Home » » “Kita akan mati bersama...” Jemaah Haji kemalangan di LPT

“Kita akan mati bersama...” Jemaah Haji kemalangan di LPT

Written By Unknown on 01/11/2013 | 11:30 pm


Kuantan: “Kita akan mati bersama,” kata Rakiah Ibrahim kepada Allahyarhamah Fatimah Said ketika masih berada di dalam van selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh belakang lori membawa muatan bijih besi di Kilometer 210.2, Lebuhraya Pantai Timur arah ke Kuantan, dekat Gambang, di sini, yang mengorbankan tiga jemaah haji, awal pagi kelmarin.

Rakiah, 64, yang patah kaki kanan berkata, walaupun Fatimah, 63, cedera parah di kepala dan badan, namun Allahyarhamah sempat berbual dengannya sebelum dikeluarkan pasukan penyelamat yang tiba.

“Badan dia menindih saya manakala keadaan saya pula ketika itu amat teruk dengan kaki terlipat sehingga ke kepala sendiri.

“Saya berkata kepada Fatimah, kita akan mati bersama di dalam van ini dan sempat meminta maaf kepadanya.

“Namun, saya tidak menyangka dia pergi dulu,” katanya ketika ditemui menerima lawatan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Pahang Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad. Turut dirawat di hospital berkenaan, pemandu van, Robaie Roslan, 45 Rakiah yang menetap di Kampung Razali, Jalan Gambang, di sini, berkata, ketika kejadian dia duduk antara Fatimah dan seorang lagi jemaah yang meninggal dunia, Zainab Awang Hassan, 59, di dalam kenderaan itu.

“Saya tidak tidur ketika kejadian yang berlaku begitu pantas.

“Saya rasa seperti berguling di dalam van sebelum tersedar kaki di atas kepala dan badan Fatimah menindih saya,” katanya yang turut menerima sumbangan daripada Tabung Haji dalam lawatan itu.

Selepas menziarah mangsa yang masih dirawat di HTAA, rombongan berkenaan mengadakan tahlil diketuai Syed Ibrahim di rumah dua beranak yang terkorban iaitu Kamarudin Ab Rahman, 43, dan ibunya, Zainab, di Kampung Permatang Badak Maju, di sini.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, majlis tahlil diadakan untuk ketiga-tiga jemaah yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu selain menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia.

“Selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada empat anak Kamarudin yang berusia 10 hingga 16 tahun berjumlah RM5,000 setiap seorang.

“Sumbangan ini bertujuan meringankan beban keluarga mereka selain untuk kegunaan pelajaran anak Allahyarham Kamarudin,” katanya.

Beliau berkata, Tabung Haji juga akan menanggung kos perubatan mangsa yang masih dirawat di HTAA.

“Kami merakamkan takziah kepada keluarga jemaah yang meninggal dunia dan berharap mereka diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian kehilangan insan tercinta. Kita berdoa semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

 Sementara itu, isteri Kamarudin, Tuan Mazlinawati Tuan Abdullah, 40, yang cedera dalam kejadian itu berkata, dia bersyukur serta berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Tabung Haji yang sudi mengadakan majlis tahlil selain menghulurkan sumbangan kepada keluarganya serta mangsa lain.


“Ia mengingatkan saya kepada Allahyarham (Kamarudin) kerana ketika hayatnya, dia amat suka majlis seperti ini,” katanya yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Permatang Badak, di sini.


-terengganupostonline
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger