Proton Holdings Bhd. (Proton) mengeluarkan beberapa tips untuk diamalkan mangsa banjir dalam menguruskan kenderaan mereka yang terjejas akibat bencana itu.
Proton dalam satu kenyataan media memberitahu, pemilik kenderaan yang terjejas akibat banjir dinasihati supaya tidak menghidupkan enjin kenderaan yang dimasuk air banjir.
“Tips seterusnya jangan menggunakan alat kawalan jauh untuk membuka pintu kenderaan sebaliknya membuka pintu secara manual.
“Pastikan anda menanggalkan saluran negatif bateri kereta untuk menghentikan pengaliran elektrik pada kenderaan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, pemilik kenderaan juga dinasihati mengeluarkan semua barangan bernilai daripada kenderaan dan mengunci kembali kenderaan secara manual.
Jelas kenyataan itu, jika semua langkah tersebut dilakukan, pemilik kenderaan dapat meminimumkan kerosakan pada kenderaan mereka yang dinaiki air banjir terutama komponen elektrik dan mekanikal.
Orang ramai yang mahu mendapatkan nasihat lanjut atau mahu mendapatkan perkhidmatan lori tunda Proton diminta menghubungi talian 1800– 888–398. – mynewshub.my
Post a Comment