Kemelut Pemilihan CEC DAP masih belum selesai walaupun telah
hampir setahun berlalu. Masalah perwakilan ‘hilang’ terus menghantui
parti itu termasuk dalam pemilihan semula. Diimbas kembali
pemilihan parti PKR yang lalu turut menyaksikan keadaan huru-hara yang sama,
atau mungkin lebih teruk lagi. Dalam pemilihan PKR terdapat 160
aduan serta beberapa perletakan jawatan, tidak termasuk pergaduhan sehingga
membawa kecederaan.
Kini, Muktamar PAS pula kecoh dengan berbagai-bagai ‘kejadian
pelik’ seperti kelibat calon di bilik penyimpanan peti undi dan juga pengiraan
yang memakan masa semalaman.
Jika DAP pada mulanya menyalahkan komputer, dan kemudiannya
menyalahkan ROS dan UMNO, PAS pula sehingga setakat ini, masih lagi
terpinga-pinga dan belum memutuskan siapa untuk disalahkan.
Dalam pemilihan CEC, DAP hanya perlu mengira 1,823
undi. Dalam Muktamar PAS pula, PAS hanya perlu mengira 1,086
undi. Walaupun jumlah undi begitu sedikit dan melibatkan kepentingan
ahli-ahli sendiri, pengiraan undi dilihat sebagai amat sukar sekali
selain dibayangi manipulasi. Keadaan yang sama
juga jelas berlaku dalam pemilihan PKR.
Bayangkan jika DAP, PAS dan PKR menjadi pemerintah dan perlu
menangani proses pilihanraya yang melibatkan 13.3 undi. Bayangkan,
jika ahli parti sendiri juga dimanipulasi, apakah jaminan yang mereka tidak
akan memanipulasi rakyat?
Kalaupun mereka tidak pernah memanipulasi undi, apakah jaminan
yang mereka benar-benar tahu mengira? Sedangkan mengira undi
tidak sampai dua ribu pun huru-hara jadinya.
Kesimpulannya, rakyat tidak perlu melihat jauh untuk menilai
kredibiliti dan integriti Pakatan Rakyat. Tidak perlu bersusah payah
menganalisa manifesto mereka atau menghalusi isu-isu yang mereka
bangkitkan.
Cukuplah dengan mengambil proses pemilihan ketiga-tiga parti itu
sebagai panduan. Apakah sebuah parti yang tidak tahu mengira dan
sanggup memanipulasi ahli sendiri mampu menjadi sebuah kerajaan yang
berkesan?
foto hiasan
Post a Comment