Home » » Sebarkan ; Foto Pencuri Kereta Ini Mampu Curi 5 Buah Sehari !!

Sebarkan ; Foto Pencuri Kereta Ini Mampu Curi 5 Buah Sehari !!

Written By Unknown on 27/11/2013 | 3:00 pm


Lelaki tempatan, Robin Hai yang diburu kerana menjadi dalang terbesar kes kecurian kenderaan di negara ini, dilaporkan telah mencuri kira-kira 2,000 kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pacuan empat roda (4WD) bernilai lebih RM180 juta sepanjang tahun lalu.

Ini berdasarkan anggaran lima kenderaan jenis itu dilaporkan dicuri setiap hari sepanjang tahun lalu mempunyai kaitan dengan lelaki tersebut yang nama sebenarnya ialah Nyo Ah Hai, 49.

Ketua Penolong Pengarah Risikan Jenayah, Operasi dan Rekod Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Abd. Manaf Abd. Razak berkata, setakat ini polis mengenal pasti Robin Hai adalah dalang utama sindiket curi kenderaan jenis 4WD dan MPV di negara ini.

Katanya, sindiket yang didalangi suspek berpangkalan di Kuala Lumpur tetapi lelaki itu tidak menetap di negara ini sebaliknya menguruskan operasi dari negara jiran dengan menggunakan pasport palsu.

"Kita merekodkan sebanyak 35 hingga 45 kenderaan hilang setiap hari di negara ini dan sekurang-kurangnya lima kenderaan jenis 4WD dan MPV pula lesap setiap hari, dipercayai ada kaitan dengan sindiket Robin Hai.

"Sindiket ini mempunyai bilangan pencuri kereta yang ramai iaitu di serata negara dan kebanyakan mereka berusia 30-an dengan latar belakang yang berbeza tetapi mempunyai kemahiran mencuri kenderaan jenis ini. Ada di antara mereka adalah penganggur dan penagih selain mekanik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Abd. Manaf dalam satu sidang akhbar mendedahkan Robin Hai sedang diburu polis kerana menjadi dalang utama bagi kes kehilangan puluhan ribu kenderaan sejak enam tahun lalu khususnya untuk dieksport ke Asia Barat dan Afrika selain Indonesia serta Thailand.

Lelaki yang beralamat terakhir di No. 78, Jalan Pangkalan Rawa, Nibong Tebal itu dipercayai menjadi orang yang bertanggungjawab untuk mencari pembeli bagi kenderaan curi itu.

Menurut Abd. Manaf, banyak tangkapan terhadap pencuri kenderaan atau serbuan ke lokasi penyimpanan kenderaan curi mempunyai kaitan dengan sindiket yang didalangi Robin Hai.

"Kita percaya dia juga sering keluar masuk ke negara ini," katanya sambil menambah, polis turut meminta bantuan daripada polis antarabangsa (Interpol) untuk mengesan suspek.

Dalam perkembangan lain, Abd. Manaf memberitahu, pemilik kilang kitar semula dan lima pekerjanya yang ditahan Jumaat lalu kerana menjadikan premis mereka sebagai pusat melerai kenderaan curi telah disambung reman hari ini.

"Suami pemilik kilang itu juga telah ditahan pada hari yang sama ketika serbuan dan isterinya dibebaskan dengan jaminan kerana sedang bertarung dengan penyakit kanser," katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger