Gamat, kecoh dan berhimpit-himpit! Itulah yang boleh menggambarkan keadaan di luar bilik pencalonan, PWTC menjelang jam 5 petang tadi.
Rata-rata wartawan menanti dengan sabar untuk menemubual para calon terutama bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berikutan spekulasi beliau akan menarik diri daripada merebut jawatan Naib Presiden Umno.
Suasana tambah suspen apabila Mohd Ali muncul agak lewat malah menjadi calon terakhir menyerahkan borang pencalonan iaitu sejam sebelum masa penyerahan tamat.
Pihak media yang menanti penuh sabar sebelum itu, mendapat berita kononnya Mohd Ali bakal mengadakan sidang media jam 2.30 petang namun ia ternyata tidak benar.
Justeru sebaik sahaja beliau muncul, para wartawan terus menyerbu hingga mencetuskan suasana kelam kabut.
Memandangkan suara Mohd Ali agak perlahan, ada wartawan yang terpaksa meminta agar beliau bersuara lebih kuat. Seorang wartawan lain pula sempat menegur rakan yang bercakap agak kuat dengan berkata, “Syhhh, biar dia jawab!”
Akhirnya, jawapan yang dinanti-nantikan pihak media berakhir dengan penjelasan Mohd Ali bahawa dia sudah pun menyerahkan borang untuk bertanding dalam pemilihan Naib Presiden Umno.
Dakwaan menyatakan dia mahu menarik diri pula hanyalah spekulasi semata-mata manakala kelewatannya disebabkan kesilapan pada borang. –mynewshub
Post a Comment