Seorang lelaki warga Amerika Syarikat yang menyanyikan lagu rap untuk menarik orang ramai berjihad terbunuh, dalam satu serangan di satu kawasan di sini.
Omar Hammami, yang berasal dari Daphne, Alabama, juga dikenali sebagai Abu Mansoor al-Amriki, meninggal dunia selepas beberapa bulan melarikan diri daripada ketua kumpulan al-Shabaab.
Omar yang juga anggota kumpulan berkenaan dikatakan telah berseteru dengan ketuanya, kerana mendakwa perjuangan al-Shabaab tidak menyeluruh dan warga asing yang menjadi anggota kumpulan itu telah dipinggirkan.
Dia sebelum ini berada dalam kedudukan paling dikehendaki oleh FBI dan ganjaran sebanyak $5 juta dolar ditawarkan sehingga tertangkapnya Omar.
Omar menjadi terkenal selepas menghasilkan video sambil menyanyikan lagu rap bagi menggalakkan belia di Amerika Syarikat menyertai perjuangannya.
Dia memuat naik rakaman lagu `Blow by Blow’ itu dalam You Tube.
Digambarkan sebagai seorang bijak dan berjaya dalam pelajaran, Omar merupakan anak kepada wanita beragama Kristian manakala bapanya berasal dari Syria, namun beragama Islam.
Omar berjaya memasuki universiti sebelum berhenti dan berpindah ke Toronto.
Di sana, dia berkahwin dengan seorang wanita dan mempunyai seorang anak, namun mereka bercerai selepas isterinya tidak bersetuju dengan keputusannya untuk berjihad.
Omar kemudiannya berpindah ke Somalia dan menyertai al-shabab pada 2006.
Omar juga dihalau dari rumah oleh bapanya selepas mereka bertelagah mengenai isu agama.
Post a Comment