Pemilihan semula Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Wanita dan Pemuda UMNO pada pemilihan parti semalam, diyakini dapat mengukuhkan lagi perjuangan parti dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, dengan Ketua Puteri yang baharu, Mas Ermieyati Samsudin, gandingan kepimpinan tiga sayap itu akan melalui ujian pertama mereka pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau 4 November ini.
"Ujian pertama ketiga-tiga ketua sayap ini adalah pilihan raya kecil Sungai Limau. Ayuhlah segera turun ke Sungai Limau wahai Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ahmad berkata, kemenangan Shahrizat, Khairy dan Mas Ermieyati sudah dijangka kerana masing-masing mempunyai rekod perjuangan yang lama dalam UMNO.
Mereka mendapat sokongan besar daripada bahagian sayap masing-masing apabila keputusan setakat 3.30 pagi tadi menunjukkan Shahrizat menerima 100 undi, Khairy 97 undi manakala Mas Ermieyati 96 undi.
Kemenangan mereka diumum Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Shahrizat mengetepikan cabaran Datuk Maznah Mazlan dan Raihan Suleiman Palestin manakala Khairy mengungguli saingan lima penjuru.
Khairy dicabar Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali.
Mas Ermieyati pula menewaskan Jamilah Hanim Othman. - BERNAMA
Post a Comment