini, DAP telah menjual Impian Sabah dan
juga Impian Sarawak.
Bagaimanapun, kita percaya tidak ada sesiapa yang akan terpedaya
dengan promosi mimpi DAP setelah melihat apa yang terjadi di Pulau
Pinang. Jangankan DAP
menyelesaikan apa-apa, tetapi DAPlah yang menjadi punca masalah banjir buruk di
negeri itu.
Sekiranya berkuasa, kita pasti DAP tidak akan membiarkan walau
sekangkang kera tanah yang tidak dibangunkan di negara ini. Jika perlu dirampas secara paksa atau
dibina bangunan secara haram juga DAP akan tetap membangunkan setiap inci tanah
demi apa yang dipanggil mereka ‘keuntungan’.
Oleh itu, sekiranya DAP
berjaya merampas Putrajaya, maka bersedialah kita semua untuk menghadapi banjir
yang jauh lebih besar lagi di seluruh Malaysia. DAP pula akan menjaja bencana
itu sebagai ‘keuntungan negara’.
Sesungguhnya, keuntungan bagi kerajaan DAP dan pemaju merupakan
kerugian kepada rakyat marhaen dan juga alam sekitar.
Bagaimanapun, memandangkan masalah CEC DAP masih belum selesai
sepenuhnya, maka kita bolehlah menganggap yang ucapan Guan Eng itu dibuat dalam
Konvensyen yang berlangsung dalam ‘mimpi’nya sahaja.
Post a Comment