Home » » Keadaan Kesihatan Azizan Razak Di Lapor Kritikal

Keadaan Kesihatan Azizan Razak Di Lapor Kritikal

Written By Unknown on 26/09/2013 | 12:00 pm


Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak dilapor kritikal sejak 3.00 pagi semalam akibat masalah jantung yang serius.
Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat 3.30 petang, Azizan masih tidak sedarkan diri dan dalam pemantauan rapi.
“Azizan mengalami masalah jantung yang serius, denyutan jantung terhenti sekitar 3.00 pagi.
Beliau diberi bantuan kecemasan dan jantung kembali stabil. Namun sekitar 12.00 tengah hari, beliau sekali lagi diserang masalah jantung,” katanya.
Menurutnya, Azizan juga masih belum membuka mata sejak kejadian itu, dan dilaporkan tekanan darahnya juga rendah.
“Minggu lalu, ketika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menziarahi Azizan, beliau kelihatan gembira dan berbual-bual, namun pada ketika itu, semua pelawat dikehendaki memakai sarung tangan dan pakaian khas untuk elak jangkitan,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, Pas Kedah telah menganjurkan solat hajat dan bacaan Yasin selepas Zuhur tadi dan turut mengarahkan semua Pas kawasan berbuat demikian.
“Saya harap semua berdoa untuk kesejahteraan Azizan yang kini bertarung nyawa. Saya sebak membaca komen-komen positif sejurus berita ini dikemaskini di Facebook, ini menunjukkan beliau disayangi dan disenangi ramai,” katanya.
Menurutnya, kondisi Azizan yang tidak stabil turut dimaklumkan kepada kepimpinan Pas Pusat.
Azizan, 69, yang juga Adun Sungai Limau menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya pada 9 Mei lalu di Hospital Pulau Pinang (HPP), setelah dipindahkan dari Kedah Medical Centre (7 Mei) akibat komplikasi diabetik.
Azizan menerima rawatan lebih tiga bulan di HPP, sebelum dipindahkan ke HSB, 13 Ogos lalu. - Sinar Harian Online
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger