Home » » Belanjawan Kelantan : Perbelanjaan Mengurus Meningkat..Urus Apa?

Belanjawan Kelantan : Perbelanjaan Mengurus Meningkat..Urus Apa?

Written By Unknown on 08/10/2013 | 12:00 pm


Kerajaan Kelantan hari ini mengumumkan belanjawan defisit untuk tahun hadapan, sebanyak RM10.39 juta, selain jangkaan penurunan hasil negeri.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika mengumumkan belanjawan  bertemakan `Kesejahteraan Rakyat, Kemakmuran Negeri’ dengan unjuran penurunan hasil sebanyak 5.58 peratus.
“Bajet Negeri Kelantan Tahun 2014 merupakan belanjawan defisit, dengan  perolehan hasil dianggarkan berjumlah RM549.26 juta manakala perbelanjaan mengurus dianggarkan berjumlah RM559.64 juta.
“Perbelanjaan mengurus dianggarkan meningkat 4.42 peratus berbanding tahun sebelumnya yang menyebabkan bajet lebihan pada 2013 kepada bajet defisit 2014,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2014 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini hari ini.
Belanjawan itu mengandungi empat teras utama iaitu  Merancakkan Pembangunan Ekonomi Untuk Kesejahteraan Rakyat, Memperkasa Pembangunan Insan Berteraskan Islam, Pembelaan Golongan Daif dan Miskin, Orang Kurang Upaya, Anak Yatim, Armalah dan  Warga Emas dan teras keempatnya Mengukuhkan Keupayaan Institusi dan Pelaksanaan.
Ahmad yang juga Pengerusi Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan Negeri berkata anggaran hasil negeri pada 2014 dijangka sebanyak RM549.26 juta.
“Ia meliputi hasil cukai sebanyak RM311.12 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM133.05 juta sementara terimaan bukan hasil sebanyak RM105.08 juta,” katanya.
Beliau berkata jumlah tersebut menunjukkan berlakunya penurunan hasil sebanyak RM32.51 juta atau sebanyak 5.58 peratus berbanding anggaran hasil tahun 2013 yang berjumlah RM581.77 juta.
Katanya penurunan hasil yang ketara disebabkan jangkaan pengurangan kutipan premium tanah yang dijangkakan sebanyak RM24.80 juta berbanding RM45 juta pada tahun ini.
“Ini disebabkan tiada pemberian milik tanah secara berskala besar tahun hadapan,” katanya.
Belanjawan itu juga turut memasukkan hasil royalti petroleum yang merupakan penyumbang terbesar kepada hasil negeri iaitu sebanyak 36.41 peratus daripada keseluruhan hasil sebanyak RM549.26 juta.
Katanya kerajaan negeri mengharapkan tuntutan royalti berkenaan dijelaskan oleh kerajaan Pusat dan turut mengucapkan terima kasih kepada Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang telah beberapa kali mewakili kerajaan negeri pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi perundingan bersama kerajaan Pusat untuk mendapatkan tuntutan berkenaan.
Selain itu, hasil tanah merupakan penyumbang kedua terbesar sebanyak RM105.44 juta atau 19.20 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil.
Selain premium tanah, ia turut meliputi pungutan cukai tanah sebanyak RM38.32 juta, bayaran pendaftaran RM6.26 juta, bayaran pindah milik RM4.75 juta serta bayaran gadaian sebanyak RM5.1 juta.
Ahmad berkata hasil perlombongan pula dikenal pasti sebagai sumber hasil negeri yang baharu dengan unjuran hasil RM29.5 juta atau 5.37 peratus daripada anggaran kutipan hasil 2014, iaitu peningkatan RM18.5 juta berbanding 2013.
Selain itu, Ahmad berkata hasil perhutanan menyumbang sebanyak RM67.41 juta atau 12.27 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil, penurunan sebanyak RM19.89 juta jika dibandingkan dengan anggaran belanjawan 2013 berjumlah RM87.30 juta.
“Hasil hutan meliputi royalti kayu-kayan yang menyumbangkan sebanyak RM25 juta, bayaran Jabatan Hutan RM10 juta dan premium perhutanan sebanyak RM30 juta,” katanya.
Beliau juga berkata anggaran perbelanjaan mengurus bagi tahun depan berjumlah RM559.64 juta berbanding RM535.95 juta tahun ini iaitu peningkatan sebanyak RM23.69 juta atau 4.42 peratus, yang merangkumi perbelanjaan tanggungan sebanyak RM28.05 juta dan perbelanjaan bekalan berjumlah RM531.59 juta.
Katanya daripada jumlah itu, RM279.14 juta atau 49.88 peratus merupakan pemberian dan bayaran kenaan tetap, RM173.90 juta atau 31.07 peratus untuk emolumen RM88 juta atau 15.73 peratus bagi perkhidmatan dan bekalan, RM16.39 juta atau 2.93 peratus untuk aset dan RM2.2 juta atau 0.39 peratus untuk perbelanjaan lain.
Bagi peruntukan perbelanjaan pembangunan, Kelantan memperuntuk RM211.38 juta yang dibiayai oleh peruntukan negeri termasuk RM45 juta daripada sumber pinjaman.
“Kerajaan negeri akan memberi fokus dan penekanan kepada usaha mempertingkat penyediaan prasarana dan kemudahan bagi memajukan tahap sosioekonomi rakyat berasaskan kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri,” katanya.
Persidangan bersambung esok. – BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger