Home » » Harga Minyak Turun !!

Harga Minyak Turun !!

Written By Unknown on 30/12/2013 | 8:00 pm




Pemberian subsidi minyak adalah sesuatu yang dianggap ‘wajib’ bagi negara-negara pengeluar minyak. Akhir-akhir ini, negara-negara ini mula ‘mengeluh’ akan kesan dari subsidi yang begitu tinggi sehingga menjejaskan pertumbuhan negara. Pada tahun 2012 sahaja, jumlah penggunaan yang melibatkan subsidi direkodkan jumlah USD544 bilion.

Jumlah permintaan di negara-negara ini juga meningkat setiap tahun iaitu dijangka lebih dari 50 peratus dalam masa 17 tahun yang akan datang. Menurut Menteri Minyak dan Gas Oman, Mohammed b. Hamad al-Rumhy di dalam Adipec Energy Conference di Abu Dhabi baru-baru ini, subsidi petrol dan elektrik telah mengakibatkan pembaziran yang besar kepada negara-negara teluk sekali gus mengancam ekonomi dunia.

Venezuela adalah antara negara yang memberi subsidi paling tinggi di mana minyak di jual di sekitar harga USD0.008 se-gelen sejak 1998 - iaitu yang termurah di dunia. Antara negara lain yang turut memberi subsidi ialah Amerika, Arab Saudi, Iran, Mesir, Burma, Kuwait, Bahrain, Trinidad, Brunei, Bolivia dan tentu sekali, Malaysia.

Kebanyakan negara-negara ini kini telah mula mengurangkan subsidi secara perlahan-lahan berikutan perkembangan ekonomi dunia. Pada Februari 2010, Iran telah mengurangkan subsidi yang menyebabkan minyak di negara itu dijual pada harga 400 rial seliter berbanding 100 rial seliter sebelumnya.

Disember 2010, kerajaan Bolivia bercadang mengambil langkah sama yang mengakibatkan kenaikan harga sehingga 83%. Bagaimanapun, ia mendapat tentangan meluas sehingga memaksa kerajaan membatalkan rancangan itu. Akibatnya, kerajaan Bolivia terpaksa berhadapan dengan pembaziran tenaga dan tidak mampu mengadakan sebarang program berkesan untuk pembangunan dan kemajuan engara.

Pada tahun 2008, Malaysia turut mengambil langkah mengurangkan subsidi minyak yang pada ketika itu melibatkan jumlah USD14 billion dari bajet negara. Rungutan dan bantahan juga diterima dari kalangan rakyat sepertimana yang dijangka. Bagi menanganinya, rebat cukai jalan diperkenalkan bagi mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi pengurangan subsidi ini.

Sejak itu, kerajaan telah berusaha untuk memberi berbagai bantuan lain bagi memastikan aktiviti ekonomi dalam negara tidak terjejas. Ia dilakukan selari dengan usaha memberi penjelasan berterusan mengenai perlunya subsidi dikurangkan atau dihapuskan terus secara perlahan-lahan.

Rakyat kini mula memahami bahawa peningkatan penggunaan tenaga dalam bentuk petrol dan diesel telah meningkat dengan begitu drastik dan pemberian subsidi menjadi semakin tidak relevan memandangkan ia hanya menguntungkan pihak yang berkemampuan, contohnya, pemilik kenderaan terutama kereta mewah, dan juga para peniaga.

Sedangkan matlamat sebenar subsidi adalah untuk membantu golongan miskin dan sederhana miskin.

Venezuela, sebagai negara yang menjual minyak paling murah merupakan antara negara yang teruk terjejas dari pemberian subsidi ini. Justeru, President Nicolas Maduro baru-baru ini mengumumkan yang negara itu akan membincangkan perkara itu di kabinet bagi mencari jalan terbaik untuk menjadikan kedudukan negara itu sebagai negara pengeluar minyak terbesar di Amerika Latin satu ‘kebaikan’ dan bukannya ‘keburukan’ kepada rakyatnya sendiri.

Subsidi minyak negara itu melibatkan jumlah USD12.5 billion setahun dan turut mengundang kerugian yang besar akibat aktiviti penyeludupan.

Jumlah subsidi yang begitu tinggi ternyata tidak mampu memperbaiki taraf hidup majoriti rakyat di negara itu. Sehingga ke hari ini, jurang miskin dan kaya begitu jauh dan ketara. Golongan kaya yang memiliki kereta dikatakan mampu menghulurkan ‘tips’ kepada pekerja stesen minyak dalam jumlah yang jauh lebih tinggi dari harga minyak yang diisi.

Ini jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan situasi ini. Yang kaya semakin kaya dan yang miskin kekal di takuk lama walaupun harga minyak tidak berganjak.

Maka, kabinet Venezuela telah menerima hakikat bahawa pemberian subsidi selama ini tidak membawa kesan yang diharapkan. Sebaliknya, adalah lebih berkesan jika jumlah tersebut digunakan untuk kebajikan rakyat miskin dari segi memperbaiki sistem pendidikan dan juga kemudahan infrastruktur.

Langkah ini diyakini sebagai yang terbaik dalam menangani inflasi dan juga defisit dalam bajet negara itu. Bagaimanapun, Venezuela bimbang dengan reaksi rakyat yang mungkin tidak mampu memahami keperluan ke arah perubahan ini. Sejarah telah merekodkan rusuhan terburuk dengan 300 kematian kerana membantah kenaikan harga minyak dalam tahun 1989.

Sejarah itu dijadikan pengajaran berguna di mana Maduro mengambil langkah lebih berhati-hati dengan ‘membeli masa’ dengan mengumumkan dahulu perancangan agar rakyat bersedia dan faham.

Apa yang dihadapi oleh Venezuela tidak jauh berbeza dengan Malaysia. Lebih dahsyat lagi bagi Malaysia kerana jumlah pemberian subsidi kepada rakyat hampir menyamai Venezuela sedangkan negara itu berada di tangga ke 9 berbanding Malaysia di tangga ke 29 dalam senarai negara pengeluar minyak dunia.

Dalam keadaan di mana ekonomi Malaysia berkembang lebih pesat dan kukuh berbanding Venezuela, maka tidak salah jika disimpulkan bahawa harga minyak yang rendah bukanlah penyelesaian bagi semua masalah ekonomi. Apa yang lebih penting ialah kebijaksanaan kerajaan memerintah untuk menjana ekonomi dari berbagai sumber di samping memastikan kesejahteraan rakyatnya.

Harga Minyak Turun Bukan Jawapan Untuk Semua Masalah !!!
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger