Home » » Bangga Jadi Anak Kelate ; Bukan Senang Nak Jadi Anak Kelantan !!!

Bangga Jadi Anak Kelate ; Bukan Senang Nak Jadi Anak Kelantan !!!

Written By Unknown on 25/11/2013 | 1:00 pm

Banggo Jadi Anok Kelate

MEMETIK kata-kata seorang rakan penulis ketika zaman belajar dahulu, ‘Bukan senang menjadi anak Kelantan, namun saya dilahirkan begini’, terfikir juga penulis mengapa secara tiba-tiba beliau mengeluarkan ayat sebegitu.

Menjadi anak Kelantan pastinya mengundang beribu persepsi masyarakat luar terhadap kami, ada yang positif malah ada yang negatif dan itulah yang mungkin menjadi penyebab ‘but I was born this way’.

Apabila penulis berhijrah ke ibu kota demi untuk mengejar ilmu dunia, baru lah penulis faham apa yang dimaksudkan dengan ayat yang pernah diungkapkan oleh sahabat penulis suatu ketika dahulu.

‘Gedebe, berpuak dan mulut banyak’
 Tidak dinafikan, bila sahaja ditanya mengenai orang Kelantan bagi pandangan orang luar, perkataan yang pertama dijawab adalah panas baran dan berpuak.

‘Gedebe’ bermaksud samseng tapi jangan salah faham kerana ia mungkin bermaksud berani dan tegas.

Sebagai orang Kelantan tentunya penulis kurang senang dengan stigma itu namun perkara itu adalah satu norma masyarakat Kelantan walaupun berjauhan, namun tetap mencari rakan sekampung.

Namun begitu, masih ada sesetegah pihak yang bereaksi melampau dengan menggambarkan orang Kelantan itu kurang berbudi pekerti adalah tidak benar sama sekali.

Bercakap dengan yang lebih lama merantau ke negeri orang, Hj Roslan Mohamad berkata semangat cintakan negeri adalah penyebab mengapa kita masih bersama tanpa mengira perbezaan agama dan politik.

Katanya yang juga Setiausaha Agung Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim SeMalaysia, semangat cintakan negeri bukan hanya terdapat dalam diri anak Kelantan malah mereka yang berasal dari negeri lain juga begitu namun tidak dinafikan semangan kenegerian bagi orang Kelantan lebih menyerlah berbanding anak jati negeri lain.

Tambahnya, perkara itu mungkin disebabkan bahasa serta asuhan dari kecil yang menyumbang kepada tata hidup kini.

“Walau dimana sekali pun, kita akan mencari titik persamaan terlebih dahulu, bila jumpa rakan sekampung senang untuk meminta tolong, seterusnya membina keluarga baharu di tempat orang.

“Jika ada titik persamaan maka timbullah titik perubahan, persekitaran baharu dalam kelompok yang berlainan budaya yang membolehkan kami menerima budaya orang secara berperingkat.

Katanya, seperti semua orang, orang Kelantan juga memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran.

“Bila dah sesuai, maka kami akan menerima orang lain, masyarakat lain..bukan tidak mahu menerima tetapi sebagai perantau di negeri orang, pastinya kami memerlukan masa untuk menerima orang lain.

Jelasnya hubungan orang Kelantan sungguh rapat walaupun tidak mengenali sesama sendiri sebelum ini.

“Ibarat seperti berasal dari payung yang sama, begitulah kami walaupun beribu ikan di pusaran kami tetap kenal ‘puak-puak’ kami.

“Pertama kali berjumpa, saya tanya asal dari mana?kalau Kelantan jawabnya, maka sehingga kini hubungan kami seperti adik-beradik walaupun pada hemat masyarakat luar bahasa yang digunakan agak kasar sesama kami namun itulah uniknya kami walaupun menggunakan perkataan kasar itulah resepi keakraban kami,”ceritanya.

Penduduk di Kelantan kebanyakan menggunakan bahasa Melayu Kelantan, bahasa ini merupakan loghat dari bahasa Melayu piawai. Bahasa ini berbeza dengan bahasa Melayu Terengganu tetapi digunakan sehingga di Besut dan Setiu, Terengganu.

Ujar Roslan, selain ajaran generasi lalu yang lebih kemelayuan, tetapi perkara asas yang diterapkan adalah didikan agama yang menjadi ilmu utama masyarakat kelantan.

“Di Kelantan, kalau seseorang itu tidak khatam Al-Quran maka perkara itu adalah luar biasa kerana sejak berumur 3,4 tahun lagi kami akan dipaksa untuk belajar mengaji di rumah Tok Guru.

Katanya lagi, ilmu agama yang diselitkan ketika masih kecil itu menggambarkan uniknya orang Kelantan yang mengutamakan didikan agama sebagai didikan rasmi selain mengekalkan adat istiadat lama dari keturunan sebelumnya.

“Budaya lalu kita tidak lupa, Dikir Barat kita layan, main gasing pun kita masih main..tapi yang wajib kita utamakan.

“Semua orang tahu, negeri kami di gelar Serambi Mekah, mengapa? bukan hanya sebab di perintah oleh Parti PAS namun sebab kami pentingkan didikan akhirat.

“Lihat sahaja Sultan Kelantan, Sultan Muhammad v, baginda sering kali mencemar duli bersama-sama rakyat jelata menunaikan solat berjemaah.Tiada yang mustahil di sini (Kelantan).

Katanya, masyarakat negeri itu harus berasa bertuah apabila dikurniakan seorang raja yang sangat mementingkan nilai- nilai keagamaan dan juga seorang ulama yang sentiasa ada di hati rakyat.

“Buktinya, bila tiba sahaja perlawanan bola sepak, Kelantan maka kita akan lihat beribu jemaah di stadium akan menunaikan solat Maghrib bersama-sama, beribu lautan The Red Warriors menyembah illahi dan itu membuktikan kami sentiasa bersama-sama dalam apa keadaan sekalipun.

“Lihat sahaja semangat The Red Warriors, stadium akan dipenuhi dengan lautan merah, semangat kami adalah api kepada saudara kami sendiri walaupun tidak mengenali tetapi kami akan bersama seperti sebuah keluarga.

“Belajar menerima orang dan orang akan menerima kita”

Kelantan merupakan negeri yang berjiran dengan wilayah-wilayah selatan Thailand yang dikenali dahulu sebagai Negeri Patani Darul Salam.

Sejarahnya bermula apabila Kelantan mempunyai hubungan sejarah yang sangat akrab dengan Kesultanan Melayu Patani yang didokongi oleh Kesultanan Melayu Islam.

Asimilasi antara budaya Melayu, Siam dan Islam menghasilkan permainan rakyat seperti Dikir Barat, Main Puteri, Mak Yong dan seumpamanya.

Tidak hairanlah jika seni itu dipelopori oleh masyarakat Kelantan.

Siapa tidak kenal dengan Halim Yazid antara pejuang seni masa kini yang berjuang seni budaya Kelantan itu ke pelusuk dunia.

Halim Yazid, anak jati Kelantan berasal dari Pasir Puteh, Kelantan antara yang popular membawa mesej kemelayuan dalam setiap bait seni irama dikirnya.

“Dikir yang saya ketengahkan berasal daripada idea dan pemikiran yang seterusnya menjadi satu perasaan ditambah dengan seni yang di perkenalkan generasi sebelum ini.

Terkenal dengan lagu-lagu yang menceritakan pengajaran dan kesedaran, Pegawai Kebudayaan Universiti Malaya itu turut menceritakan perihal budaya dan masyarakat Kelantan.

Katanya, stigma masyarakat luar terhadap orang Kelantan itu hanyalah perasaan prejudis semata-mata.

“Sikap masyarakat kita yang hanya duduk dalam satu bahasa dan dialek sendiri memudahkan toleransi antara satu sama lain.

“Sikap yang kita harus sedar Kelantan adalah sebuah negeri yang terasing daripada arus Malaysia, dan secara peribadi saya kurang senang dengan hal itu.
Jelasnya, orang Kelantan harus menerima masyarakat lain terlebih dahulu supaya mudah diterima orang.

“Kita mesti akui, ramai orang yang takut hendak bercampur dengan masyarakat kita kerana kita terlalu ‘Kelantan’..itu tidak salah namun kita hidup dalam masyarakat Malaysia harus seiring dengan masyarakat lain.

“Mungkin kerana orang Kelantan sebenarnya dalam situasi yang terbatas, lambat terdedah, jadi mereka sendiri harus bangkit dan berusaha setanding dengan masyarakat lain”, jelas Halim.

Ujar Halim, kemampuan orang Kelantan tidak dapat dinafikan hebatnya, ramai tokoh-tokoh yang berjaya dalam bidang masing-masing.

“Seperti saya, saya berusaha untuk mendapat tempat mempromosikan budaya dan seni dikir, apabila saya yakin berkemampuan maka saya berusaha dan peluang itu akan datang sekiranya ikhlas melakukannya.

Halim sebelum ini pernah mencipta nama di pentas antarabangsa melaui dikir barat.

“Walaupun dianggap ‘darat’ (kekampungan) oleh sesetengah pihak namun saya selesa dengan perjuangan saya”, katanya ketika dihubungi penulis beberapa hari lalu.

 Musim tengkujuh di Kelantan

Tiada kata yang boleh menggambarkan perasaan penulis apabila mengenangkan memori ketika zaman kecil di kampung 20, 30 tahun lalu.

Namun kesempatan bercuti selama dua hari ketika hujung minggu baru-baru ini di kampung halaman tercinta membuatkan penulis ingin mencari memori memukat ikan ketika zaman dulu-dulu.

Ketika hujan lebat membasahi tanah Serambi Mekah, ramai orang kampung mengambil kesempatan menahan pukat menangkap ikan haruan, puyu dan semila.

Situasi itu adalah biasa pada 20 tahun lepas, namun kini hanya tinggal beberapa orang sahaja yang masih mengekalkan aktiviti itu dan salah seorang daripadanya adalah Pak Teh Daud.

Pak Teh Daud, 78, merupakan generasi lama yang masih lagi diberi umur panjang untuk meneruskan hidup di bumi Allah SWT.

Penulis akui agak payah pada awalnya untuk mendekati Pak Teh Daud dek kerana beliau sibuk menguruskan pukatnya dan rezekinya pada hari itu.

Namun apabila penulis memperkenalkan diri penulis sebagai cucu kepada arwah rakannya, secara spontan beliau menjadi mesra.

Itulah antara uniknya masyarakat kami, orang Kelantan sesama Kelantan.

Beliau mengajak penulis ke rumahnya yang berdekatan dengan bendang padi, apa lagi ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.

Sambil menikmati juadah wajib ketika musim tengkujuh, Ubi Rebus cicah kelapa muda, penulis dikongsikan kisah suka duka Pak Teh yang membuatkan penulis terus hanyut seketika ke zaman beliau.
“Ike semila loni tok brapa banyok doh, kalu dapat ike wan tu mujur bena, habih doh sawoh bende oghe tambung buat jale, loni tinggal brapo ekar jah untuk Pok Teh cari rezeki (Ikan semila kini makin kurang, kalau dapat tangkap ikan haruan itu satu rezeki besar, banyak tanah bendang dan sawah sudah diambil dan dijadikan jalan raya dan hanya tinggal beberapa ekar untuk Pak Teh mencari rezeki),” luahnya kepada penulis.

“Bila langit jo’ong (mendung), kami sudah bersedia dengan makanan kami (menyambut musim tengkujuh)..punca rezeki terputus sekejap, hanya bergantung kepada hasil tangkapan di bendang.

Namun musim itulah yang ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak, apabila hujan tidak berhenti mencurah dan setiap tanah ditutupi air banjir maka tiada istilah lain selain ‘main boh’ (bermain banjir). – Malaysian Digest.

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger